Bolehkah Saya Masuk Melayu? - Joe Yap

11:27 AM 0 Comments A+ a-



[Bolehkah Saya Masuk Melayu?] - Joe Yap

Kita sering mendengar persepsi masyarakat yang menganggap mereka yang bukan Melayu, apabila memeluk agama Islam, telah masuk Melayu. Betulkah tanggapan ini? Bolehkah kaum seseorang itu bertukar atau ditukar? Dalam senario ini, adakah saudara baru tadi dengan automatiknya menjadi seorang Bumiputera? Apakah perbezaan di antara status Bumiputera dan kaum Melayu?

Melayu adalah Bumiputera tetapi Bumiputera tidak semestinya Melayu. Sebelum penubuhan Malaysia pada tahun 1963, hanya kaum Melayu dan suku-suku kaum Orang Asal yang diiktiraf sebagai bumiputera di Semenanjung Tanah Melayu. Dengan penubuhan Malaysia, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah ditambah ungkapan “dan Bumiputera negeri Sabah dan Sarawak”. Maka, dua kelompok yang diiktiraf oleh Perlembagaan mempunyai kedudukan istimewa ialah kaum Melayu dan kaum-kaum Bumiputera. Selepas itu, masyarakat Siam Malaysia yang beragama Buddha dan Portugis Melaka yang beragama Kristian juga diiktiraf sebagai Bumiputera.

Takrif Melayu itu sangat luas dan jika diambil pengertian sejarah dan sosio-budaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu. Walaupun terdapat pelbagai suku kaum, bangsa, bahasa dan loghat, ahli-ahli bahasa dan budaya menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang sama iaitu keturunan Melayu (Syed Husin Ali, 2008, The Malays: Their Problems and Future).

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 160(2) memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, lazimnya bertutur dalam bahasa Melayu, dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan; atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. Jika seseorang itu tidak memenuhi atau menepati mana-mana bahagian dari syarat-syarat tersebut, dia tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Peruntukan kedudukan istimewa Melayu telah dijamin di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Kedudukan istimewa Melayu ini merupakan sebahagian dari “Kontrak Sosial” di antara kaum-kaum terbesar di Malaysia, di mana kaum Melayu bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada 1.2 juta orang Cina dan 300 ribu orang India dengan syarat mereka mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu.

Adakah India Muslim diikitiraf sebagai Bumiputera? Setakat ini, golongan India Muslim masih belum diiktiraf sebagai Bumiputera. Persidangan Perwakilan Tahunan Kongres India Muslim (KIMMA) ke-30 di Kuala Lumpur pada tahun 2005 telah menghasilkan lapan resolusi yang kemudiannya disampaikan kepada Perdana Menteri. Salah satunya, menurut Timbalan Presiden KIMMA, Syed Ibrahim Kader, menuntut agar India Muslim diberikan taraf sebagai orang Melayu atau setidak-tidaknya diterima sebagai Bumiputera.

Permintaan KIMMA supaya diberikan taraf Melayu itu bukan sahaja tidak begitu dipersetujui oleh pakar-pakar Sejarah tetapi ia juga tidak diterima oleh beberapa persatuan India Muslim yang lain. Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Dr. Syed Ibrahim Mohd. Ismail, pula melihat isu itu telah dibesar-besarkan dan kemudiannya menjadi kontroversi kerana ia menyentuh hak keistimewaan Melayu. Menurut beliau, sudah memadai kalau masyarakat India Muslim meminta status Bumiputera.

Menurut KIMMA, penduduk India Muslim di Malaysia, dalam daftar kelahiran, ada yang didaftarkan sebagai Melayu dan ada juga yang didaftarkan sebagai India, India Muslim dan Malabar. Untuk mereka yang tidak didaftarkan sebagai Melayu, mereka ketinggalan dari segala segi. Bagi orang India yang bukan Islam, mereka ada MIC yang menjaga sepenuhnya kepentingan mereka. Malah, kerajaan juga memberikan peruntukan istimewa 10 peratus untuk penempatan di IPTA kepada kaum India. Tetapi tiada apa-apa yang diperuntukkan untuk India Muslim.

