Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini - S. M. Mohamed Idris

6:41 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Akhbar
23 Julai 2015

Kerajaan Malaysia Perlu Tarik Diri Dari TPPA Memandangkan
Rundingan Akan Dimuktamadkan Pada Minggu Ini
Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan diadakan pada minggu ini dan minggu depan di Hawaii.

Dijangkakan ia adalah pusingan terakhir rundingan TPPA. Ketua Perunding dan pasukan mereka akan bertemu pada 24 – 27 Julai diikuti oleh mesyuarat Menteri Perdagangan pada 28 – 31 Julai.

Menteri-Menteri dijangka menyelesaikan semua isu tertangguh dan memuktamadkan teks TPPA pada 31 Julai. Selepas beberapa pindaan dan “semakan perundangan”, Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada Oktober atau November 2015.

Oleh sebab itu mesyuarat di Hawaii pada minggu ini amat penting. Ia merupakan peluang terakhir bagi Malaysia untuk membuat pilihan yang betul kerana ia akan menjejaskan rakyat dan generasi masa hadapan Malaysia.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yakin bahawa TPPA merupakan perjanjian yang penuh dengan kecacatan dan akan memberikan kesan buruk ke atas ekonomi dan masyarakat Malaysia, serta tidak langsung membawa sebarang manfaat sepenuhnya.

Oleh sebab itu kami menggesa Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet, supaya menarik keluar Malaysia dari rundingan TPPA dan tidak menjadi sebahagian daripada pihak yang memuktamadkan rundingan atau menandatangani perjanjian itu.

Kami juga turut menggesa Ahli Parlimen peka akan isu dalam TPPA dan menyuarakan bantahan agar Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam TPPA, serta mengundi agar Malaysia tidak menyertai TPP.

Rundingan di Hawaii pada minggu ini amat berbahaya memandangkan Amerika Syarikat (AS) khususnya akan memberi tekanan ke atas Malaysia agar bersetuju dengan terma dan syarat bagi isu yang tertangguh dalam TPPA.

AS percaya ia kini berada dalam kedudukan yang kuat disebabkan Presidennya telah memperolehi kuasa ‘fast track’ daripada Kongres. Ini membolehkan Pentadbiran AS meletakkan TPPA dihadapan Kongres AS untuk diundi “Ya atau Tidak” tetapi bukan untuk mengubah teks.

Oleh itu ia amat berbahaya kerana AS akan cuba mengasak pandangan mereka berhubung isu tertangguh yang akan menjadi tumpuan dalam pertemuan di Hawaii.

Antara isu tertangguh yang utama dalam pusingan rundingan di Hawaii ialah:

· Menjadikan perlindungan harta intelektual lebih panjang dan kuat untuk manfaat syarikat transnasional, terutama sekali industri farmaseutikal, dan dengan itu melemahkan peranan dan kemudahan mendapatkan ubatan generik yang lebih murah.

· Sama ada Malaysia mampu untuk mengambil langkah kesihatan seperti kawalan ke atas pemasaran tembakau yang sedang dicabar dalam banyak peruntukan TPPA.

· Mengembangkan hak pemegang hakcipta dan dengan itu menjadikan buku teks, jurnal, maklumat saintifik dan maklumat digital menjadi mahal untuk jangkamasa lebih lama.

· Menghapuskan duti import ke atas hampir semua barangan, dan membenarkan syarikat asing bebas masuk ke dalam sektor perkhidmatan.

· Menekan Malaysia untuk menyertai banyak perjanjian antarabangsa, termasuk UPOV 1991, yang akan mengurangkan kemampuan petani untuk mengawal benih mereka sendiri dan menjadikan mereka bergantung kepada dan membayar royalti ke atas benih milik syarikat transnasional.

· Memuktamadkan butiran sistem pertikaian pelabur-negara, di mana pelabur asing dibolehkan untuk menuntut berbilion ringgit daripada kerajaan bagi sebarang kerugian daripada keuntungan masa hadapan akibat pengenalan atau perubahan dalam dasar negara atau negeri dan juga dalam melaksanakan undang-undang dan dasar sedia ada.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai pemerolehan kerajaan di mana kerajaan hilang hak untuk memberikan keutamaan kepada perniagaan tempatan dalam pemerolehan barangan dan perkhidmatan.

· Meminta Malaysia supaya menerima undang-undang baharu mengenai perniagaan milik negara di mana syarikat berkaitan kerajaan tidak akan dibenarkan untuk menerima bantuan kerajaan atau memberikan keutamaan kepada syarikat dan penduduk tempatan apabila membeli atau menjual bahan atau perkhidmatan.

