Apabila Mereka Tidak Menghargai Wanita - Parti Amanah Negara Bangkit Membela
APABILA MEREKA TIDAK MENGHARGAI WANITA - PARTI AMANAH NEGARA BANGKIT MEMBELA
Seluruh negara terpukau dengan keberanian seorang wanita, Anina Saaduddin. Ketika seorang lelaki veteran seperti Timbalan Presiden UMNO dibuli semata-mata kerana cuba melaksanakan amal nahi mungkar; wanita ini bangkit menyambung perjuangan lelaki mantan Timbalan Perdana Menteri itu, dengan menyaman Presiden UMNO.
Ketika wanita ini dipecat dari UMNO, beliau terus berikrar mempetahankan agama, bangsa dan tanah air, sebagaimana dia ungkapkan dalam sajak indahnya itu.
UMNO kehilangan seorang wanita berani dengan menyingkirya dari parti. UMNO mempamerkan sifat tidak menghargai wanita kental seperti ini, malahan membunuh semangat seluruh kaum wanita.
Dari satu sudut yang lain pula, ada organisasi yang bertema mewakili Islam, mempertaruhkan wanita-wanita mulianya sebagai cagaran mempertahankan tiket partinya dalam kerusi Parlimen mahupun DUN.
Wanita-wanita salihah yang ikhlas, yang tidak berdosa, seolah-olah menjadi mangsa hukuman terhadap suami yang terpaksa membuat keputusan baharu, selepas partinya mengubah orientasi perjuangan asalnya.
Beberapa pemimpinnya dengan tidak segan-silu seolah-olah turut bergembira dan mengumumkan rumah tangga bekas ahli mereka sudah runtuh sedang mahkamah syariah belum membuat apa-apa keputusan.
Wanita-wanita dari pelbagai NGO Islam, NGO masyarakat sivil dan penjawat-penjawat awam dan sektor korporat membantah tindakan-tindakan dari kedua-dua parti berkaitan terhadap wanita.
Teman-teman bukan Islam kehairanan dan kebingungan, inikah keindahan Islam yang sebenarnya? Wanita dipandang rendah dan diperlakukan sedemikian rupa?
PARTI AMANAH NEGARA bangkit membela kaum wanita dan akan sentiasa menyakini akan kemuliaan wanita seperti mana yang telah dijaminkan haknya oleh ad-Diinul Islam.
Tindakan terhadap Anina Saaduddin adalah tidak wajar. Tekanan perasaan yang dikenakan ke atas para isteri dan keluarga bersabitan lafaz taklik juga sangat tidak wajar.
AMANAH NEGARA menawarkan seluas-luas gelanggang, kepada seluruh wanita Malaysia, tidak kira apa agama mahupun bangsa, untuk berjuang mempertahankan hak mereka.
Seluruh ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO termasuk Anina Saaduddin, diseru untuk meninggalkan parti yang telah tersasar dari perjuangan itu.
Seluruh wanita yang merasai mereka dianiaya, semata-mata kerana kerakusan pemimpin yang berpolitik secara sempit, diseru untuk berjuang bersama-sama kami dalam sebuah wadah baru, sebuah parti yang memperjuangkan Islam atas nama Parti AMANAH NEGARA.
Mari bersama membina Malaysia yang lebih baik yang memberi bahagian dan tempat yang adil kepada wanita tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
“Sebuah HARAPAN BARU, untuk masa hadapan kita bersama".
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
7 September 2015
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Parti Pekerja)
Sila kongsi artikel ini...