Menurut Pakar Hubungan Etnik, Universiti Utara Malaysia, Dr. Hazman Hassan, melalui siaran Berita Astro Awani pada 12 Februari 2013, golongan India Muslim wajar mendapat pengiktirafan Bumiputera sekiranya ciri-ciri yang ada pada Bumiputera dipraktikkan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Ramai daripada mereka masih bertutur bahasa Tamil di rumah.

Menurut Dr Hazman, kebimbangan sama ada India Muslim berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di rumah ada asasnya tetapi pada masa yang sama kita melihat orang Jawa bercakap bahasa Jawa di rumah. Oleh itu, beliau menggesa definisi Bumiputera dikaji semula dengan teliti memandangkan Malaysia sudah lebih 50 tahun mengecapi kemerdekaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga berkata bahawa golongan India Muslim boleh diiktiraf sebagai Bumiputera jika mereka beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu.

Cina Muslim juga tidak terlepas dari permasalahan ini. Walaupun selepas memeluk Islam, bertutur Bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu serta dilahirkan di Malaysia, malahan digelar pula "masuk Melayu", mereka masih bukan Bumiputera.

Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan India Muslim yang menjadi Melayu berdasarkan peruntukan Perlembagaan, melalui proses kahwin campur dengan orang Melayu. Ratusan ribu Melayu di negeri-negeri utara termasuk Kedah dan Pulau-Pinang adalah terdiri dari mereka yang asalnya kaum India Muslim yang sama ada berkahwin campur dengan Melayu ataupun melalui transformasi budaya iaitu beransur-ansur mengamalkan budaya Melayu dan bercakap bahasa Melayu.

Bagaimana pula dengan anak-anak hasil dari perkahwinan campur? Apakah status kaum mereka? Berdasarkan buku bertajuk, “Buku Panduan Kemasukan ke Institusi Pengajian Awam, Program Pengajian Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2007/2008”, oleh Bahagian Pengurusan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, definisi Bumiputera adalah seperti berikut:

1. Semenanjung Malaysia – Jika salah seorang ibu atau bapa adalah Melayu atau Orang Asal sebagaimana dalam Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya diiktiraf sebagai Bumiputera.
2. Sabah – Jika bapa adalah Melayu atau Bumiputera Sabah sebagaimana dalam Artikel 160A(6)(a) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya diiktiraf sebagai Bumiputera.
3. Sarawak – Jika kedua-dua ibubapa adalah Bumiputera Sarawak sebagaimana dalam Artikel 160A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya diiktiraf sebagai Bumiputera.

Menurut kajian Nik Haslinda Nik Hussain dari Universiti Sains Malaysia yang diterbitkan dalam jurnal Kemanusiaan pada tahun 2010, Vol 7, muka surat 37-64, dasar Tanah Simpanan Melayu (TSM) telah diadakan di negeri Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan pada tahun 1913, serta Pahang pada tahun 1914. Selepas itu, dikuatkuasakan Enakmen Rizab Tanah Melayu di Kelantan dan Perlis (1930), Kedah (1931), Johor (1935) dan Terengganu (1941). Pentadbir Inggeris, pada waktu itu, memperkenalkan TSM untuk menyekat kehilangan tanah orang Melayu kepada bukan Melayu.

Berbanding negeri-negeri lain, pelaksanaan Enakmen Tanah Rizab Melayu 1930 di Kelantan agak berlainan, di mana tanah yang hendak dipindah milik kepada sesiapa sahaja yang bukan “rakyat jati Kelantan” mestilah mendapat kebenaran daripada Raja dan Majlis Negeri terlebih dahulu. Hal ini bermakna tidak ada tanah di Kelantan yang boleh diberi milik kepada sesiapa sahaja yang bukan rakyat jati Kelantan tanpa persetujuan raja dan Majlis Negeri (Kenyataan S.K. Das dalam artikel “The Torrens System in Malaya” - Malayan Law Journal Ltd, Singapura, 1993: 475).

