PKR: AKTIVIS MUDA DAN PROFESSIONAL DIBERI TUGASAN KHUSUS DALAM KEADILAN

10:45 AM 0 Comments A+ a-



8 JULAI 2015

AKTIVIS MUDA DAN PROFESSIONAL DIBERI TUGASAN KHUSUS DALAM KEADILAN

Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan menyaksikan undi orang muda di bawah 30 tahun menjadi undi paling penting memandangkan kumpulan ini adalah kumpulan pengundi terbesar. Pelbagai kontroversi dan skandal yang membabitkan pentadbiran Umno/Barisan Nasional kebelakangan ini membuatkan pengundi muda mencari alternative dan lebih cenderong kepada perubahan.

KEADILAN adalah sebuah parti yang mempunyai rekod terbaik memberi ruang dan amanah kepimpinan kepada pemimpin muda. Dua dari 4 Naib Presiden yang dipilih berumur di bawah 40 tahun. KEADILAN terus mendapat penyertaan pimpinan muda dari golongan mahasiswa, aktivis dan professional yang diberikan amanah kepimpinan dan tugasan khusus.

Bagi pihak KEADILAN, saya berbesar hati mengumumkan penyertaan atau tugasan khusus kepada pimpinan dan aktivis muda seperti berikut:

YB Senator Saudari Siti Aishah Sheikh Ismail
YB Saudari Siti Aishah adalah ahli Dewan Negara termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah Malaysia. Beliau adalah seorang aktivis dan penceramah yang ternama sebelum ini. Beliau akan bertanggungjawab khusus untuk membawa isu wanita muda dan menambahkan penyertaan wanita muda di dalam kepimpinan KEADILAN.

Dr Fahmi Ngah
Dr Fahmi Ngah adalah pemegang ijazah kelas pertama dari University of London dalam bidang kejuruteraan. Beliau juga mendapat PhD dari universiti yang sama dan penerima anugerah-anugerah berikut:

1994: Cookson Prize for Best First Year Graduate from Cookson PLC

1995: Smith and Nephew Prize for Best Second Year Graduate from Smith and Nephew PLC

1996: Tun Ismail Ali Award for Best UK graduate from the British/Malaysian Society

1997: Draper Prize for Best MSc Dissertation from Queen Mary College

1997: Anugerah Belia Negara (Kategori Graduan Terbaik Luar Negara) from Kementerian Belia dan Sukan Malaysia

1998: CEO Excellence Award for Intelligent Production Solutions from BP Malaysia

1999: Perdana Scholarship Award from Tun Dr Mahathir Mohamad

2005: Best Young Scientist Award from UK Defense Research Agency

Beliau pernah bertugas di UK Defense Research Agency (Agensi Penyelidikan Pertahanan UK) sebagai saintis kanan sebelum menyertai sektor korporat di UK di beberapa syarikat seperti British Energy dan EDF Energy. Jawatan terakhir beliau di dalam sektor korporat adalah Head of Commodity Trading di CIMB. Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau adalah Pengarah Strategi bagi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan bertanggungjawab khusus bagi program “Professional in Politics” (PIP) yang akan dilancarkan KEADILAN dengan sasaran mendapatkan penyertaan lebih ramai pimpinan dari kalangan professional.




Saudara Wan Ji Wan Wan Hussin
Beliau adalah seorang pendakwah bebas yang berasal dari Kelantan. Mendapat pendidikan Islam awal dari Karachi, Pakistan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang Islam di Universiti Al-Azhar dengan pengkhususan di dalam maqassid syariah.

Saudara Wan Ji Wan Hussin kini telah dilantik sebagai EXCO Angkatan Muda KEADILAN dengan tanggungjawab khusus menarik lebih ramai golongan berpendidikan Islam ke dalam KEADILAN.

AHMAD SYUKRI RAZAB
Saudara Syukri Razab adalah pimpinan mahasiswa yang tidak asing lagi dan merupakan generasi pertama pimpinan mahasiswa selepas gelombang 2008 yang paling lantang memperjuangkan kebebasan akademik. Berumur 30 tahun dan berasal dari Sabah, Saudara Syukri adalah mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan pengasas kumpulan anak muda LENSA. Beliau juga adalah aktivis hak asasi manusia yang berkhidmat dengan Suaram.

Saudara Syukri Razab kini dilantik sebagai Setiausaha Pengelola Angkatan Muda KEADILAN yang bertanggungjawab menambah keahlian AMK dan memperkuatkan organisasinya.

MOHAMMAD ZAKI ABDUL SHUKOR
Saudara Zaki Abdul Shukor adalah mahasiswa jurusan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan Speaker Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Mahasiswa UKM bagi sessi 2014 – 2015. Beliau merupakan calon Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang pertama yang memenangi kerusi pilihanraya kampus.

Saudara Zaki adalah seorang pendebat yang telah memenangi pertandingan debat undang-undang (moot competition) di peringkat antarabangsa seperti berikut:

Juara Dunia, IASLA Space Law Moot Court Competition, International Finals,
Paris, France, 2014.
Juara Asia Pasifik, IASLA Space Law Moot Court Competition, Asia Pacific Regional
Level, Sydney, Australia, 2014.
Peringkat Akhir, Malaysia Public Policy Competition, 2012.
Saudara Zaki telah dipilih oleh perwakilan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) sebagai presiden MKM bagi penggal 2015 – 2016 dalam mesyuarat agung MKM yang lalu. Beliau dan EXCOnya bertanggungjawab menggandakan keahlian MKM di kampus-kampus universiti seluruh Malaysia dan menambah bilangan kerusi dalam Pilihanraya Kampus yang akan diadakan.

MUHAMMAD AFFENDY HASNI
Saudara Affendy adalah mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-undang UKM. Beliau merupakan pendebat yang pernah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti berikut:

Pemenang Pertandingan Debat Integriti peringkat kebangsaan
Naib Johan Kebangsaan, Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri di antara universiti-universiti seluruh Malaysia
Pemenang Best Memorial Award, Phillip C. Jessup International Law Moot Court Competition peringkat kebangsaan
Pemenang dan pembahas terbaik Pertandingan Debat Antara Sekolah-sekolah Malaysia anjuran UIA

Beliau pernah mengambil gap year untuk berkhidmat dengan firma guaman di Brisbane, Australia selama hampir setahun.

Saudara Affendy adalah Timbalan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang bertanggungjawab menambah keanggotaan KEADILAN dari kalangan mahasiswa.


KEADILAN akan terus memberi ruang kepada golongan muda dari kalangan mahasiswa, aktivis dan professional supaya roh parti ini yang digerakkan oleh golongan muda akan terus dikekalkan, selaras dengan amanat Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa perubahan hanya boleh berlaku dengan penyertaan orang muda.

Saya menjemput lebih ramai pimpinan muda dan aktivis untuk menyertai KEADILAN dengan berhubung secara terus dengan saya atau Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.