Pemimpin politik disaran bertemu, bincang saranan Dr Mahathir – Lim Kit Siang

2:16 AM 0 Comments A+ a-



Pada Mac tahun ini, saya menyarankan rakyat Malaysia mengumpul keberanian untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak terfikir termasuk membayangkan kemunculan seorang perdana menteri dan gabungan kerajaan baharu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dalam tempoh 3 tahun ini bagi "menyelamatkan” Malaysia, mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan membentuk urus tadbir yang baik.

Menerusi beberapa kenyataan media dan ucapan sepanjang Mac dan April, saya membincangkan kemungkinan wujudnya satu pakatan besar "Menyelamatkan Malaysia" pasca-Barisan Nasional (BN) dan pasca-Pakatan Rakyat (PR).

Saya juga menyatakan dengan jelas jika pakatan besar "Menyelamatkan Malaysia" dibentuk, ia mestilah tidak terhad kepada kaum atau agama tertentu tetapi meliputi semua kaum, agama dan daerah serta warga Malaysia dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.


Gabungan itu juga mesti melampaui pakatan dan parti politik sedia ada, merangkumi ahli-ahli Parlimen daripada kedua-dua kubu politik dan juga kedua-dua sisi Laut Cina Selatan, iaitu meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang perdana menteri dan sebuah kerajaan Malaysia yang baharu.



Saya juga melakar satu senario, iaitu berasaskan kedudukan di Parlimen sekarang, perdana menteri baharu boleh dilantik daripada kalangan ahli Parlimen dari Sarawak, Sabah atau Semenanjung Malaysia, dari mana-mana parti politik, lelaki atau wanita, yang mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen – dan beliau mesti komited untuk menyelamatkan Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Saya malah menyebut nama beberapa ahli Parlimen yang boleh dilantik untuk menjadi Perdana Menteri – antara nama yang saya sebut ialah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Saya juga menegaskan bahasa pakatan besar "Menyelamatkan Malaysia" tidak harus menjadi satu gabungan yang oportunistik, sebaliknya ia mesti diasaskan atas satu program yang berasaskan prinsip dan kepentingan negara, misalnya untuk mempertahankan ciri-ciri asasi Perlembagaan Persekutuan, memulihkan kebebasan institusi negara, serta meningkatkan integriti, kebebasan, keadilan, dan harga diri rakyat negara ini.

Gabungan besar "Menyelamatkan Malaysia" pasca-BN dan pasca-PR harus menjadi satu gabungan berwawasan dan berpandangan jauh, dengan matlamat mengembalikan keagungan negara Malaysia dan membolehkan Malaysia melonjak naik dalam pelbagai bidang, termasuk bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan alam sekitar, selain membentuk sebuah kerajaan yang bersih daripada rasuah, cemerlang dan menjunjung kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia – bukannya terjerumus ke dalam jurang dan menjadi sebuah negara gagal.

Dalam ucapan kepada para pelajar di Iskandariah, Mesir, pada bulan April lalu, saya menyebut salah satu agenda utama gabungan besar "Menyelamatkan Malaysia" pasca-BN dan pasca-PR ialah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh untuk kembali menyertai arus perdana politik Malaysia.

Saya bertanya ketika itu sama ada gagasan gabungan besar ini, melampaui pakatan dan parti politik sedia ada, adalah sesuatu yang praktikal dan mampu dicapai?

Sudah tentu ia cabaran terbesar yang sedang dihadapi rakyat Malaysia kini dan hanya masa akan menentukan sama ada gagasan itu mampu dicapai atau tidak.

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar pembangkang menyokong undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil mengekalkan BN sebagai kerajaan.

Para pemimpin politik boleh bertemu dan membincangkan cadangan menarik itu bagi melihat sejauh mana ia boleh membawa kita kepada matlamat "Menyelamatkan Malaysia".

-- Lim Kit Siang


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.