Satu lagi cubaan mengalihkan tumpuan rakyat - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:24 AM 0 Comments A+ a-



Satu lagi cubaan mengalihkan tumpuan rakyat

Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas kepanasan melihat penolakan rakyat terhadap pelbagai penjelasan mengenai derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

Bukan sahaja rakyat tidak mempercayai, malah ahli Umno sendiri termasuk Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan penjelasan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.


Melihat ini, tidak hairan tetiba muncul satu teori konspirasi bahawa ada plot untuk menggulingkan Perdana Menteri oleh seorang pemimpin Umno yang dibawa ke media oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menimbulkan watak misteri ini adalah sebahagian ciri-ciri kepakaran Umno dalam mengalihkan perhatian rakyat.

Jika Muhyiddin yang mempertikaikan Najib di majlis penerangan Umno dapat ditukarkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukankah pelik Umno dan Zahid masih tidak bertindak kepada watak misteri tersebut?

Ini dikuatkan lagi dengan pendedahan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Rahman Dahlan yang menyatakan bahawa Najib terpaksa “menyingkir orang” setelah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan kemunculan draf kertas pertuduhan boleh menjadi plot menjenayahkan Najib.

Rakyat diminta terus berwaspada dan dialihkan pandangan daripada masalah sebenar yang melanda negara. Teruskan tekanan agar kebenaran akan keluar pada akhirnya dalam isu 1MDB dan juga derma RM2.6 yang telah menjejaskan keyakinan dunia terhadap ekonomi dan kepimpinan negara.

Tuan Ibrahim Tuan ManTimbalan Presiden PAS
17 Ogos 2015



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.