Antara vape dan rokok - Meor Yusof Aziddin
Antara vape dan rokok
oleh : Meor Yusof Aziddin
Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwriter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.
Walau apa dalil sekalipun, tidak kira sama ada merokok, menyedut vape mahupun shisha, 'point'nya kita menyedut asap masuk ke dalam badan, itulah kenyataannya. Tidak kiralah sama da ia asap tembakau mahupun wap, ia tetap negatif untuk nilai kesihatan badan kita.
Memang ajal maut itu di tangan Tuhan, malah ada perokok tegar masih juga merokok walau usia mereka sudah menjangkau 90 tahun. Namun itu bukanlah alasan untuk kita mengatakan merokok itu baik untuk kesihatan.
Hari ini penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi sangat popular terutaman di kalangan anak muda zaman ini. Ia berlaku secara tiba-tiba, dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan, mereka bangga menyedut vape yang asapnya bila keluar dari lubang hidung akan kelihatan seperti asap enjin motokar yang tidak diservis.
Nyatalah ini zaman vape dan anak muda. Banyak sebab mengapa fenomena ini berlaku. Salah satu sebabnya harga rokok yang semakin mahal harganya. Kita punya alternatif selain rokok, yakni rokok gulung, Shisha, vape mahupun rokok seludup yang harganya lebih murah.
Antara semuanya, penggunaan vape dilihat menjadi pilihan kerana bentuk dan gayanya yang sesuai dengan perkembangan dan dunia anak muda hari ini. orang dewasa pun hisap vape juga, itu sebab harga rokok yang mahal, kata mereka.
Anak muda hari ini akan bergaya dengan fesyen K-Pop mereka sambil menyedut vape, tidak kira di mana, di kompleks beli-belah, dalam LRT tren mahupun di mana saja sebab yang keluar dari hidup mahupun mulut hanyalah wap, bukan asap, kata mereka.
Punca akan segala hal adalah kerana harga rokok yang semakin mahal. Sekotak rokok gred A harganya RM13.50 dan harganya akan naik lagi dari masa ke semasa.
Saya mula merokok sewaktu di tingkatan 3. Waktu itu arwah bapak biasanya akan menyimpan sekotak rokok jenama Tiga Lima ( 555) dalam tin rokok. Bapak tidak merokok, rokok yang disimpan itu untuk tetamu atau kawan perokok yang datang.
Tahun 1970-an sehingga awal tahun 1980-an rokok jenama Benson masih menjadi pilihan ramai sebelum Dunhill mengambil alih. Rokok Tiga Lima ( 555 ) agak murah sedikit daripada Benson dan Dunhill.
Rokok Dunhill dan Benson ada yang dijual dalam kotak kecil (7 batang), sederhana (14) dan besar (20). Harga pula untuk kotak besar tidak sampai RM10.
Keinginan untuk merokok waktu itu kerana ianya lambang 'cool' bagi seorang lelaki sejati. Lelaki dan rokok sangat sinonim. Itu yang saya faham waktu itu. Poyo sungguh rasanya bila melihat lelaki yang tidak merokok yang biasanya kita panggil budak baik.
Biasanya waktu pulang dari sekolah, saya dan kawan akan melepak di panggung wayang Bruas untuk menghisap rokok.
Apabila kita bercakap tentang rokok, biasanya tidak ada langsung kebaikan untuk perokok melainkan akan dapat banyak penyakit. Tapi walaupun demikian, walaupun pada setiap kotak rokok akan dihiaskan dengan gambar mengerikan akibat kesan dari merokok, perokok tegar biasanya tidak pernah ambil peduli tentang itu semua.
Kebaikan merokok? Saya pernah ditanya soalan itu daripada seorang kawan yang tidak merokok. Jawapan saya, ia ‘surreal’ tapi ‘real’.
Antara vape dan rokok, saya lihat ia seperti zaman peralihan daripada analog ke digital. Jika fenomena ini dilihat berterusan dan mendapat sambutan, mungkin kilang rokok akan tutup dan perokok pun mula beralih ke vape.
Harga sebatang vape sekitar RM200 menjangkau ke ribuan ringgit. Feedback yang saya dapat daripada pengguna vape di kalangan kawan-kawan, mereka mengatakan vape lebih menjimatkan berbanding rokok.
Kementerian Kesihatan menasihatkan pengguna vape mahupun sisha berhenti menggunakannya untuk sementara waktu sementara Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengharamkan penggunaannya atas sebab kemudaratan, pembaziran antaranya.
Apa yang kita lihat, lagi ditegah, lagi itulah akan mendapat sambutan berkali-kali ganda, seperti yang kita lihat hari ini.
Apa yang nyata, semakin banyak kedai vape dibuka hari ini dan di mana-mana saja kita akan melihat asap wap berkepul di sekitar kita sebelum ia lenyap dalam beberapa saat.
Suatu yang pasti, bila saya melihat para remaja budak sekolah yang berpakaian uniform menghisap rokok atau vape di luar perkarangan sekolah dengan bangganya, itu adalah alamat yang tidak baik untuk nasib dan masa depannya.
Sebab ia akan melibatkan duit dan kesihatan untuk jangka masa yang panjang. Apa pun hidup ini atas pilihan kita sendiri.
– 20 Ogos, 2015.
Sila kongsi artikel ini...