· Melarang atau mengehadkan hak kerajaan untuk mengawal aliran masuk dan keluar dana dan memberikan hak yang belum pernah terjadi sebelum ini kepada institusi kewangan asing untuk menyaman kerajaan di tribunal antarabangsa.
Jika menteri Malaysia tunduk kepada tekanan ini, kesan sampingan yang akan berlaku termasuklah:

· Harga bagi ubatan yang lebih tinggi, menjadikannya sukar untuk dicapai oleh golongan miskin dan kelas pertengahan. Contohnya, ubatan terbaharu bagi Hepatitis C kini berharga lebih RM300,000 untuk rawatan 12 minggu.

· Syarikat ubatan generik tempatan akan mendapati lebih sukar untuk kelangsungan dan pengimportan banyak ubatan generik murah juga akan menjadi sukar dan lambat. Ini akan menafikan pesakit Malaysia terhadap hak mereka untuk mendapatkan akses terhadap rawatan, dan menyebabkan banyak kematian yang tidak sewajarnya dan penyakit serius yang tidak dirawat akan berterusan.

· Perlindungan kesihatan awam melalui kawalan ke atas penjualan tembakau akan dikompromi memandangkan langkah ini boleh dicabar oleh syarikat tembakau yang akan mengambil kesempatan daripada peruntukan dalam TPPA. Penjualan produk tembakau membunuh ramai rakyat Malaysia setiap tahun.

· Penghapusan tarif secara menyeluruh akan mengancam daya maju industri tempatan dan mengancam pekerjaan serta kehidupan beribu penduduk tempatan.

· Beribu petani kecil akan terancam kehidupan mereka oleh import yang murah dan mereka terpaksa membayar lebih untuk benih dan input pertanian lain.

· Pelajar dan rakyat Malaysia lain perlu membayar harga yang tinggi bagi buku dan bahan maklumat mereka bagi tempoh yang lebih panjang, atau tidak membelinya disebabkan oleh harga tinggi.

· Kerajaan akan dibataskan daripada mengawal aliran dana ke dalam dan keluar negara, dengan itu akan kehilangan alat dasar penting untuk memastikan kestabilan kewangan dan mengelakkan krisis kewangan. Ini akan memudaratkan kerana Malaysia akan mudah terjejas oleh krisis kewangan global baharu.

· Rakyat dan perniagaan tempatan kita tidak lagi mampu untuk menikmati keutamaan atau bantuan daripada perbelanjaan dan projek kerajaan memandangkan orang asing dari negara TPPA akan diberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada warganya.

· Syarikat dan perniagaan negara di mana kerajaan mempunyai kepentingan akan dibendung dalam operasi mereka dan syarikat asing yang besar mampu dengan lebih baik untuk mengambil saham mereka daripada pasaran tempatan.

· Hak kedaulatan negara untuk membuat dasar dan Parlimen untuk menggubal undang-undang dan kehakiman untuk mentafsir undang-undang berada dalam bahaya disebabkan sistem pertikaian pelabur-negara dalam TPPA di mana orang asing boleh menyaman kerajaan berbilion ringgit di tribunal asing yang menunjukkan lebih berpihak kepada pelabur asing.

Sementara TPPA akan memberikan kesan sampingan yang serius ke atas rakyat Malaysia, tiada sebarang manfaat yang akan dibawa oleh TPPA. Malaysia sudah pun menikmati akses pasaran ke Amerika Syarikat dan negara maju lain bagi hampir semua produk penting kita, manakala akses pasaran ke negara Asia dan ASEAN lain sudah pun diperolehi melalui perjanjian perdagangan kita dengan mereka.

Oleh itu tiada alasan bagi Malaysia untuk menyertai TPPA. Tidak terlambat bagi kerajaan untuk membuat keputusan yang betul dan menarik diri dari TPPA sebelum ia dimuktamadkan pada minggu ini.

Tiada apa yang perlu dimalukan untuk menarik diri daripada perjanjian yang tidak memberikan manfaat tetapi sebaliknya membahayakan negara. Banyak negara lain telah membuat keputusan untuk tidak menyelesaikan rundingan mereka apabila berhadapan dengan hasil perjanjian perdagangan yang tidak memihak kepada mereka.

Malah ia lebih memalukan dan menjadi satu tragedi kepada negara untuk melengkapkan dan menyertai perjanjian yang komprehensif dan yang memusnahkan sepertimana TPPA ini, yang akan melepaskan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin di masa lalu untuk Malaysia, dan yang akan merosakkan prospek bagi masa depan pembangunan sosial dan ekonomi kita.

Perdana Menteri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kabinet perlu membuat keputusan sekarang untuk tidak menyertai TPPA dan untuk tidak meneruskan rundingan itu.


S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang




--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.