Hudud & Keadaan Semasa. - Murtadza Mokhtar

9:31 AM 0 Comments A+ a-



HUDUD & KEADAAN SEMASA.

Saya bukanlah pakar perundangan Islam, bukan juga peguam syariah, apatah lagi ahli jawatankuasa teknikal pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan.


Namun sebagai seorang peguam sivil saya turut mengikuti perkembangan dan keadaan-keadaan semasa berkait KANUN JENAYAH SYARIAH (II) (1993) 2015 Kelantan.

Dan saya berasa amat terganggu dengan fitnah yang melanda sebahagian pimpinan PAS yang tersingkir pada pemilihan dalam Muktamar yang lepas, kononnya mereka adalah golongan liberal yang menolak Hudud. Bahkan hingga ke hari ini fitnah demikian masih diulang-ulang.

Tulisan ini adalah satu usaha kecil saya untuk cuba memahamkan rakan-rakan secara ringkas kedudukan semasa berkait KANUN JENAYAH SYARIAH (II) (1993) 2015, moga-moga beroleh kefahaman tentangnya dan dapat mengelak fitnah daripada berterusan.

Perlu difahami juga, tulisan saya ini bukannya menyentuh berkenaan 'gist' Undang-Undang Jenayah Syariah dan Hudud, tetapi satu usaha kecil berkenaan bidangkuasa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya dan kedudukan semasa berkait dengannya DAN KEMUNASABAHAN FITNAH yang dibuat ke atas sebahagian pimpinan tersebut.

Secara ringkasnya KANUN JENAYAH SYARIAH (II) (1993) 2015 ini membahagikan kesalahan jenayah syariah kepada 3 kategori:-

(a) Kesalahan Hudud - dengan hukuman sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran & As-Sunnah.

(b) Kesalahan Qisas, iaitu kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian atau kecederaan anggota badan seseorang – dengan hukuman sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran & As-Sunnah.

(c) Kesalahan Ta’zir, iaitu kesalahan-kesalahan selain Hudud & Qisas – dengan hukuman ditetapkan oleh Badan Perundangan Negeri di bawah KJS II tersebut; atau selainnya dan dijatuhkan mengikut budi bicara Mahkamah.

Daripada pembahagian tersebut, jenayah di bawah kategori Hudud pula ada 6 perkara iaitu:-

(a) Sariqah (dalam Penal Code adalah jenayah curi/theft tetapi elemennya berbeza).

(b) Hirabah (secara mudahnya rompakan).

(c) Zina termasuk Liwat.

(d) Qazaf (secara mudahnya tuduhan zina).

(e) Syurb (meminum arak/minuman memabukkan).

(f) Irtidad atau riddah (murtad).

Hukuman bagi setiap satu jenayah Hudud SECARA RINGKAS pula adalah sebagaimana berikut:-

(a) Sariqah - dipotong tangan.

(b) Hirabah - dihukum bunuh atau disalib atau dipotong tangan kanan & kaki kiri atau dihukum penjara bergantung kepada elemen-elemen Hirabah yang berlaku.

(c) Zina - Bagi mereka yang Muhsan dihukum rejam dengan batu sampai mati dan bagi Ghairu Muhsan dihukum Sebat 100 rotan + sebagai tambahan, penjara 1 tahun.

Liwat - Hukumannya adalah sama seperti Zina tetapi bagi kes Liwat oleh suami ke atas isteri, ia dikenakan hukuman Ta’azir.

(d) Qazaf - sebatan 80 kali.

(e) Syurb - tidak kurang daripada 40 sebatan dan tidak lebih daripada 80 sebatan.

(f) Irtidad atau riddah - Disebut secara umum dikenakan hukuman ‘Hudud' sahaja.

Daripada senarai di atas, jelas kepada kita bahawa dalam keadaan semasa, KESEMUA bentuk hukuman bagi KEENAM-ENAM jenayah Hudud tersebut berada DI LUAR bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dalam keadaan semasa ini, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menjatuhkan hukuman mati, rejam dengan batu sampai mati, sebat melebihi ENAM sebatan, hukuman salib dan juga hukuman potong tangan/kaki.

DAN usul 'private bill' itu pula HANYALAH melibatkan sebahagian daripada bidangkuasa tersebut sahaja - iaitu melibatkan pindaan bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk merotan daripada MAKSIMUM 6 sebatan kepada 100 sebatan.

BAHKAN apabila ia diluluskan sekalipun, ia hanya membolehkan hukuman berkaitan Zina ghairu muhsan, Qazaf dan Syurb SAHAJA. Sedangkan hukuman bagi kesalahan Sariqah, Hirabah, Zina muhsan dan Irtidad masih belum boleh dijalankan.

Semangat pelaksanaan secara BERANSUR-ANSUR ini sememangnya dinyatakan sendiri di dalam KANUN JENAYAH SYARIAH (II) (1993) 2015 tersebut.
Dan inilah yang disebut-sebut oleh para pimpinan 'terbuang' tersebut, bahawa tidak guna untuk kita berkelahi ke atas sesuatu yang masih jauh perjalanannya. Ia hanya akan merugikan kita.

Jika kita bertekad untuk melaksanakannya, maka laksanakanlah dan jalankanlah usaha itu secara bijaksana. Tidak perlu untuk bertekak, memaki hamun, bergaduh & forcing down our belief over other person's throat dan sebagainya sedangkan kita tahu - with or without any objection pun - perjalanan untuk melaksanakannya masih panjang.

Malangnya mereka ditohmah dan difitnah sebagai pihak yang menentang Hudud. Perhatikan, semudah-mudah perkara seperti untuk meminda daripada maksimum 6 sebatan kepada 100 sebatan pun sudah memakan masa (dan malahan kelihatannya seperti dipermain-mainkan), apatah lagi perkara-perkara lain yang lebih berat seperti hukuman bunuh dan sebagainya.

Ingat, kita hanya bercakap soal bidangkuasa sahaja. Belum lagi soal-soal lain seperti koordinasi diantara jabatan-jabatan kerajaan, bentuk siasatan, mahu dibuka di bawah fail sivil atau syariah dan sebagainya.

Maka, hentikanlah tohmahan-tohmahan itu. Dan berhentilah daripada mempercayai tohmahan-tohmahan tersebut.

Wallahu a'lam.

 


--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.