DAP: Jangan terus memperbodohkan rakyat dan mengganggap rakyat Malaysia tidak ada akal untuk berfikir!

8:42 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 22 Ogos 2015, di Kuala Lumpur.

Jangan terus memperbodohkan rakyat dan mengganggap rakyat Malaysia tidak ada akal untuk berfikir!

Pada pagi tadi, semasa mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading, Ketua Bahagiannya Datuk Abdul Aziz Kaprawi mendakwa bahawa penderma dari Timur Tengah memberi sumbangan dana sebanyak RM2.6 billion kepada Datuk Seri Najib Razak supaya UMNO boleh melawan DAP dalam PRU 13 kerana kononnya DAP dibiayai oleh Yahudi.

Penderma tersebut dikatakan khuatir pengaruh Yahudi akan meresap di Malaysia melalui DAP dan memusnahkan “Kerajaan Islam” yang diketuai Barisan Nasional.

Pada minggu lepas pula, Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat mendakwa sumbangan RM2.6 billion kepada Najib dari Arab Saudi ialah kerana menghargai peranan Najib melawan kumpulan militan ISIS!

Saya nak bertanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO sama ada mereka sedar atau tidak bahawa mereka menunjukkan tahap kebodohan yang tiada batasannya dalam perlumbaan mereka untuk menyelamat dan mempertahankan Najib dalam isu RM2.6 billion dalam akaun peribadinya.

Saya tidak kisah sekiranya pemimpin UMNO mahu menunjukkan kebodohan mereka tetapi janganlah sampai memperbodohkan rakyat Malaysia dan menganggap rakyat tidak ada akal untuk berfikir!

Lebih-lebih lagi, pemimpin-pemimpin UMNO nampaknya tidak malu menyalahgunakan nama agama Islam dan kononnya untuk mempertahankan Islam untuk “menghalalkan” wang RM2.6 billion dalam akaun Najib. Adakah mereka langsung tidak mempedulikan nilai kebenaran semata-mata untuk mempertahankan sesuatu yang jelas tidak amanah dan menyelamatkan karier politik mereka sendiri?

Kalaulah betul DAP menerima sumbangan daripada Yahudi ataupun mana-mana sumber asing, sudah tentu seluruh jentera propaganda UMNO dan kerajaan membongkarkan “agenda jahat” ini dalam kempen PRU 13 yang lalu dan “memusnahkan” DAP pada ketika itu dan bukannya membuat “pendedahan besar” ini hanya 27 bulan selepas PRU 13!

Untuk rekod, DAP berdepan dengan UMNO di 2 kerusi Parlimen sahaja iaitu Gelang Patah di Johor dan Sepanggar di Sabah dalam PRU 13. Adakah UMNO memerlukan RM2.6 billion untuk melawan DAP di 2 kerusi Parlimen tersebut? Secara keseluruhan, DAP hanya bertanding 51 daripada 222 kerusi dalam PRU 13. Kalau DAP menang semua 51 kerusi pun, tidak mungkin DAP boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.

Mungkin bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman yang melawan Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah boleh mengesahkan sama ada dana tersebut ditaburkan di Gelang Patah untuk menewaskan Kit Siang yang kononnya “ditaja oleh Yahudi” ataupun beliau tidak mendapat sebarang bantuan daripada Najib sehingga UMNO ditewaskan oleh DAP di Gelang Patah!

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa DAP tidak pernah mendapat sumbangan kewangan daripada mana-mana sumber asing. Saya juga ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa apapun usaha mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat, isu RM2.6 billion akan terus menghantui Najib dan UMNO, kini dan selama-lamanya!

-LOKE SIEW FOOK-
s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.