Al-fatihah untuk APO? dan Ujang - Ronasina

10:06 PM 0 Comments A+ a-

By Ronasina, jalantelawi.com
View Original




Seperti direnjat elektrik, seluruh peminat kartun dan komik tanahair terkejut dengan penutupan penerbitan majalah Ujang dan APO?. Tanggal 6 Ogos 2015, MOY Publications menghentikan penerbitan dua majalah gergasi yang pernah menjadi jaguh pasaran tempatan sekaligus bermakna Ujang dan APO? turut menyertai arwah-arwah majalah kartun terdahulu. Ujang dan APO? dimakamkan bersama Gelihati, Mat Jenin, Batu Api serta berpuluh majalah kartun tanahair yang pernah mewarnai industri kartun dan komik tanahair.

Sejarah ringkas Ujang dan APO?

Majalah Ujang muncul di pasaran pada tahun 1993 di bawah Kharisma Publications. Dengan cogankata Majalah Lawak Antarabangsa, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) yang telah mencipta kegemilangan di majalah Gila-Gila mengorak langkah menerbitkan majalah Ujang bersama kartunis popular seperti Gayour, Nik dan Aie. Beberapa kartunis yang sedang mencipta nama dididik, diberi nama baru yang segar dan subur seperti Bijan, Sukun, Jering, Ubi, Duku, Halia dan Sireh (sekadar menyebut beberapa nama) juga penulis Azzam Supardi membentuk sebuah pasukan produksi yang mantap sehingga edaran setiap keluaran mencecah lebih 200,000 salinan. Maskot Din Beramboi menjadi fenomena sehingga direbut beberapa pihak. Peminat-peminat tidak sabar menanti kemunculan setiap isu untuk membaca Abe, Bersama Selamanya, Aku Hidup Dalam Blues, Budak Hostel dan lain-lain. Watak-watak kartun lerang (strip cartoon) seperti Murahguru Tandoori Payat, Pak Andak dan Angah, Bas Mini 222 mencuit hati. Majalah kartun sedia ada sedikit tergugat dan perlahan-lahan terikut juga corak persembahan Ujang.

Apabila kartunis Ujang (Ibrahim Anon) meninggalkan majalah tersebut, MOY Publications mengambilalih penerbitan majalah Ujang dan mengawal hakcipta dan harta intelek sehingga kartunis Ujang sendiri tidak dibenarkan berkarya menggunakan nama samaran Ujang. Meskipun diboikot sebahagian besar peminat tegar kartunis Ujang (Ibrahim Anon), majalah Ujang di bawah MOY Publications terus menjuarai pasaran, melonjak dengan gabungan barisan kartunis asal dan muka baru.

Majalah APO? muncul empat tahun selepas majalah Ujang. Juga diterbitkan oleh MOY Publications dengan kartunis Petai teraju utamanya bersama kartunis Sireh, Rambai, Ah Liow dan Blue (sekadar menyebut beberapa nama). APO? bermula dengan konsep gabungan komik lucu dan serius. Pelukis komik tanahair seperti Zoy, Fazrul Arhan dan Nizam Bachok turut memeriahkan keluaran awalnya. Edisi pengenalan APO? dengan harga murah gila, RM1 sahaja senaskhah. Atas faktor keuntungan barangkali, konsep APO? kemudiannya ditukar menjadi seratus peratus humor atau menjadi majalah Ujang nombor dua. Keduanya bersaing sesama sendiri. Banyak juga majalah baru muncul dengan konsep seperti mereka tetapi gagal bertahan. Ujang dan APO? mengungguli pasaran selama dua puluh tahun.

Zaman kejatuhan

Entah di mana silapnya majalah kartun bercorak ke-Malaysiaan perlahan-lahan tewas kepada komik manga alihbahasa dari Jepun yang mula menyerang pasaran. Syarikat penerbitan majalah baru juga cenderung menerbitkan majalah kartun berbahasa Melayu berkonsepkan manga. Ia menjadi virus menyerang antibodi majalah kartun beridentitikan kebangsaan. Ujang dan APO? juga dijangkiti virus ini sehingga terpaksa akur dan mengikut sedikit rentak mereka. Kartun ‘online’ pula melancarkan serangan ke atas generasi baru. Dengan menekan papan kekunci dan melayari internet, anak anak tidak perlu lagi keluar mencari majalah di kedai. Baca sahaja di skrin komputer atau telefon pintar. Kemunculan ‘video games’ dan ‘online games’ adalah pelengkap siri pembunuhan. Cuba letakkan telefon pintar dan majalah kartun di atas meja, yang mana akan dipilih oleh anak kita? Majalah kertas tergugat. Kartunis yang berkarya dengan konsep keMalaysiaan tersudut apabila kisah bagaimana membuat gasing, mandi sungai, pergi mengaji tidak lagi menangkap imaginasi generasi hari ini. Jualan semakin menyusut.

Keruh di hulu, maka keruh di hilir

Seperti pepatah di atas, itulah yang diakui oleh ‘orang kuat’ MOY Publications. Ekonomi yang tidak stabil, nilai matawang jatuh dan Government Service Tax (GST) menyebabkan kos operasi meningkat. Harga kertas naik, elektrik dan petrol mencanak sehingga mempengaruhi produksi. Justeru setelah segala kemunasabahan dihitung, bebanan yang tinggi dan tidak berbaloi, MOY Publications terpaksa akur menutup penerbitan majalah Ujang dan APO?. Untuk rekod, MOY Publications juga pernah menerbitkan majalah Era@MOY, Blues Selamanya dan sebuah majalah kartun bahasa Cina, Sot Sot tetapi tidak bertahan lama.

Masa depan kartun dan komik tanahair

Meskipun majalah ditutup, MOY Publications khabarnya sedang berusaha membawa kartun dan kartunisnya berkarya di alam maya. Erti kata lain untuk menyedapkan hati ialah dunia kartun dan komik masih belum mati, cuma berpindah dunia dari alam kertas ke alam skrin. Tetapi bagi peminat, kematian majalah adalah kematian industri. Seperti siri Battle Royal dalam sukan gusti, ke semua majalah telah tersingkir tewas dan hari ini cuma tinggal majalah Gila-Gila satu-satunya majalah beridentitikan kebangsaan luar pengaruh manga masih hidup. Sungguhpun edarannya kecil tetapi Gila-Gila terus bertahan untuk tahun ketiga puluh tujuh.

Berita terkini dari teman-teman, atas nama solidariti dan tidak ingin melihat khazanah kartun terkubur, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) dan beberapa kartunis kembali berjuang membantu Gila-Gila meneruskan nafas. Apakah Gila-Gila mampu mengharungi arus deras masakini? Apakah nasib kartunis hanya duduk melukis karikatur di sudut pusat membeli-belah dan tidak berpeluang lagi bangun gagah mengangkat semula martabat kartun Malaysia? Akan wujudkah kesedaran masyarakat terhadap hidup mati salah satu cabang seni lukis negara kita ini? Wallahua’lam. Buat masa ini, Al Fatihah untuk APO? dan Ujang.


Ronasina, seorang kartunis dan penerbit.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.