SPRM Perlu Beri Penjelasan Kepada Rakyat - Anak Muda #‎HarapanBaru‬ Perak

12:45 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
HARAPAN BARU NEGERI PERAK
4 OGOS 2015

SPRM PERLU BERI PENJELASAN KEPADA RAKYAT


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak tidak boleh menarik nafas lega dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Ini kerana rakyat akan terus mendesak dan mempersoalkan mengapa ada pihak yang sanggup memberi sumbangan atau derma sejumlah itu ke dalam akaun peribadinya itu.

Apapun yang berlaku, rakyat Malaysia yang prihatin dan cakna terhadap skandal yang membabitkan Perdana Menteri Malaysia ini pasti tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM itu. PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK secara peribadi menganggap kenyataan SPRM itu seperti sekadar 'melepaskan batok di tangga', tidak telus, tidak tegas dan tergantung.

Di dalam kenyataannya itu, SPRM gagal menjelaskan apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh suruhanjaya itu setelah mendapati bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Sri Najib Tun Razak itu merupakan wang sumbangan dan derma. Ia seolah-oleh seperti satu makluman sahaja.

Walhal rakyat ingin mengetahui apakah pendirian SPRM berhubung hasil siasatannya itu. Apakah SPRM berpuas hati dengan hasil siasatan tersebut dan tidak akan meneruskan lagi siasatan terhadap Perdana Menteri atau satu siasatan lanjut akan diteruskan selepas ini?

Seandainya SPRM berpendirian bahawa wang sumbangan sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu bukan merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), maka SPRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengapa dan kenapa ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah akta tersebut.

Kami menegaskan bahawa rakyat berhak dan perlu diberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai keputusan siasatan tersebut kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan maruah negara.

Kami berpendirian bahawa kegagalan SPRM untuk bertindak sedemikian akan menyebabkan badan tersebut terus dipertikaikan oleh rakyat Malaysia dan badan-badan antarabangsa, sudah pastinya ia akan memberi kesan yang sangat buruk serta negatif kepada negara.

Oleh itu, demi menjaga dan memelihara integriti SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan telus, PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK mendesak agar SPRM bertindak menjelaskan keputusannya itu sama ada mereka akan meneruskan siasatannya ke atas Dato' Sri Najib Tun Razak atau mengambil keputusan untuk menutup kes dan memberhentikan siasatan!

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua Pemuda,
Harapan Baru Negeri Perak


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.