Ayuh Jayakan Himpunan Fastaqim H60K! - Nurul Islam Mohamed Yusoff
Ayuh Jayakan Himpunan Fastaqim H60K!
Oleh : Nurul Islam Mohamed Yusoff
Penganjuran Himpunan Fastaqim H60K pada 17 Oktober 2015 kelak adalah tepat pada masanya di dalam meraikan kesediaan dan keupayaan PAS sebagai gerakan pembaharuan politik untuk merungkai kecelaruan di dalam negara sekarang ini. Saya dan rakan-rakan menyokong penuh penganjuran Himpunan Fastaqim ini dan perancangan sedang dilakukan bagi membantu pihak penganjur menjayakan agenda himpunan ini.
Ada pihak yang menganggap Himpunan Fastaqim ini sebagai gerakan massa gelombang hijau bagi mengatasi himpunan kuning Bersih dan himpunan merah Melayu. Walau apa pun tanggapannya, himpunan ini sebenarnya bukanlah dianjurkan sebagai suatu bentuk pertandingan tetapi ianya menjadi sebagai sebahagian medan tarbiyah PAS di dalam mengukuhkan iltizam ahli-ahlinya untuk terus istiqamah sehingga mencapai kemenangan.
Rakyat tidak lagi mahu sekadar melakukan himpunan protes. Rakyat mahu melihat pengisian bermakna dengan forum dan diskusi, duduk bertemu dengan pimpinan dari pelbagai peringkat serta peluang meningkatkan tahap spiritual dan membina kekuatan dalaman sebagai persediaan memimpin perubahan. Inilah agenda yang akan dilaksanakan di dalam Himpunan Fastaqim H60k ini.
Di samping itu juga, saya melihat himpunan ini sebagai satu kesinambungan dari apa yang telah dicapai sewaktu Kongres Rakyat pada 12 September yang lalu. Himpunan ini akan menjadi medan penting bagi menggembelingkan tenaga bagi menjayakan usul-usul rakyat yang telah dilakarkan oleh kongres tersebut.
Terdapat juga pihak yang menabur kesangsian akan keupayaan PAS untuk memimpin perubahan negara. Hakikatnya PAS kian mendapat tempat di kalangan rakyat untuk menggantikan UMNO sebagai parti politik teras. Ini dapat dilihat dari fenomena peningkatan jumlah keahlian baru dari serata negara yang menyertai PAS sejak kebelakangan ini. Himpunan gergasi ini akan menjadi satu lagi bukti akan daya tarikan PAS menggembeling tenaga perubahan mengikut acuan yang telah digagaskan oleh Islam.
Harapan saya agar Himpunan Fastaqim ini akan menjadi antara titik tolak penting di dalam menggembeling kekuatan ahli PAS dan masyarakat bagi melakukan perubahan total untuk negara.
Sila kongsi artikel ini...