Semua Ahli Parlimen BN yang sokong RUU MKN boleh didakwa di bawah Akta Hasutan1948 - Hanipa Maidin

11:32 AM 0 Comments A+ a-



Semua Ahli Parlimen BN yang sokong RUU MKN
boleh didakwa di bawah Akta Hasutan1948

1. Rang Undang Undang ( RUU ) Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015 dengan 104 Ahli Parlimen BN mengundi menyokong RUU tersebut.

2. Memandangkan RUU MKN tersebut antara lain mengambil kuasa Yang Dipertuan Agong ( YDPA ) di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, maka RUU MKN tersebut bukan sahaja mempersoalkan kuasa YDPA tapi ia lebih dari mempersoalkan kuasa dan budibicara YDPA iaitu ia merampas sama sekali kuasa YDPA.

3.Oleh itu jika kita mengambil kira seksyen 3 ( 1 ) ( a ) , ( b ), ( d ) dan ( f ) Akta Hasutan 1948 , maka tindakan kesemua Ahli Parlimen BN yang menyokong RUU MKN tersebut adalah jelas melakukan kesalahan menghasut di bawah Akta Hasutan. Malahan saya berani menyatakan termasuk yang melakukan kesalahan tersebut adalah Speaker dan timbalan timbalan Speaker Dewan Rakyat yang membenarkan RUU MKN dibentangkan dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

4. Akta Hasutan tidak memberi kekebalan kepada mana mana Ahli Parlimen hatta ketika mereka melaksanakan tugas mereka berbahas di dalam Dewan Rakyat. Malahan Akta Hasutan juga tidak mengambil kira niat seseorang .

5. Di dalam kes Pendakwa Raya v Karpal Singh , Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan mendiang Karpal Singh yang menyatakan Y.M Almarhum Sultan Perak boleh disaman dalam kes rampasan kuasa Perak adalah menghasut kerana mendiang didakwa mempersoalkan budibicara Sultan berkaitan isu pelantikan Menteri Besar.

6.Jika kita bersandar kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Karpal Singh tersebut, adalah jelas yang dilakukan oleh Ahli Ahli Parlimen BN pada 3 hb Disember 2015 ketika meluluskan RUU MKN yang lalu adalah lebih dahsyat lagi.

7. RUU MKN 2015 bukan sahaja mempersoalkan kuasa atau budibicara YDPA di dalam Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya RUU tersebut merampas sama sekali kuasa dan budibicara YDPA tersebut dan diberi kuasa dan budibicara tersebut kepada Perdana Menteri. Lebih jelas lagi pelanggaran Akta Hasutan 1948.

8. Menteri menyatakan dalam Parlimen bahawa RUU MKN telah dapat perkenan Peguam Negara, maka bagi saya Peguam Negara juga sebagai pihak yang menasihati Kerajaan dalam penggubalan RUU tersebut juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

9. Jika begitu, adakah Amanah menyokong semua mereka di atas didakwa di bawah Akta Hasutan ?

10. Pendirian Amanah adalah kami menolak Akta Hasutan iaitu warisan undang undang penjajah. Amanah tidak sokong Akta Hasuta tersebut , maka Amanah juga tidak menyokong sesiapa pun hatta musuh politik Amanah disiasat jauh sekali didakwa di bawah Akta Hasutan.

11. Walaupun Kerajaan BN telah menyalahguna Akta Hasutan dengan mendakwa musuh musuh mereka di bawah Akta zalim itu, Amanah tidak mahu Akta yang sama digunakan kepada BN meskipun BN secara jelas melanggar Akta tersebut .

12. Sebaliknya Amanah mahu Kerajaan gunakan kuasa mereka dengan menarik balik atau membatalkan kedua dua undang undang drakonian tersebut iaitu Akta Hasutan dan RUU MKN.

13.'Amanah mahukan kerajaan yang menghormati kebebasan bersuara dan juga menghormati kemuliaan seorang insan.

Bersama sama kita tolak RUU MKN dan Akta Hasutan.

16.12.2015

Mohamed Hanipa Maidin
Pengerusi KANUN
('Biro Undang Undang Amanah )
Ahli Parlimen Sepang.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.