Hari Raya dan Negara : Tuan Ibrahim Tuan Man

1:04 AM 0 Comments A+ a-



Hari Raya dan Negara

Hari Raya menjelang lagi. Namun Hari Raya ini cukup berbeza kerana negara hari ini berada di dalam persimpangan dan rakyat pula terjerut di tengah-tengahnya.

Hari ini Malaysia berdepan dengan pelbagai masalah.

Negara berdepan dengan kelemahan nilai ringgit dan ketidak-yakinan pelabur kesan daripada kemelut politik yang sedang bergocak.

Kepimpinan negara pula menghadapi masalah integriti, tuduhan rasuah dan tidak amanah dalam kontroversi yang melibatkan 1MDB, Mara, Tabung Haji dan juga percetakan nota duit.

Institusi-institusi kerajaan berdepan dengan masalah defisit kepercayaan rakyat dan kredibiliti, termasuklah Bank Negara, hanya kerana kemelut 1MDB. Tugas mereka umpama kertas membalut api.

Sehingga hari ini, rakyat tidak tahu apa fokus dan sejauh mana siasatan sebenar pasukan petugas khas yang diketuai Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar?

Apakah hasil siasatan mereka akan didedahkan atau ditutup seperti laporan audit interim 1MDB? Bila siasatan itu akan disiapkan? Yang lebih merunsingkan ialah apakah siasatan itu untuk mencari kebenaran atau mencari hujah membersihkan diri? Diharap semua ini akan terjawab selepas Hari Raya.

Di tengah-tengah kemelut ini, terjadilah pula insiden Low Yat yang cuba diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menghidupkan api perkauman yang dahsyat. Khazanah negara termahal iaitu kepelbagaian dan keharmonian rakyatnya cuba diroboh sekadar cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang sedang melanda negara.

Di barisan pembangkang pula, situasi juga masih bernada negatif. Kerjasama yang terjalin sejak 2008 kini goyah dan tidak menentu. Apapun kerja melawan kezaliman dipercayai akan terus dipergiatkan sehingga PRU14. Kita tetap sahabat, walaupun bukan ahli keluarga.

Walau apa yang berlaku, rakyat yang berada di tengah segala masalah ini tidak boleh dibiarkan tanpa diambil peduli kesusahan mereka. Bukan sahaja mereka disumbat dengan pelbagai isu politik, ekonomi dan sosial, malah mereka terpaksa berdepan dengan kenaikan kos sara hidup hasil daripada kenaikan harga minyak dan GST.

Rakyat Malaysia layak, patut dan wajib menerima nasib yang lebih baik. Negara Malaysia sepatutnya makmur. Namun apa yang dibawa kepimpinan negara hari ini hanyalah perasaan malap tidak berjiwa.

PAS akan terus istiqamah dalam perjuangannya memartabatkan Islam dan membela nasib rakyat.

Kepada ahli-ahli parti, saya mewakili barisan kepimpinan PAS Pusat yang baru dan lama memohon maaf atas krisis yang sedang dihadapi parti pada masa ini.

Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada kita untuk terus istiqamah bersama perjuangan ini sebagaimana Tuan Guru Fadzil Noor, Tuan Guru Nik Aziz dan lain-lain lagi tokoh yang hebat yang mendermakan hayat mereka sehingga titik akhir di dalam perjuangan ini meskipun dilanda ombak sebesar manapun. Ingatlah, di sebalik kejayaan tokoh-tokoh hebat seperti TG Fadzil Noor dan TG Nik Aziz ada di belakangnya pembantu yang setia seperti TG Presiden PAS, pasukan yang mantap, dan hasil peluh dan derma ahli-ahli biasa meskipun ada perbezaan idea dan pendekatan.

Janganlah hanya kerana ada pemimpin dan pandangan yang tidak disukai masa ini maka perjuangan dan parti berpuluh tahun ini ditinggalkan.

Pemimpin datang dan pergi. Yang ada hari ini akan pergi jua satu hari nanti.

Ingatlah, hidup di dunia ini akan berakhir dengan mati. Tapi perpisahan sebenar hanya di akhirat – antara syurga dan neraka. Semoga kita bertemu di pintu syurga.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
15 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.