Nurul Izzah: PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) AKAN MEMBAWA SAMAN SIVIL UNTUK MEMBATALKAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA KE 13

10:40 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA NURUL IZZAH ANWAR, AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI, NAIB PRESIDEN/ PENGARAH JPRP KEADILAN PADA 080715
PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) AKAN MEMBAWA SAMAN SIVIL UNTUK MEMBATALKAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA KE 13, KHUSUSNYA KERUSI-KERUSI UMNO-BN PASCA PENDEDAHAN DAKWAAN MEDIA WALL STREET JOURNAL (WSJ) DAN SARAWAK REPORT (SR) BERKAIT PENYALAHGUNAAN DANA PILIHANRAYA MELIBATKAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN JUGA PRESIDEN PARTI UMNO

Pendedahan skandal oleh WSJ dan SR yang berterusan telah memberi kesan negatif kepada Malaysia dengan pertuduhan penyaluran wang haram, penyelewengan dan semua yang berkait dengan jenayah kolar putih - yang berkait terus dengan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO sendiri.
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia seperti kes-kes sebelum ini tidak boleh diharapkan untuk mengambil tindakan susulan, seiringan dengan tanggungjawab moralnya. Sedari awal, pelbagai kes sivil seperti kontroversi kes dakwat kekal; dakwaan politik wang beserta rasuah pilihanraya yang melibatkan menteri kanan kerajaan; dan juga permohonan KEADILAN SARAWAK yang berjaya dalam isu persempadanan semula negeri Sarawak, tetapi malangnya dirayu oleh SPR - telah menghakis kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia ke tahap yang parah.

Sehubungan itu, Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan Transparency International telah mengemukakan 4 aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkisar elemen rasuah dalam penyaluran dana yang berkemungkinan berlaku dalam kempen pilihan raya umum ke 13.

Antara lain, aduan-aduan tersebut berkait pembelian stesen janakuasa yang sebelum ini dimiliki oleh Genting pada harga tinggi dan tidak munasabah; kemudian tentang bagaimana wang tersebut disalurkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M). Dana di dalam YR1M kemudiannya digunapakai oleh Perdana Menteri dalam pengumuman derma RM2 juta kepada dua buah sekolah; walau pemberian tersebut tidak termasuk di dalam skop bantuan YR1M. Ternyata, pengumuman dana sebesar RM2 juta menjelang pilihanraya penting dalam memastikan kemenangan BN di kawasan tersebut.
Lanjutan daripada aduan yang dikemukakan, wajib diingat bahawa jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon ialah RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Oleh yang demikian, sepatutnya jumlah maksima yang dibelanjakan untuk kesemua calon UMNO/BN bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN berjumlah RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan oleh BN iaitu RM2.6 billion.

Jumlah wang RM2.6 bilion yang diumumkan asalnya sebanyak USD700 juta dan didakwa berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan yang dibenarkan. Tambahan pula, siapa yang boleh memastikan bahawa ini merupakan sumber tunggal kewangan untuk perbelanjaan pilihanraya UMNO dan Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang lepas?
Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan supaya laporan-laporan SPRM dibuat oleh kesemua wakil Jawatankuasa Pilihanraya Negeri KEADILAN pada hujung minggu ini.
Berikutan dakwaan ini, KEADILAN juga akan memfailkan sebuah saman sivil terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mencabar kesahihan keputusan Pilihan Raya di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO/BN; lanjutan daripada dakwaan amalan korup dan penggunaan kewangan yang melampau yang didedahkan setakat ini.

Tindakan mahkamah ini akan menjadi pemangkin ke arah pembatalan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional di pilihanraya yang lepas. Pun begitu, KEADILAN juga bersedia mempertahan kerusi-kerusi yang dimenangi, sekiranya keseluruhan pilihan raya umum ke 13 dianggap tidak sah dan terbatal.

Kami berharap akan memfailkan saman sivil ini secepat yang mungkin. KEADILAN juga terus komited terhadap agenda reformasi pilihan raya; lebih-lebih lagi memandangkan bahawa kesemua ahli parlimen telah mengundi dan meluluskan kesemua 22 rekomendasi sebagaimana yang diperincikan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan Reformasi Pilihanraya pada tahun 2012. Malangnya, reformasi pilihanraya tidak akan terlaksana tanpa iltizam politik dan tindakan tegas undang-undang.

*NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Lembah Pantai
8 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.