Baget 2016 Perlu Seiring Tuntutan Anak Muda - Akmal Kamaruddin

11:18 PM 0 Comments A+ a-



[Baget 2016 Perlu Seiring Tuntutan Anak Muda]

1. Rakyat Perak terutamanya anak muda menantikan khabar gembira melalui Baget negeri Perak yang dijadualkan akan dibentang pada 17 November 2015 di Sidang Dun depan. Dalam keadaan ketidakseimbangan ekonomi Negara, Baget Perak 2016 diharapkan dapat membawa sinar buat mereka.


2. Dalam memberi fokus kepada pembangunan fizikal dan kebendaan, Kerajaan Negeri Perak diingatkan agar turut memberi keutamaan kepada pembangunan kerohanian. Keruntuhan akhlaq dan kurangnya didikan agama mendorong manusia untuk melakukan jenayah. Berdasarkan status jenayah yang dikeluarkan PDRM Perak, sepanjang bulan Januari hingga Oktober 2015, kadar jenayah indeks yang direkodkan di negeri Perak ialah sebanyak 5,101. Melalui penekanan aspek kerohanian, ianya dapat membentuk sebuah masyarakat madani yang bersifat amanah dan kehambaan pada Ilahi sekaligus mengurangkan kadar jenayah.

3. Selain dari kurangnya didikan agama, tekanan kos sara hidup menyebabkan kadar jenayah masih dalam keadaan yang tinggi. Seharusnya pada Baget Perak 2016 ini, Kerajaan Negeri membuka ruang pekerjaan yang lebih luas buat seluruh anak muda samada lelaki atau perempuan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang mengumumkan bahawa 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh akan dibawa masuk ke negara kita secara berperingkat dalam tempoh 3 tahun akan menjadi igauan yang mengerikan buat anak muda seandainya peluang pekerjaan tidak disediakan buat penduduk tempatan.

4. Bebanan hutang yang ditanggung oleh anak muda juga perlu dipandang serius oleh Kerajaan Negeri Perak dalam Baget 2016 ini. Kos perumahan yang tinggi dilihat tidak mesra belia. Malahan ianya menjadikan anak muda tergolong dalam kalangan miskin walaupun memiliki segulung ijazah. Tekanan anak muda menanggung GST, hutang PTPTN, hutang kereta ditambah lagi kos rumah yang tinggi memberi kesan yang besar dalam kehidupan.

5. Bukan sekadar itu sahaja, pembangunan modal insan yang berterusan harus diberi penekanan utama dalam Baget Negeri Perak 2016 ini bagi melahirkan anak muda yang berakhlaq, berintegriti, berdaya saing, kreatif,kreatis dan inovatif. Melalui pembangunan modal insan yang berterusan ini juga, Perak dapat melahirkan ramai belia yang akan membantu memajukan negeri Perak dan sekaligus mengeluarkan Perak dari senarai antara negeri miskin di Malaysia.

6. Generasi Y kini tidak dapat dipisahkan lagi dengan internet. Malangnya kelajuan internet di Perak masih lagi berada dalam paras yang rendah. Bagaimana ingin mewujudkan masyarakat kampung yang celik IT seandainya capaian internet masih rendah dan tidak menyeluruh. Perkara yang sama turut dihadapi oleh rakyat Perak di Bandar yang mana kelajuan internet masih perlahan termasuk di kawasan-kawasan pejabat yang dipenuhi anak muda yang amat memerlukan internet dalam urusan pekerjaan dan kehidupan mereka. Maka Baget negeri Perak 2016 harus membawa agenda jalur lebar ini.

7. Demikian juga dengan tuntutan anak muda dalam pembangunan sukan di negeri Perak. Dengan persembahan bola sepak The Boss Gaurus yang kurang memberangsangkan, isu velodrum rakyat yang tidak berkesudahan dan pembangunan infrastuktur sukan di Bandar dan kampung yang belum menyeluruh, penekanan juga harus diberikan dalam Baget negeri Perak kali ini.

8. Tuntasnya, Dewan Pemuda PAS Perak mengingatkan dan berharap agar Baget negeri Perak 2016 yang akan dibentangkan akan datang perlu seiring dengan tuntutan rakyat dan mesra anak muda. Dewan Pemuda PAS Perak sentiasa optimis dalam usaha kemajuan dan pembangunan anak muda dan belia di negeri Perak ini. Semoga dengan itu Perak tergolong dengan firmanNya : بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
" Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)

‪#‎IstiqamahSehinggaKemenangan‬

Mohd Akmal Hj Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
30 Muharram 1437H / 12 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.