Pilihanraya Kampus (PRK) 2015: Martabatkan Kuasa Semak & Imbang Mahasiswa Terhadap Politik Negara - Pemuda PAS

8:47 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

PILIHANRAYA KAMPUS (PRK) 2015: MARTABATKAN KUASA SEMAK & IMBANG MAHASISWA TERHADAP POLITIK NEGARA

1. DPPM mengucapkan tahniah kepada seluruh mahasiswa yang telah dan akan menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin mahasiswa di universiti dalam piliharaya kampus (PRK) yang berlangsung.

2. DPPM percaya bahawa seluruh mahasiswa pasti berhajat kepada sebuah barisan kepimpinan yang berdaya saing, karismatik dan berani untuk memimpin dan memperjuangkan hak mahasiswa tanpa takut terhadap tekanan atau ugutan mana-mana pihak.

3. Justeru, PRK mestilah dilaksanakan secara tertib, bebas dan adil oleh pihak pentadbiran universiti agar ia berlangsung dalam suasana politik matang yang dapat mengangkat nilai keintelektualan mahasiswa dan sifat kebertanggungjawaban pemimpin mahasiswa sekaligus menjadi medan menyubur dan mendidik mahasiswa untuk menghadapi proses demokrasi di luar alam kampus kelak.

4. DPPM berpendirian bahawa kuasa semak dan imbang yang dipunyai oleh golongan mahasiswa ini mesti diakui dan dimartabatkan ke arah pembangunan politik negara yang lebih bermoral dan kompeten pada masa hadapan.

5. Atas justifikasi tersebut, DPPM mengecam dan mengutuk bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti tertentu kerana bersikap tidak bertanggungjawab dan tidak telus dalam melaksanakan PRK termasuk pada prosedur dan peraturan piliharaya khususnya untuk merumitkan urusan calon yang vokal terhadap pentadbiran universiti dan Kerajaan serta untuk memenangkan calon tajaan universiti.

6. Hal yang demikian telah mengundang kejelekan kepada minat calon-calon yang bebas daripada tajaan universiti untuk memboikot PRK di UM, insiden berdarah dan penafian hak calon-calon di UKM seterusnya terdapat calon-calon yang disuruh mengaku sebagai calon pro-universiti sebagai pengesahan terhadap kemenangan mereka di UIAM.

7. Seperti di UIAM (Gombak), kumpulan We Unite For Islam (WUFI) memenangi 14 daripada 23 kerusi yang dipertandingkan dengan menguasai lebih 70% daripada keseluruhan undi untuk kerusi lokal dan memenangi 6 kerusi tanpa ditandingi - selain memenangi 10 daripada 12 kerusi di UIAM Kuantan.

8. Tetapi terdapat individu tertentu dalam kalangan pihak pentadbiran bersama jentera pro-aspirasi universiti telah memanipulasi kedudukan 5 calon kerusi internasional serta ‘memaksa’ 3 calon kerusi lokal mengesahkan bahawa mereka bukan calon WUFI justeru menguarkan-uarkan bahawa pro-universiti telah memenangi PRK UIAM dengan mendapat 12 kerusi iaitu lebihan 1 kerusi berbanding WUFI.

Baca: http://m.harakahdaily.net/…/37469-pro-m-menang-besar-dalam-…

9. Tindakan-tindakan terdesak seperti ini hanya merosakkan integriti pentadbiran universiti dan ketelusan proses pilihanraya kampus serta suatu bentuk pendidikan budaya politik kotor untuk generasi masa depan negara.

10. Oleh itu, DPPM menuntut pihak pentadbiran universiti menguruskan PRK dengan penuh berhemah, berintegriti dan bebas daripada pengaruh politik, atau membentuk jawatankuasa dari kalangan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai persatuan mahasiswa.

11. DPPM sekali lagi merayu dan menyeru agar semua pihak; mahasiswa, pensyarah dan pentadbir di universiti, orang awam, ahli-ahli politik dan Kerajaan memberikan perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan politik golongan mahasiswa agar golongan ini dimartabatkan sebagai kuasa semak dan imbang yang sangat berkesan terhadap politik negara.

Sekian.

AHMAD TAUFIQ BIN KAMARUDDIN
Pengarah,
Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM),
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Sabtu, 19 September 2015 | 5 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.