Apakah Yang Akan Diwarisi Oleh Anak Muda Malaysia di Masa Depan - Faiz Fadzil
APAKAH YANG AKAN DIWARISI OLEH ANAK MUDA MALAYSIA DI MASA DEPAN?
Krisis kemelesetan ekonomi yang sedang menghantui negara amat membimbangkan terutama kepada anak muda. Dalam mengatasi kemelut ekonomi yang semakin membarah ini, Perdana Menteri telah mengumumkan suntikan dana sebanyak RM20 billion ke dalam pasaran saham domestik melalui syarikat ValueCap Sdn Bhd yang dimiliki oleh agensi kerajan iaitu Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Pelbagai persoalan yang meragukan timbul, justeru kami Pemuda Amanah Nasional ingin membangkitkan beberapa persoalan yang amat relevan dan penting:
1) Mengapakah Kerajaan tidak menggunakan wang RM20 billion tersebut untuk tujuan pelaburan dalam aktiviti ekonomi sebenar (real economy) yang mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) yang lebih tinggi yang mana akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik sekaligus menambahkan pendapatan dan menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata? Tidakkah tindakan suntikan sebegini hanya menaikkan nilai keuntungan di atas kertas semata-mata, tidak lebih dari itu?
2) Adakah wang rakyat akan digunakan lantaran pemegang saham ValeuCap adalah terdiri daripada institusi-institusi yang dilihat sebagai lubuk tabungan rakyat iaitu KWAP, PNB dan Khazanah Nasional Bhd?
3) Adakah suntikan dana ini merupakan pakej pemulihan jangka panjang dan efisyen dalam menangani krisis yang sedang dihadapi sedangkan langkah yang sama telah dilakukan oleh kerajaan China beberapa bulan dahulu namun akhirnya mengheret pasaran saham republik itu ke dalam tragedi ‘China Black Monday’ pada tanggal 24 Ogos 2015? Tidakkah sentimen negatif terhadap kewangan negara bertambah memandangkan langkah China berkenaan turut dikritik hebat oleh para pakar ekonomi dan penganalisis dunia?
4) Siapakah yang akan sebenar-benarnya mendapat faedah daripada suntikan dana ini dan apakah jaminan kerajaan bagi memastikan suntikan dana tersebut tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik dan juga individu tertentu melalui pemberian 'duit kopi' untuk tujuan pembersihan wang haram (money laundering) sepertimana yang didakwa berlaku dalam skandal 1MDB?
Penyusutan nilai mata wang negara yang mendadak perlulah ditangani dengan segera bagi pemulihan ekonomi jangka panjang. Suntikan dana tersebut hanyalah langkah pintas dan bersifat pemulihan jangka pendek semata-mata yang bakal mendedahkan pasaran Malaysia sekali lagi kepada aliran keluar dana asing yang lebih besar, terutamanya setelah suntikan RM20 billion itu habis dibelanjakan. Jumlah sebesar ini jika disuntik sebagai peruntukan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kecil dan sederhana seluruh negara mampu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang penglibatan dalam ekonomi domestik yang lebih luas.
Meskipun pihak kerajaan sering menggunakan alasan fenomena global yang menyebabkan penyusutan nilai mata wang, namun sesuatu yang tidak mampu pihak kerajaan nafikan ialah skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.67 billion ke akaun peribadi PM sendiri telah menggalakkan dan meningkatkan lagi sentimen negatif terhadap kedudukan ekonomi negara. Justeru kami melihat perletakan jawatan oleh Perdana Menteri adalah antara langkah awal yang efisyen, berakauntabiliti dan bertanggungjawab yang seharusnya dilakukan bagi memulihkan ekonomi negara.
Pemimpin negara wajib mendahulukan nasib negara dengan membela masa depan anak muda. Kami mahu mewarisi kekayaan yang adil lagi saksama di samping kesenangan hidup tanpa bebanan kos saraan yang tinggi. Wariskanlah kepada kami kemakmuran dan bukannya bebanan hutang dan pinjaman. Kegusaran tentang nasib anak muda semakin bertambah apabila perhimpunan baju merah gagal melihat keseriusan kemelut ini, malah jika api perkauman yang mahu diwariskan, kami bimbang masa depan anak muda amat gelap - bukan sekadar hidup dalam kemiskinan, malah dalam persengketaan dan perbalahan sesama sendiri. Kami khuatir nantinya yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.
Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
Amanah Nasional
Parti Amanah Negara
18 September 2015
Sila kongsi artikel ini...