PAS Meneraju Penyatuan Ummah Berteraskan Syariat - Ustaz Ahmad Yakob
PAS MENERAJUI PENYATUAN UMMAH BERTERASKAN SYARIAT
Oleh: Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob
Timbalan Mursyidul Am PAS
3 Rabiul Awwal 1437/15 Disember 2015
1) PAS sejak awal penubuhannya dibangunkan diatas dasar menegakkan hukum dan tuntutan Allah. PAS telah berusaha untuk menjadikan Syariat Islam sebagai pegangan umat Islam di Malaysia. Dalam memperteguhkan Syariat Islam ini, PAS telah mengangkat Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber rujukan dan sehingga kini PAS tidak berganjak dalam memperjuangkann
ya.
2) Masih ramai umat Islam di Malaysia yang tidak mempedulikan tuntutan Al-Quran. Ada dalam kalangan mereka yang beriman dengan sebahagian ayat dan mengenepikan sebahagian yang lain. Diatas kesedaran ini, PAS mengambil peranan untuk memacu ummah dalam mendaulatkan tuntutan Allah sebagaimana terkandung dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman:
وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
Maksudnya: Dan Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) adalah merupakan kebenaran yang mengesahkan Kitab-Kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya lagi Maha melihat dan memerhatikan. Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata). (Fatir : 31-32) :
3) PAS telah melalui pengalaman yang sangat lama dalam kancah politik dan telah mendepani pelbagai cabaran serta tribulasi tersendiri. Akhir-akhir ini terdapat pula pihak yang mendakwa perjuangan PAS sudah terpesong daripada dasar perjuangan Islam. Malah ada yang begitu berani menyamakan perjuangan PAS dengan puak ISIS yang ekstrim. Ini adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda jahat terhadap PAS.
4) PAS sangat mengutamakan perpaduan ummah sebagaimana asas perpaduan yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang bertajuk ‘Syariat Islam Asas Penyatuan Ummah’ adalah suatu lontaran yang sangat tepat khususnya menyedari situasi negara kita pada hari ini dalam keadaan parah akibat politik kepartian yang mengenepikan Syariat. Islam telah meletak garis panduan dalam berpolitik dan berparti. Terasasnya sesebuah parti bagi umat Islam adalah untuk melaksanakan segala tuntutan agama agar tertegak di dalam negara. Agenda melaksanakan tuntutan Allah yang merangkumi hal ehwal pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain lain adalah menjadi fokus utama PAS.
5) Rasulullah SAW melalui usaha konstruktifnya telah berjaya menyatukan ummah di Madinah. Sebelum kedatangan Rasulullah, masyarakat Madinah hidup di dalam keadaan berpecah-belah. Hal ini disebabkan Madinah terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebelum ini Aus dan Khazraj bertelagah antara satu sama lain sementara hubungan antara Yahudi dan kabilah Arab penuh dalam ketegangan.
6) Nabi sedar, negara Madinah mungkin tidak dapat ditegakkan jika penduduk Madinah tidak bersatu terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, Nabi SAW telah bertindak mempersaudarakan golongan Aus dan Khazraj dan mereka diberi nama baru iaitu golongan Ansar, golongan ini kemudiannya telah dipersaudarakan pula dengan golongan Muhajirin dan seterusnya mengadakan perjanjian damai dengan golongan Yahudi. Nabi juga membina masjid sebagai tempat untuk menyatukan umat Islam. Dengan usaha-usaha yang dilakukan ini maka terbentuklah satu ummah yang teguh di Madinah dan akhirnya terbina Madinah Sejahtera dan Barakah.
7) Pembentukan ummah ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam. Ia telah membuka peluang kepada penyebaran agama Islam. Orang Islam bebas beribadat dan menyebarkan agama Islam. Hal ini menyebabkan bilangan penganut Islam bertambah dengan ramainya. Dalam tempoh sepuluh tahun Nabi di Madinah, penganut Islam telah meningkat lebih daripada 100,000 orang. Hal ini terbukti semasa Nabi mengerjakan ibadat haji yang terakhir, seramai 100,000 orang telah mendengar khutbah baginda yang terakhir. Bilangan ini sangat besar berbanding dengan bilangan yang berjaya di islamkan dalam tempoh 13 tahun ketika Nabi SAW di Mekah.
8) Inilah agenda yang ditumpukan oleh PAS, ianya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab politik kepartian dan mendambakan kuasa pemerintahan semata-mata, akan tetapi agenda dakwah dan tarbiyah mesti selari dengan usaha siyasah atau politik. PAS tidak mahu negara ini hancur disebabkan percaturan politik yang hanya menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat. PAS mendukung usaha perpaduan semua kaum, orang Islam dan bukan Islam. Apatah lagi dalam usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai Negara Islam, maka tidak dapat tidak PAS mesti menjadi pencatur untuk umat Islam berpadu.
9) PAS tidak akan bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional sehinggalah Umno melaksanakan Syariat Islam. Hal ini dipertegaskan berkali-kali oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini. Umno dan Barisan Nasional wajib memertabatkan Syariat Islam dalam negara ini dengan kuasa yang ada ditangan mereka. Inilah sahaja jalan untuk membentuk perpaduan yang akan mempastikan tuntutan Islam dapat ditegakkan.
10) Dalam usaha PAS untuk membangunkan negara dengan Syariat Islam, PAS akan sentiasa menjadi parti checks and balances kepada Kerajaan Persekutuan. Kini, PAS sudah memerintah negeri Kelantan dan Selangor bersama pakatan tahaluf. Dengan pengalaman mentadbir ini, PAS melalui negeri yang dikuasainya akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha ta’awun atau saling bantu-membantu demi untuk kesejahteraan dan faedah kepada rakyat. PAS insya-Allah akan menonjolkan model terbaik bagi mendirikan sesebuah pemerintahan untuk menaungi ummah.
11) PAS sehingga kini terus menjadikan Kelantan sebagai negeri dibawah payungan Syariat dan alhamdulillah masyarakat diasuh dengan didikan agama, penganut Islam dan bukan Islam saling hidup tolong-menolong dan usaha mendirikan agama didukung bersama. Sebagaimana usaha di Kelantan, inilah juga usaha PAS dalam melebarkan kuasa ke negeri-negeri lain termasuklah untuk memenuhi hasrat rakyat ke Putrajaya dengan model kepimpinan yang adil lagi saksama.
Sila kongsi artikel ini...