Menurut kajian Das, maksud “rakyat jati Kelantan” ialah sesiapa yang tergolong dalam salah satu daripada kumpulan-kumpulan berikut:

1. Sesiapa yang dilahirkan di Kelantan dan bapanya adalah orang Melayu;
2. Sesiapa yang dilahirkan di Kelantan yang ibunya adalah orang Melayu dan bapanya orang Islam;
3. Sesiapa yang dilahirkan di mana-mana sahaja yang bapanya adalah orang Melayu yang dilahirkan di Kelantan;
4. Sesiapa yang dilahirkan di mana-mana sahaja yang kedua-dua ibu bapanya adalah orang Melayu dan telah menetap di Kelantan sekurang-kurangnya 15 tahun;
5. Sesiapa yang dilahirkan di Kelantan dan bapanya juga dilahirkan di Kelantan.

Di sini kita lihat bahawa Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 mengandungi perkataan “Melayu” yang ditakrifkan sebagai seorang anak Kelantan (native of Kelantan) sebagaimana yang terkandung dalam bab keempat Enakmen tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga keraguan dengan peruntukan anak Kelantan ini apabila ia melibatkan kes-kes pengambilan anak angkat dari kaum atau bangsa lain. Anak angkat yang bukan Melayu biasanya dijadikan seorang Melayu dengan diberi nama Melayu, memeluk agama Islam, dan menuruti adat istiadat Melayu. Oleh itu, anak angkat tersebut termasuk dalam takrif “Melayu” dan anak Kelantan sepertimana yang terkandung dalam Seksyen 13, Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930.

Masalah akan timbul dalam hal pindak milik tanah. Pihak mahkamah boleh mengisytiharkan seseorang itu sebagai bukan Melayu dan bukan anak Kelantan, atau sebaliknya. Sebagai contoh, kes Hanisah lawan Tuan Mat yang dipetik dalam Malayan Law Journal, Vol 1 (1970): 213. Dalam kes ini, Hanisah membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pindah milik tanah kepadanya tidak sah dan batal. Ini berikutan timbulnya pertikaian sama ada beliau merupakan seorang Melayu atau perempuan berketurunan Cina yang dilahirkan di Singapura. Hanisah telah dijadikan anak angkat seorang Melayu dan diberikan nama Melayu, iaitu Hanisah binti Abdullah @ Muhammad.

Keputusan ini berdasarkan sepucuk surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang mengakui menerima keputusan Majlis Mesyuarat Negeri bahawa perayu bukan seorang Melayu. Pihak penentang rayuan telah berjaya mendapat pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Hanisah bukan seorang Melayu.

Walau bagaimanapun, pihak yang merayu membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan rayuan itu diterima. Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri itu tidak terpakai (not binding) ke atas Mahkamah kerana ia bukan keputusan Sultan tetapi keputusan Majlis Mesyuarat Negeri dan pihak menentang rayuan juga gagal membuktikan bahawa pihak merayu bukan seorang Melayu dan bukan seorang anak Kelantan.

Kes ini menunjukkan bahawasanya walaupun seseorang itu sudah memeluk Islam sejak kecil dan membesar di kalangan keluarga Melayu, bercakap bahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu, dia tetap tidak diterima sebagai Melayu secara teknikal biarpun sudah menjadi Melayu dari sudut perlembagaan. Apatah lagi bagi mereka yang memeluk Islam setelah dewasa atau ketika berumur 18 tahun, iaitu umur minima yang dibenarkan undang-undang untuk memeluk Islam tanpa perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa.

Maka, persepsi masuk Melayu jika memeluk Islam hanyalah persepsi semata-mata. Mereka tidak akan menjadi Melayu atau Bumiputera. Walau bagaimanapun, jika mereka yang bukan Melayu berkahwin dengan Melayu, anak-anak mereka boleh menjadi Melayu berdasarkan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Proses ini secara tidak langsung mengurangkan populasi penduduk Cina dan India apabila anak-anak mereka diserapkan ke dalam kelompok atau menjadi Melayu.

