Cakaplah Apa Sahaja, GHB Sedia Mendengar!

2:41 AM 0 Comments A+ a-



CAKAPLAH APA SAHAJA, GHB SEDIA MENDENGAR !

1. Macam macam yang dikatakan ke atas Gerakan Harapan Baru. Ada yang mengaitkan dengan golongan Islam liberal. Ada yang mengatakan ia akan hanya bertahan dua tahun sahaja . Ada yang menyamakannya dengan pertubuhan pertubuhan politik serpihan daripada Pas seperti Hamim yang tidak akan bertahan lama.Ada yang mengaitkan ia pertubuhan orang orang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas dan banyak lagi tuduhan tuduhan nakal dan liar ke atas GHB

2. Sebagai pertubuhan yang meraikan kebebasan bersuara maka GHB mengucapkan terima kasih kepada semua golongan yang memberikan pendapat mereka mengenai GHB. Pendapat pendapat yang diberikan tersebut bukan sahaja perlu dihormati malahan perlu juga diambil kira oleh GHB. Tidak rugi mendengar pendapat yang berbeza seperti mana tidak untung mengangap kepelbagaian pendapat satu masalah. Teruslah bercakap kami ( GHB ) sedia mendengar !!!

3. Memandangkan wujudnya pelbagai tuduhan ke atas GHB maka tidak salah untuk GHB membuat serba sedikit klarifikasi , bukan bertujuan memuaskan hati mana mana pihak jauh sekali semua orang, sebaliknya ianya lebih kepada menjelaskan serba sedikit kekaburan yang menjejaskan pandangan setengah pihak tentang GHB.

4. Jika kekecewaan yang dikatakan mencetuskan wujudnya GHB ia tuduhan yang betul dan salah dalam nafas yang sama. Majoriti penggerak GHB adalah mereka yang terlibat dalam Pas sebagai pemimpin utama sama ada di peringkat nasional atau negeri khususnya. Sayang dan cinta mereka kepada Islam tidak pernah padam dulu, kini dan selamanya insyaAllah. Ironinya jika mereka bersama dengan Pas sebelum ini kerana Islam , jika GHB ditakdirkan menubuhkan wadah siyasah yang baru, insyaAllah Islam juga penyebab kepada keputusan penubuhan wadah siyasah tersebut.

5. Sebagai pimpinan utama dalam Pas sebelum ini, penggerak penggerak GHB bukan sahaja mahu Islam berdaulat di negara ini mereka juga mahu Islam dihormati oleh semua lapisan masyarakat..Islam yang jika berjanji tidak akan khianati janji itu..Islam yang jika memerintah pemimpinnya bertaqwa, berintegriti, amanah, cekap , jujur dan peduli rakyat ..Islam yang bukan sahaja bercakap dan berslogan bahawa Islam itu rahmat untuk semua namun slogan rahmatnya hanya kekal slogan dan tidak dirasai oleh manusia di kelilingnya.

6. Ya ,penggerak GHB memang kecewa tapi mereka bukan kecewa dengan kekalahan dalam muktamar. Sebaliknya mereka kecewa kerana gerakan Islam yang mereka infaqkan diri , harta benda dan masa mereka tidak lagi gerakan Islam yanh mereka kenal dulu..kini gerakan Islam itu merasakan hanya kerana ia menggelarnya gerakan Islam maka apa sahaja yang ia lakukan , meskipun tidak mencerminkan Islam yang sebenar dan Indah, tetap dikira Islam kerana ia dianggap memonopoli definisi dan apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.

7. Ada beza kekalahan dalam muktamar dengan "pembersihan terancang" dalam muktamar melalui satu siri kempen yang lama, tersusun dan teratur ke atas pemimpin pemimpin tertentu dalam Pas dengan menggunakan istilah istilah agama dan tuduhan-tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab. Yang lebih membingungkan pemimpin yang diharapkan berkecuali dan bertindak sebagai pendamai juga turut serta memposisikan golongan tertentu ke satu sudut dan kedudukan yang dilihat asing dan tidak berjenama Islam sekaligus memberikan faedah yang tidak wajar kepada golongan tertentu yang lain.

8. Ya, mungkin sahaja GHB akan bertahan hanya dua tahun dan mungkin juga GHB akan mengalami nasib yang sama seperti pertubuhan yang dibentuk setelah keluar dari Pas.

9. Memandangkan kita bercakap tentang kemungkinan , kemungkinan kemungkinan itu hakikatnya sama sahaja tahap dan darjahnya dengan kemungkinan berikut iaitu berkemungkinan besar GHB yang membawa aspirasi baru yang tidak lari dari Islam yang syumul akan mengalami nasib yang jauh lebih baik daripada parti parti seperti Hamim dan dapat bertahan lebih lama atau lebih daripada dua tahun.

10. Mungkin juga GHB yang dikatakan serpihan ini mendapat lebih banyak sokongan dan menjadikan parti yang asal jika pun tidak menjadi parti yang asing kepada rakyat Malaysia namun mungkin sahaja menjadi parti yang dianggap tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Itulah namanya permainan kemungkinan..penuh dengan ketidakpastian.

11. Mungkin itu juga yang dialami oleh Erdogan dan sahabat sahabatnya yang menubuhkan AK parti setelah keluar daripada wadah sa'adat parti ..mungkin sahaja sahabat sahabat sa'adat membuat pelbagai telahan dan tuduhan ke atas Erdogan dan sahabat sahabatnya dalam AK parti namun realiti menunjukkan bahawa AK parti makin hari makin berkembang dan maju ke depan , saadat parti makin lama makin ke belakang dari persada politik Turki dan hampir menjadi nota kaki dalam politik ..

MOHAMED HANIPA MAIDIN
AHLI PAS DAN PENYOKONG GHB


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.