Mahfuz Omar: Mengutuk Tindakan Perdana Menteri Najib Mempergunakan Pasukan Polis untuk Menangkap Datuk Khairuddin Abu Hassan

11:20 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

MENGUTUK TINDAKAN PERDANA MENTERI NAJIB MEMPERGUNAKAN PASUKAN POLIS UNTUK MENANGKAP DATUK KHAIRUDDIN ABU HASSAN

1. Saya ingin melahirkan rasa terkejut dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pasukan polis yang telah menangkap bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaaan atas dakwaan kononnya Khairudin telah melakukan cubaan melaksanakan aktiviti yang menggugat sistem demokrasi berparlimen. Bagi saya, penangkapan Khairuddin ini jelas menunjukkan pasukan polis telah dipergunakan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak bagi menutup mulut sesiapa sahaja yang cuba untuk membongkar penyelewengan yang berlaku di dalam kes 1MDB yang turut berkait dengan penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

2. PDRM berkewajipan untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia bagaimana tindakan Khairudin yang menggunakan saluran perundangan dengan cara membuat laporan rasmi kepada pihak-pihak berkuasa Malaysia, Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat agar sisasatan dilakukan terhadap kes 1MDB, boleh dianggap sebagai perbuatan yang menggugat sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Tafsiran mahkamah atau peguam manakah manakah yang digunakan PDRM untuk mengatakan sebarang aduan rasmi kepada pihak berkuasa adalah suatu tindakan yang bersalahan dengan prinsip-prinsip di dalam sistem demokrasi berparlimen?

3. Sesungguhnya rakyat Malaysia yang waras dapat melihat bahawa yang tergugat dengan laporan demi laporan yang dibuat oleh Khairudin bukanlah sistem demokrasi berparlimen atau Perlembagaan negara ini, tetapi yang sebenarnya tergugat dan merasa sangat takut dengan siasatan-siasatan yang bakal dijalankan oleh agensi penguatkuasa di seluruh dunia tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Maka cara paling mudah untuk melindungi Najib dan Rosmah ialah dengan menangkap individu-individu yang berani seperti Khairuddin meskipun terpaksa menggunakan pertuduhan-pertuduhan yang tak masuk akal untuk menutup mulut mereka dan seterusnya menakut-menakutkan rakyat Malaysia yang lain agar tidak lagi bercakap tentang ke mana perginya wang 1MDB atau bagaimana RM40 juta wang dari SRC International boleh ‘berakhir’ di dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

4. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk mendesak supaya Khairuddin dibebaskan segera dan tidak diancam atau disekat pergerakannya. Jika Perdana Menteri merasakan Khairuddin melakukan perbuatan fitnah ke atas dirinya, maka saya mencabar Perdana Menteri agar memfailkan saman di mahkamah. Jangan sekali-kali menyalahgunakan kuasa dengan memperalatkan pasukan polis dan lain-lain agensi kerajaan untuk menekan Khairuddin atau sesiapa sahaja yang menggunakan kaedah dan saluran yang sah untuk menuntut siasatan dijalankan ke atas Perdana Menteri di dalam kes 1MDB dan juga kes-kes yang lain yang membabitkan Perdana Menteri.

“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
20 Sept 2015/6Zulhijjah 1436


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.