Permohonan Maaf Terbuka Kepada Felixia @Raisyya Rania - Adeysham Nor
PERMOHONAN MAAF TERBUKA KEPADA
FELIXIA @ RAISYYA RANIA
19 SEPTEMBER 2015
Pemuda AMANAH Negeri Melaka mengambil maklum mengenai isu Poster Anti Rasis yang menggunakan foto Saudari Felixia @ Raisyya Rania. Kami mengakui bahawa poster itu telah dibuat dan dikeluarkan oleh Pasukan IT kami yang ianya di bawah seliaan Pengarah Komunikasi, Pemuda AMANAH Negeri Melaka.
Pihak kami juga amat PEDULI dengan teguran & pandangan Saudari Felixia yang tidak mahu foto beliau dikaitkan dengan mana-mana aktiviti pertubuhan politik. Kami mengakui kesilapan pihak kami yang asalnya berniat untuk menyampaikan mesej “ISLAM MENOLAK RASIS” yang ianya juga menjadi pendirian kami tetapi telah menjadi kontroversi kepada pihak Saudari. Namun kami tetap mengakui bahawa niat yang baik juga perlu dilakukan dengan cara yang betul. Justeru itu, pihak kami telah mengambil keputusan untuk:
Memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu ini dan pihak kami berjanji akan lebih cakna & berhati-hati dalam menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang. Untuk makluman semua, pihak kami telah pun memadamkan semua status yang berkaitan poster tersebut dalam masa kurang 24 jam ianya dikeluarkan kerana kami mendapati ianya tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak kami.
Pihak kami juga telah mengerahkan 1000 anggota “Orange Army” untuk mengesan dan mencari poster itu di media-media baru. Mana-mana poster yang dapat dikesan akan diminta untuk dipadamkan dan tidak diviralkan lagi.
Pihak kami juga sedang merancang untuk bertemu secara ‘in-person’ dengan Saudari Felixia dalam masa terdekat untuk menamatkan isu ini daripada berpanjangan.
Pihak kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu-individu yang telah menghubungi pihak kami untuk menawarkan diri menjadi model sukarela bagi poster kami. InshaAllah, hasrat dan niat murni ini akan kami jadikan inspirasi untuk terus berbakti bagi mendaulatkan Islam sebagai RAHMAT BUAT SEMUA.
Sekian, terima kasih.
AMANAH | PROGRESIF | PEDULI
Yang Menjalankan Amanah,
Adeysham Nor,
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka
------------------------
Sila kongsi artikel ini...