Di mana silapnya orang Melayu? - Mohamed Awang Lah
Di mana silapnya orang Melayu?
1. Peristiwa di Masjid negara semalam memaparkan satu sifat orang Melayu beragama Islam. Seorang hamba Allah cuba mengambil alih tempat imam secara paksa. Ada yang anggap orang itu adalah penganut Wahabbi atau Syia’ah. Ada yang kata beliau adalah agen IS. Ada yang menganggapnya seorang Arab. Ada yang memukulnya semasa beliau dibawa ke kereta polis.
2. Mereka melihat orang itu dari sudut kaum atau mazhab agama. Akhirnya, orang berkenaan dikenalpasti sebagai seorang yang kurang siuman. Bukankah tindakan orang Melayu beragama Islam, pada hari Jumaat yang mulia, adalah suatu tindakan zalim? Tidak ada kesabaran. Tidak ada sifat keperihatinan? Penuh dengan buruk sangka. Adakah ini telah menjadi satu ciri tegar orang Melayu?
3. Perkara yang hampir serupa dapat dilihat semasa perhimpunan baju merah. Seolah-olah semua masalah orang Melayu adalah kerana perbuatan kaum lain. Segala bentuk cacian dapat dilihat. Semuanya terhadap kaum lain. [Saya tidak bermaksud mempertahankan kaum lain. Yang salah tetap salah, tetapi tidak semestinya berasaskan kaum atau agama].
4. Adakah orang Melayu terasa begitu terancam dan tak tahu apa yang boleh dibuat secara rasional?
5. Apa sebenarnya yang dihendaki oleh orang Melayu yang menunjuk perasaan? Adakah mereka akan berpuas hati jika peristiwa 13 Mei berulang? Sudah 46 tahun berlalu. Yang menunjuk perasaan adalah generasi baru. Mereka nampaknya mewarisi perasaan generasi sebelumnya.
6. Orang Melayu sebenarnya sudah ada raja, ada perdana menteri dan menteri besar, ada parti yang memerintah sejak merdeka, ada ketua pentadbir, ada perkhidmatan awam, ada polis, ada tentera dan bermacam-macam lagi. Kita sudah merdeka selama 58 tahun. Sudah hampir tiga generasi. Orang Melayu berkuasa tanpa putus-putus. Perlembagaan mempertahankan hak orang Melayu.
7. Kenapa orang Melayu masih menuding jari kepada orang lain? Kenapa orang Melayu masih berpecah? Adakah kerana kurang ilmu atau hanya tidak percaya kepada orang berilmu? Adakah kerana terlalu beremosi atau hanya hendak mempertahankan ego? Adakah kita asyik berpolitik sahaja atau hanya mempertahankan kepentingan peribadi orang tertentu yang berkuasa?
8. Mungkin yang tak ada pada orang Melayu ialah kepimpinan yang jujur, ikhlas, adil dan amanah.
Di mana silap kita?
Mohamed Awang Lah
Sila kongsi artikel ini...