Kenangan Beberapa hari sebelum pilihan raya 1986 - Zin Mahmud
Aku dengar pejabat Jalan Pahang Barat milik Dewan Muslimat Sdn Bhd. Tapi ia dibuat atas nama perseorangan, iaitu Datin Sakinah, isteri Datuk Asri yang dulunya Ketua Dewan Muslimat. Sebab itu dulu PAS dikenali sebagai Parti Asri Sekeluarga.
Bila bergaduh dan berpecah maka jadi masalah. Macam rebutan harta sepencarian. Asri menubuhkan Hizbul Muslimin dan tarik semua hartanya untuk masuk ke dalam Hamim. Maka PAS kehilangan harta. Aku dengar macam tulah masa tu.
Jadi PAS carilah harta baharu dari derma penyokongnya. Dapatlah sebidang tanah di pinggiran Taman Melewar. Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Nakhaie Ahmad beli juga tanah di situ dan buat rumah berhampiran Markaz Tarbiyyah yang turut jadi Pejabat Agung.
Aku pergi ke situ dengan naik bas warna kuning merah dari Chow Kit. Bas ke Taman Melewar tak banyak. Tunggulah lama sikit. Penumpangnya tak ramai. Bila sampai Taman Melewar, hanya ada dua tiga orang.
Waktu hari kerja, kawasan itu amat sunyi. Begitu juga dengan Pejabat Agung. Aku terus naik tangga untuk ke atas. Terserempak dengan Dr Syed Husin Ali, Presiden Parti Rakyat Malaysia.
"Kami belum mesyuarat lagi," katanya sambil bersalam denganku. "Marilah kita sembang sembang kat bawah. Kat bilik tamu, parti lain pun ada."
"Baik Dr. Saya naik sejap kat atas tengok siapa yang ada," kataku.
Aku pun naik ke atas dan masuk ke ruang yang ada banyak kerusi sofa.
"Haa, ini Zin Utusan," kata Mustafa Ali bila nampak aku.
Aku beri salam dan senyum senyum. Aku pun salam beliau, Ustaz Abdul Hadi Awang, Pak Yusof Rawa, Ustaz Nakhaie Ahmad yang sedang menyusun menyusun kertas dan Ustaz Nik Aziz Nik Mat yang sedang betulkan serban beliau.
"Kami belum mesyuarat lagi. Anta tunggu kat bawah. Bilik tamu, ketua parti lain pun ada," kata Cikgu Pa. Aku pun turun ke bilik bawah.
Dari luar aku dengar perbualan yang rancak. Aku beri salam dan duduk di sofa. Di situ selain dari Dr Husin Ali, ada Ahmad Nor dan Fan Yew Teng dari Parti Sepakat Demokratik yang sebelumnya bernama Parti Sosialis Demokratik (SDP), parti serpihan DAP, tiga pemimpin dari Parti Nasionalis Malaysia atau Nasma, yang ditubuhkan oleh seorang bekas pemimpin UMNO yang aktif menentang Freemason.
"Macamana Dr. DAP tak nak masuk pakatan ini," aku tanya Dr Husin Ali mengenai pengumuman DAP untuk tidak menyertai pakatan pembangkang yang diketuai oleh PAS. Ini kerana mereka tidak mahu bekerjasama dengan PAS. Pengumuman ini mengejutkan kerana sebelum itu DAP menyatakan kesediaannya untuk menyertai pakatan pembangkang. Tujuan utama PAS pula supaya tidak ada pertandingan tiga penjuru. Sedangkan DAP pula dalam tinjauannya mereka dapati pengundi Cina akan menolak DAP jika parti itu bekerjasama dengan PAS.
"Biarlah DAP itu. Mereka akan rugi. Kita akan untung," kata Dr Husin yakin.
Tidak lama kemudian Mahaguru Omar Din sampai. Beliau baru saja menyertai SDP. Pemimpin pemimpin CCC juga sampai. CCC ialah Chinese Consultative Council yang mempunyai banyak anggota di Perak. Mereka adalah orang Cina yang menyokong PAS.
Para pemberita lain pun mula sampai.
Pemimpin pemimpin parti itu pun kemudian naik ke atas untuk bermesyuarat dan kami pemberita tunggu di bilik bawah.
Ada satu ketika aku berasa jemu dan keluar mengambil angin dengan melihat pokok pokok di tepi bangunan itu.
Tiba tiba aku lihat Ustaz Nakhaie turun tangga macam nak pergi ke rumahnya. Beliau lalu dekatku dan senyumnya padaku.
"Dah setuju dah. Nama pakatan ini ialah Harakah Keadilan Rakyat. Pendeknya kita panggil HAK," katanya sambil berjalan menuju ke rumahnya bersebelahan rumah Ustaz Hassan.
Harakah dalam bahasa Arab bermakna Gerakan. Masa itu akhbar Harakah belum wujud. Bagaimanapun, pembubaran Dewan Rakyat dibuat dengan mengejut. HAK tidak sempat menyusun strategi.
Dalam pilihan raya itu, PAS meletakkan calon paling ramai dalam sejarahnya. Kebanyakannya satu lawan satu dengan UMNO. Jika majoriti calon PAS menang memang PAS boleh tubuh kerajaan persekutuan.
Tetapi PAS dan HAK kalah teruk. PAS gagal merampas Kelantan dan menang hanya satu kerusi parlimen iaitu Pengkalan Chepa oleh Nik Abdullah Arshad. Sebelum pilihan raya 1986, inilah juga satu satunya kerusi yang dipegang oleh PAS, iaitu oleh Nik Aziz Nik Mat. Empat kerusi PAS yang lain telah beralih ke tangan Hamim selepas Datuk Asri keluar parti.
DAP menang selesa. Nasib baik mereka tidak menyertai HAK. Kalau tidak, mereka pun mungkin turut kecundang.
Sila kongsi artikel ini...