LPPSA Mesti Berperanan Lindungi Penjawat Awam - Ir Khairil Nizam
KENYATAAN MEDIA
IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
6 Rabi’ul Awwal 1437 | 17 Disember 2015
LPPSA : MESTI BERPERANAN LINDUNGI PENJAWAT AWAM
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pengekalan dasar dan kadar pembiayaan keuntungan perumahan 4 peratus yang dinikmati oleh penjawat awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Lembaga ini akan menggantikan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan berkuatkuasa 1 Januari 2016.
DPPM berpendapat, pada peringkat fasa formatif ini, jaminan yang diberikan oleh Setiausaha LPPSA adalah relevan dan boleh diterima. Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipersoalkan terutamanya mengenai mekanisme perlindungan konsumer (penjawat awam) dan operasi pembiayaan yang diperolehi daripada bank-bank di Malaysia. Hal ini ekoran daripada bidang kuasa dan budi bicara LPPSA lebih luas sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta LPPSA.
Pertama, urusan dokumentasi guaman termasuk panel guaman hanya akan dikendalikan di bawah LPPSA. Ia mungkin boleh meningkatkan efisiensi tetapi terma-terma dan caj yang dikenakan adalah tertakluk sepenuhnya di bawah LPPSA. DPPM juga meminta kerajaan menjelaskan terma-terma perjanjian standard yang akan diimplementasikan memandangkan ia akan berkuatkuasa 1 Januari kelak. Adakah ia lebih baik berbanding di bawah BPP sebelum ini?
Walaupun langkah transformasi ini memberikan obligasi dan hak sepenuhnya kepada LPPSA, namun menteri mempunyai kuasa eksekutif yang luas dalam menentukan polisi, prosedur dan juga hal-hal berkaitan kewangan seperti kenaan caj, fi serta hal ehwal pelaburan dana LPPSA. DPPM menggesa kerajaan menjelaskan dasar baru perumahan untuk penjawat awam yang lebih menarik dan bukan hanya sekadar mengurangkan liabiliti kerajaan menanggung hutang perumahan yang sebenarnya adalah salah satu keistimewaan kepada anggota penjawat awam.
DPPM bimbang LPPSA menjadi sebuah lagi keistimewaan awam yang diswastakan dan ia terdedah kepada pihak yang berkepentingan untuk mengaut lebih keuntungan (profit oriented). Dalam urusan pembiayaan perumahan, banyak isu yang melibatkan perlindungan konsumer terabai, antaranya perumahan dalam proses pembinaan, terabai dan kes-kes pembiayaan atau pinjaman. Semua isu ini perlu diatasi dalam dasar perumahan untuk melindungi kepentingan konsumer secara umum dan anggota kakitangan awam secara khusus.
Sekian, terima kasih.
Sila kongsi artikel ini...