Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB: Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong - Nasrudin Hassan
Arahan Bawa Pulang RM 1.83 billion 1MDB:
Tindakan Bank Negara Malaysia Disokong
Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.
1. Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan 3 lesen pelaburan asing 1MDB dan mengarahkan syarikat tersebut membawa pulang dananya yang berjumlah RM1.83 billion adalah amat disokong. Ianya merupakan arahan yang rasional setelah usul siasatan BNM agar 1MDB didakwa dengan prosiding jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (ECA) 1953 ditolak oleh Pejabat Peguam Negara.
2. Hakikatnya, keputusan Peguam Negara tersebut secara terbuka merendahkan kredibiliti BNM sebagai pengawalselia pasaran kewangan seolah-olah BNM tidak tahu membuat kerja. Dengan arahan ini, masyarakat dan komuniti perniagaan boleh menilai sendiri sama ada 1MDB benar-benar memiliki kecairan aset seperti yang selalu didakwa oleh PM dan kroni-kroni beliau di dalam syarikat itu atau pun segalanya merupakan suatu pembohongan bersistematik.
3. Sekiranya 1MDB gagal untuk mematuhi arahan BNM, Pejabat Peguam Negara pada kali ini tidak boleh lagi berdalih dalam memulakan prosiding perundangan terhadap 1MDB memandangkan syarikat itu secara terbuka menyanggah kuasa BNM sebagaimana peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.
4. Peguam Negara adalah pegawai undang-undang yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong. Mengambilkira kenyataan Majlis Raja-Raja yang menuntut penyiasatan telus dan adil dalam isu berkaitan 1MDB, sebarang dolak-dalik Peguam Negara mengundang risiko lese majeste terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
5. Maka satu-satunya tindakan munasabah bagi kerajaan UMNO-BN menutup jejak jenayah mereka selepas ini adalah dengan menyasar dan menukar kepimpinan Bank Negara bagi melemahkan penguatkuasaan FSA sekaligus menyelamatkan 1MDB dan memanjangkan talian hayat rejim korup ini. Sama ada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato’ Dr. Zeti Akhtar Aziz bakal menerima nasib yang sama seperti Tan Sri Abdul Gani Patail atau pun 1MDB-UMNO-BN membuang masa menunggu kontrak perkhidmatan Tan Sri Dr. Zeti yang dijangka tamat April 2016, ketegasan BNM mempunyai tempoh had masa kerana pastinya PM akan meletakkan seorang Pak Sanggup yang tanpa malu akan menukar arahan ini.
6. Walau apa pun exploitasi UMNO-BN terhadap proses perundangan sedia ada, kesalahan 1MDB telah menjadi satu rekod awam dan di sinilah ketegasan dan keberanian BNM di dalam mengumumkan tindakan-tindakannya amat dihargai. Kesemua rekod mengenai usul prosiding jenayah terhadap 1MDB, pembatalan lesen pelaburan asing dan arahan membawa pulang dana RM 1.83 billion kini telah menjadi pengetahuan umum dan pastinya akan diungkitkan semula oleh rakyat dalam undian PRU14 kelak bagi menghukum kepimpinan UMNO-BN yang korup ini.
Membina Malaysia Sejahtera.
Sekian.
Sila kongsi artikel ini...