Mengikut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada tahun 2000, jumlah Cina Muslim di Malaysia adalah 57,221 orang (1% dari keseluruhan kaum Cina yang seramai 5.69 juta orang). Pada tahun 2012, angka ini menurun kepada 42,048 orang (0.66% dari keseluruhan Cina seramai 6.39 juta orang). Jumlah Cina Muslim hanyalah 0.24% berbanding India Muslim 0.45% (78,702 orang) dari keseluruhan penduduk Malaysia seramai 28.33 juta orang pada tahun 2012.

Mengapakah jumlah Cina Muslim mengecil sedangkan ribuan orang Cina memeluk Islam saban tahun? Salah satu kemungkinan ialah mereka telah dikategorikan sebagai Melayu ketika bancian dilakukan kerana nama mereka menyamai nama Melayu dengan “Bin” atau “Binti Abdullah”. Jika dilihat kepada jumlah penduduk Islam di Malaysia, ia adalah 61.3% (17.38 juta dari 28.33 juta orang) pada tahun 2012 berbanding 60.4% (14.19 juta dari 23.49 juta orang) pada tahun 2000. Satu peningkatan.

Uthaya Sankar dalam tulisannya bertajuk “Kami tidak masuk Melayu” di portal Malaysian Insider pada 4 Mac 2013 mendedahkan realiti, di mana ada golongan India Muslim dan Cina Muslim yang lebih gemar menggelarkan diri mereka sebagai “orang Melayu”. Beliau mendapatkan pandangan beberapa rakan bukan Melayu yang telah memeluk Islam sama ada mereka mahu dikenali sebagai “Melayu” atau masih berbangga mengekalkan identiti kaum atau etnik asal selagi tidak bercanggah dengan Islam?

Rasyeeda Begum dari Pulau Pinang menceritakan kepada Uthaya bahawa ibu beliau adalah generasi ketiga India Muslim yang juga dikenali sebagai Mamak. Bapanya pula datang ke Tanah Melayu dari India pada tahun 1960 bersama datuknya. Beliau bangga dengan identiti Jawi Peranakan iaitu masyarakat India Muslim yang sudah mengasimilasikan budaya Melayu tetapi tetap berpegang pada sedikit sebanyak budaya India yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

Menurut Uthaya lagi, dilema identiti antara “India Muslim”, “Melayu” dan “Bumiputera” ternyata menimbulkan masalah. Beliau memberi contoh Amirah Farveen Basheer Ahmad, pelajar cemerlang SPM, yang kisahnya telah dilaporkan akhbar Berita Harian pada 25 Ogos 2011. Amirah pada mulanya tidak dapat meneruskan pengajian ke UIAM kerana status Bumiputera tidak dipenuhi oleh ibu bapanya berikutan rekod JPN menunjukkan mereka adalah India Muslim.

Penulis juga mempunyai seorang sahabat yang merupakan generasi ketiga Cina Muslim di Malaysia. Datuk beliau memeluk Islam ketika zaman awal penubuhan PERKIM. Bapa beliau berkahwin dengan Cina Muslim dan beliau turut berkahwin dengan Cina Muslim. Anak-anak beliau yang merupakan Cina Muslim generasi keempat, bermata sepet, mempunyai nama seperti Melayu, berbahasa Melayu dan Cina di rumah, serta hidup sebagai orang Malaysia, juga tidak mendapat keistimewaan sebagai Melayu mahupun Bumiputera.

Isu-isu berkaitan perkara masuk Melayu dan keistimewaan-keistimewaan tertentu yang diberikan kepada orang Melayu sememangnya mempunyai implikasi yang hanya dimengerti oleh mereka yang melaluinya, iaitu generasi yang lahir dari golongan yang telah memeluk Islam dan lahir atau menetap di Malaysia.

Apa pun, bangsa tidak penting dalam Islam. Sebaliknya, ketaqwaan kepada ALLAH SWT yang patut diutamakan. Sebagaimana Firman ALLAH SWT yang bermaksud,

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat: 13)



Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.