Gesa Kerajaan Beri Perhatian Isu Pendidikan Disamping Ranking Universiti - Nik Abduh

6:57 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

GESA KERAJAAN BERI PERHATIAN ISU PENDIDIKAN DI SAMPING RANKING UNIVERSITI


1. DPPM menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap pelbagai isu pendidikan di samping kedudukan ranking universiti yang bertambah baik. Peningkatan ranking beberapa universiti awam terutamanya Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan taraf akademik di negara yang semakin baik.

2. DPPM menyambut baik peningkatan ranking UM yang melonjak kepada kedudukan 146, manakala USM dan UPM masing-masing meningkat kepada kedudukan 289 dan 331. Ia menggambarkan status universiti di Malaysia yang semakin baik dan usaha mengangkat martabat akademik di negara ini perlu dipertingkatkan lagi.

3. Namun, usaha tersebut perlu seiring dengan peningkatan kualiti pendidikan dan kebajikan kepada para pelajarnya. Pelbagai isu-isu kebajikan para pelajar seperti isu pendidikan percuma yang tidak mendapat reaksi yang positif dari pihak kerajaan, malah sehingga kini tiada usaha digemblengkan bagi merealisasikan hasrat pendidikan percuma di negara ini.

4. Begitu juga sasaran 24,300 pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana yang disasarkan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 yang melabuhkan tirainya tahun ini. Apakah kita masih 'on track' ke arah mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD menjelang 2023?

5. Tambahan pula, isu "hutang pendidikan" yang dijana kerajaan terhadap rakyatnya sendiri melalui "bantuan" pendidikan PTPTN. Ramai dikalangan pelajar yang baru bergraduasi dikelilingi dengan hutang mencecah puluhan ribu ringgit. Apakah ia suatu isu terpencil bagi kerajaan yang kelihatannya lebih memperbesarkan isu ketidakbayaran hutang berkenaan?

6. Ini termasuk juga isu campur tangan parti pemerintah di beberapa universiti tempatan yang menyebabkan langkahan sumbang terhadap tahap kebebasan akademik di negara kita. Kesemua ini perlu diperbaiki dan diperhatikan secara serius oleh pihak kerajaan.

7. DPPM ingin menegaskan sekali lagi bahawa isu pendidikan di negara kita masih lagi penuh dengan kelompangan. Tugas menaiktaraf ranking terletak dibahu ahli akademik, manakala tugas menaiktaraf kualiti dan kebajikan terletak dibahu pihak berkuasa, maka bergeraklah seiring mencapai status pendidikan yang terbaik di dunia.

Sekian.

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
(Ahli Parlimen Pasir Mas)

Ahad, 20 September 2015 | 6 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.