PSM: Melayu Hilang Pedoman? Membakar Perkauman Demi Kepentingan Regim Korup
MELAYU HILANG PEDOMAN?
MEMBAKAR PERKAUMAN DEMI KEPENTINGAN REGIM KORUP
Perhimpunan rakyat di Kuala Lumpur sudah pun berlalu. Dianggarkan penyertaan Perhimpunan Bersih 4 (Baju Kuning) pada penghujung 29 dan 30 hari bulan Ogos berjumlah 500,000 orang. Mereka yang datang dari seluruh negara, sanggup membiayai sendiri, membeli baju kuning dan tidur di kaki lima demi memberitahu rakyat Malaysia bahawa Negara kita makin meruntuh dan dalam kecemasan. Walhal Perhimpunan Maruah Melayu (Baju Merah) pada 16 hari bulan September berjumlah 30,000 orang pada mulanya dijanjikan 1,000,000 akan berhimpun di Kuala Lumpur. Perhimpunan Baju Merah wujud berdasarkan sewaan peserta-peserta (rent-a-crowd), dibiayai dan mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan UMNO tertentu dan kerajaan Malaysia. Ramai tidak tahu menahu tujuan kehadiran mereka di Kuala Lumpur. Mereka juga mengumpan masyarakat gelandangan di sekitar Kuala Lumpur untuk meramaikan lagi penghimpunan ini. Pelbagai pandangan, fitnah dan tohmahan dilemparkan melalui media massa dan semasa perhimpunan tersebut agar membara lagi api perkauman dengan sekali gus dapat melunakkan isu yang sebenarnya iaitu negara dalam keadaan darurat ekonomi dan seluruh dunia sudah tahu Negara yang tercinta ini merupakan Negara yang paling korup dan mereka bersedia mempertahankan pucuk pimpinan Melayu yang korup. Soalnya bagaimana kah masyarakat Melayu dan Bukan Melayu yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan ini mahu menyokong pemimpin-pemimpin Melayu menjelangnya pilihan raya umum nanti.
Perhimpunan Baju Kuning inginkan pembangunan Negara yang adil, saksama, demokratik dan tidak korup. Walhal Perhimpunan Baju Merah pula ingin mengekalkan Perdana Menteri Najib dan kabinetnya walaupun sudah berlaku kecuaian, keraguan, salah guna kuasa dan penyelewengan wang. Akhirnya rakyat terpaksa menanggung bebanan hutang piutang dan penipuan yang dilakukan atas nama rakyat walhal rakyat sendiri tidak menerima nikmati kekayaan Negara. Namun begitu, isu penyelewengan ini tidak akan hilang begitu sahaja kerana sukar hendak menghilangkan bau bangkai gajah yang busuk dan cuba pula ditutup pula dengan beberapa kepingan surat khabar.
Walaupun begitu kita tidak boleh remehkan kejadian Perhimpunan Baju Merah ini kerana implikasinya amatlah luas. Keadaan ini mendedahkan hakikat bahawa perkauman sungguh menebal dan segala usaha serta wawasan yang bertujuan menyatukan rakyat Malaysia tidak berkesan dan masih ketinggalan jauh ke belakang. Orang Melayu sudah hilang pedoman dan sanggup mempertahankan pemimpin-pemimpin Melayu yang korup. Kesemuanya budaya songsang ini bermula daripada pentadbiran Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Dengan bantuan media massa, pucuk pimpinan politik dan NGO, ramai kaum Melayu terpengaruh dengan hasutan yang membenci kaum dan agama tertentu seolah-olah tidak ada kaum lain yang lebih unggul daripada kaum sendiri. Yang menghancurkan maruah Melayu berakar umbi daripada pentadbiran dan tingkah laku pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Benih fasis ini sengaja ditanamkan dalam hati sanubari peserta-peserta Perhimpunan Baju Merah dan hari demi hari matlamatnya terus bercelaru termasuklah percanggahan pendapat antara pemimpin-pemimpin UMNO, pembiaya dan penganjur perhimpunan ini.
Ada yang bersuara bahawa mereka ingin mempertahankan martabat dan maruah Melayu. Soalan yang timbul, siapa kah yang mencabuli maruah dan memundurkan kaum Melayu. Semenjak Merdeka lagi, Negara ini dikongkong dengan dasar-dasar yang memihak kaum Melayu termasuklah institusi kehakiman, kewangan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya yang diketuai oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Malahan semenjak Merdeka lagi, segala Perdana Menteri merupakan kaum Melayu. Maka mengapa kah kaum Melayu masih terpinggir dan terperangkap dalam budaya kebergantungan (culture of dependency) yang mewujudkan kaum pengemis dan benar-benar melumpuhkan inisiatif dan semangat berdikari . Ciri-ciri yang negatif ini dibela dan dibelai demi kepentingan kuasa politik, kedudukan dan membolot kekayaan. Melayu yang untung terdiri daripada kroni-kroni, keluarga sendiri dan sesiapa jua yang mereka dapat beli. Rakyat biasa yang memerlukan bantuan untuk berdikari dipinggirkan dan diumpan dengan pelbagai janji-janji manis
Malangnya hari demi hari masalah ekonomi mengasak setiap keluarga miskin dan sederhana tidak kira kaum, warna kulit dan agama. Ada yang buta tuli dihasut habis-habisan, memikirkan bahawa kaum lain yang mengakibatkan keadaan mereka begini. Kerajaan terus memuja golongan kapitalis yang kaya raya dan diberi berbagai-bagai kelonggaran. Di samping itu mereka membebankan rakyat dengan pelaksanaan GST; harga barang yang meningkat; kejatuhan nilai ringgit; harga minyak yang merosot; rasuah yang bermerajalela; hutang 1MDB yang berlipat ganda; wang derma atau wang haram yang memasuki akuan Perdana Menteri dalam bank tempatan; kemelesetan Bank Negara, MACC, pihak keselamatan; pejabat Peguam Negara yang rela mempertahankan dan membela pentadbiran Negara yang mencabuli hak rakyat.
Sistem pembangunan yang dianuti ini berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan hingga menghancurkan manusia dan kemanusiaan serta memusnahkan alam semula jadi. Alangkah murninya semenjak merdeka lagi, pemerintah membangunkan Negara mengikut program menghapuskan kemiskinan tidak kira kaum atau agama. Taraf kemiskinan dikaji semula pada masa ke semasa agar memastikan tiada sesuatu kaum pun tertinggal dalam usaha membasmi kemiskinan secara menyeluruh. Andainya kaum Melayu masih tidak boleh berdikari semenjak Merdeka lagi maka kesalahan ini adalah pada pucuk pimpinan Melayu yang berfoya-foya dengan kaumnya sendiri.
Oleh
DR.MOHD.NASIR BIN HASHIM
Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia.
19 Sept,2015
Sila kongsi artikel ini...