Kita panggil ini "krisis organisasi". Apa masalah utama dalam organisasi PAS? - Ahmad Sabki Yusof
Tiada manusia yang boleh menafikan bahwa PAS masih bergelumang dalam krisis.
Kita panggil ini "krisis organisasi".
Apa masalah utama dalam organisasi PAS?
Saya berani nyatakan masalah paling utama adalah halatuju politik PAS yang kabur.
Saya tidak bercakap tentang matlamat PAS, matlamat PAS tetap Islam.
Sejak pasca PRU-12 lagi (2008), PAS berdepan dengan dua pandangan politik yang berbeza - pertama membentuk pakatan politik bersama PKR dan DAP atau pilihan kedua membentuk kerajaan bersama UMNO/BN.
Ramai ahli PAS percaya isu ini telah selesai bila PAS telah membuat keputusan bersama Pakatan Rakyat. Ya, ia selesai tetapi ia tidak mati disitu.
Setelah melalui pengalaman berkerajaan bersama PKR dan DAP, wujud desakan untuk PAS berundur dan mengkaji semula kerjasama ini.
Maka, timbul semula persoalan tentang model kolisi politik mana yang lebih baik untuk Islam dan Melayu - Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.
Mereka yang percaya model politik UMNO/BN lebih baik untuk Islam dan Melayu mula menunjuk sikap tidak mesra Pakatan Rakyat dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang semua kita tahu.
Hari ini PAS masih mendakwa bersama Pakatan Rakyat walaupun PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP. Hal ini tentunya lucu kerana umum tahu bahawa Pakatan Rakyat adalah gabungan 3 parti, maka apabila terputus hubungan mana-mana satu darinya maka tiada lagi pakatan untuk Pakatan Rakyat.
Jadi apakah sebenarnya halatuju politik PAS? PAS perlu nyatakan dengan jelas untuk menghilangkan keresahan ahli dan pemimpin pertengahannya.
Apakah PAS ingin bersama dengan PKR sahaja? Sedangkan PKR ingin bekerjasama dengan semua pihak yang menuntut perubahan termasuk DAP.
Apakah PAS ingin bersendirian?
Atau, apakah PAS ingin bekerjasama dengan UMNO?
Apa yang penting PAS perlu nyatakan sikapnya dengan jelas untuk langkah pertama keluar dari krisis ini. Kalau tidak, ahli dan pimpinan pertengahan PAS akan bertambah bosan dengan PAS.
Pilihan pertama bukan lagi satu pilihan kerana PKR tidak berminat untuk membina hubungan hanya dengan PAS.
Pilihan ketiga juga mungkin kabur kerana kalaupun PAS berminat untuk bekerjasama dengan UMNO, adakah UMNO perlukan PAS? Saya tak nampak UMNO perlukan PAS sebab UMNO sudah capai objektif strategiknya - pecahkan Pakatan Rakyat.
Maka, pilihan yang paling praktikal untuk PAS adalah bersendirian.
Buatlah satu pengumuman di akhbar "PAS Memilih Untuk Bersendirian".
Dan PAS boleh selesaikan satu daripada banyak punca krisis dalam organisasi PAS.
Bolehlah melangkah untuk selesaikan masalah organisasi yang seterusnya - iaitu masalah kepimpinan (leadership).
Ahmad Sabki Yusof
25 Julai 2015
--
Sila kongsi artikel ini...