Perlaksanaan Semula - Sistem Penguatkuasaan Automatik [AES] - Zulhazmi Shariff

1:11 PM 0 Comments A+ a-



PERLAKSANAAN SEMULA - SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK [AES]

Akhbar The Edge Market bertarikh 10 Ogos 2015 melaporkan kenyataan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Pengarah Urusan Boustead Holdings Berhad bahawa Sistem Penguatkuasaa Automatik (AES) akan kembali dilaksanakan tidak lama lagi di mana pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam masa seminggu dua lagi.

Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB turut dilaporkan berkata bahawa Boustead Holdings Berhad akan berkongsi perlaksanaan dan pembangunan AES apabila dilaksanakan nanti.

Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkata proses timbang tara (arbitrasi) antara syarikat pemegang konsesi AES sebelum ini iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd dengan Kerajaan telah diselesaikan secara baik.

Terdapat beberapa perkara menarik yang perlu kita sama-sama lihat dan nilaikan tentang urusan pengambil-alihan perlaksanaan AES ini.

Pada Februari 2015 Irat Properties Sdn Bhd dilaporkan telah memasuki dua (2) perjanjian pembelian saham bersyarat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd. Dengan ini, konsesi pengendalian AES adalah di bawah pengurusan Irat Properties Sdn Bhd.

Dalam masa yang sama Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd masih menuntut kerugian daripada Kerajaan Malaysia yang mana telah diumumkan oleh Tan Sri Lodin bahawa ianya sekarang telah diselesaikan melalui persetujuan kedua-dua pihak.

Pada 6 Mac 2012, Boustead Holdings Berhad, anak syarikat LTAT telah mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa mereka membeli 50% pegangan dalam Irat Properties Sdn Bhd bernilai RM127.8 juta. Baki 50% pegangan Irat Properties dipegang oleh LTAT. Pada April 2015, terdapat laporan menyatakan bahawa Boustead membayar dengan harga RM199 juta bagi 50% pegangan Irat Properties.

Untuk makluman Tan Sri Lodin adalah Pengarah Urusan Boustead Holdings yang merupakan anak syarikat LTAT di mana Tan Sri Lodin juga adalah Ketua Pengarah Eksekutifnya. Siapa pemilik Irat Properties Sdn Bhd? Tunggu tulisan selanjutnya nanti.

Kenyataan Tan Sri Lodin tersebut menimbulkan beberapa persoalan yang perlu diperjelaskan oleh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan LTAT.

1) Berapakah jumlah penyelesaian yang dipersetujui oleh Kerajaan dengan Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd?

2) Bagaimana AES akan dilaksanakan oleh pengendali baru iaitu Boustead dan LTAT?

3) Apakah tujuan Boustead dan LTAT menceburi bidang perlaksanaan sistem penguatkuasaan undang-undang ?

4) Apa pula kedudukan Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam perlaksanaan AES selepas ini?

5) Bagaimana Boustead dan LTAT mendapat pulangan kewangan daripada perlaksanaan AES ini kelak?

6) Apakah status AES Solutions yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk mengambil-alih perlaksanaan AES sebelum ini?

7) Apakah status saman-saman AES yang telah dikeluarkan selama ini dan adakah akan dikuatkuasakan semula?

8) Apa telah terjadi dengan cadangan menyerahkan AES untuk dilaksanakan oleh PDRM?

Saya mohon semua persoalan di atas diperjelaskan oleh pihak-pihak terlibat secara telus dan terbuka kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat yang semakin hari semakin tertekan dengan pelbagai kos sara hidup yang meningkat dan situasi ekonomi tidak menentu.

ZULHAZMI SHARIFF
10 OGOS 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.