RM 1 B Geran Khas Untuk Perbadanan Wakaf Nasional - Husam Musa
RM 1 B Geran Khas Untuk Perbadanan Wakaf Nasional
Sehari dua ini sibuk dengan apa yang dinamakan Perhimpunan Kebangkitan Melayu. Sebagai tindak balas kepada “Ancaman Cina”.
Adakah orang Melayu Islam boleh 'survive' dengan semangat hangat-hangat tahi ayam seperti ini?
Satu daripada cara untuk membangunkan kekuatan orang Melayu adalah ekonomi.
Satu dari cara membangunkan ekonomi orang Melayu Islam ialah membangunkan hartanah wakaf di seluruh Negara.
Saya difahamkan terdapat 11,000 (sebelas ribu) hektar tanah-tanah wakaf di seluruh Negara, termasuk di Pulau Pinang.
Jika jumlah ini dicampurkan dengan tanah-tanah wakaf di bawah pelbagai institusi dan kadang-kadang orang perseorangan, jumlahnya mungkin lebih besar lagi.
Angka ini adalah besar dan signifikan. Pada umumnya harta-harta Wakaf banyak yang tinggal terbiar tidak diberikan nilai komersial mengikut perkembangan semasa. Sebahagian tanah-tanah ini kedudukannya sangat strategik.
Di Turki kini terdapat Persidangan Wakaf pada setiap tahun untuk membolehkan ulama, fukaha dan ahli-ahli ekonomi Islam kontemporari membincangkan kaedah-kaedah dan hukum-hakam kontemporari bagi menjadikan tanah-tanah wakaf sebagai sumber kekuatan ekonomi yang penting.
Pada zaman Khalifah Uthmaniah, pengurusan harta wakaf telah mencapai kemuncaknya sehingga universiti-universiti, hospital bahkan termasuk hospital bagi pesakit jiwa telah didirikan dengan menggunakan dana wakaf.
Apabila dana wakaf masih berlebihan, hidupan liar di hutan diberikan makanan di musim dingin bagi mengelakkan binatang-binatang ini mati kesejukan dan kelaparan.
Malaysia berkemampuan untuk menghidupkan semula model pembangunan harta wakaf sepertimana di zaman keagungannya di bawah Khalifah Uthmaniah.
Selalu dilaungkan, orang Melayu pupus di tengah bandar di Pulau Pinang.
Bayangkan jika tanah-tanah wakaf di Pulau Pinang dimajukan dengan benar-benar amanah, kedudukan orang Melayu boleh dimartabatkan.
Satu dari halangan pemajuan itu ialah komplikasi hukum yang tidak dileraikan.
Penyelesaian isu komplikasi hukum bagi tanah-tanah wakaf di Pulau Pinang boleh menjadi pencetus baru kekuatan ekonomi orang-orang Islam yang telah pupus oleh pengabaian Barisan Nasional yang memerintah Pulau Pinang.
Menjelang budget tidak lama lagi, apa kira RM1 billion diletakkan untuk dana pembangunan wakaf Malaysia?
Di sesetengah negeri, harta wakaf ini terletak di bawah Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Satu kaedah konsultansi tentunya boleh dicari bagi mengharmonikan apa jua keadaan yang ada bagi tujuan menjadikan hartanah dan harta wakaf satu kekuatan ekonomi orang-orang Melayu Islam.
Yb. Haji Husam Musa
ADUN Salor
20hb. September 2015/6 Zulhijjah 1436H
Sila kongsi artikel ini...