Patutkah Saya ke BERSIH? - Alang Ibn Shukrimun

9:50 PM 0 Comments A+ a-



PATUTKAH SAYA KE BERSIH?

Sebagai anak muda, izinkan saya berkongsi sedikit rasa. Bukan untuk menyibuk bukan untuk nama, tapi kerana memikirkan masa depan negara.

Rasanya golongan seperti sayalah yang paling teruja untuk berdemonstrasi. Gelojak jiwa muda yang mahukan sebuah kebebasan, perhatian dan keberanian memang tidak boleh dipisahkan dengan demo dan tunjuk perasaan. Lagi banyak perhatian, lensa kamera dan liputan, lagi gila anak muda untuk beraksi. Jiwa orang muda mahu tunjuk pada dunia, bahawa kami juga ada bisa.

Saya tidak berkesempatan menyertai Bersih dan Bersih 2.0 kerana masih berada di luar negara. Tetapi waktu itu saya mengikuti perkembangan Bersih dengan penuh teliti. Kami di sana berpakat memakai kuning hari tersebut walaupun berada jauh dari Malaysia untuk turut beroongsi rasa. Pada Bersih 3.0 (Bersih paling ganas), saya antara yang berada di saf paling hadapan berdepan kejahatan FRU.

Semasa FRU mula bertindak ganas, ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tapi saya cuma berselindung sekejap menstabilkan diri. Sesak nafas dan pedih kulit dek bom asap sedikit mengganggui. Namun selepas itu saya keluar kembali mendadai FRU umpama medan perang viking. Beberapa kali saya dan anak muda lain hampir dilanggar oleh trak water cannon. Beberapa kali juga belatan singgah di badan dan kepala. Kami hanya mengelak dan menyerang dengan suara. Namun masa itu langsung tak terasa apa. Malah bangga dan rasa hebat pula. Mati tidak lagi jadi penghalang. Seolah Izrail pun mahu dicabar.

Walaupun FRU berulang kali melaung arahan bersurai, kami tetap tidak berganjak. Sesekali kami membaling kembali bom asap. Atas semangat 'duduk bantah', kami duduk melintang jalanraya bagi menghalang pergerakan trak watercannon. Saya bersama beberapa anak muda lain mencapai kayu yang bersepah di jalanan buat pendinding diri andai cuba dibantai polis. Ada yang sampai cuba panjat atas trak dan ada juga yang melawan bantaian polis.

Sakit. Penat. Bahaya. Namun ianya satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Catatan penuh pengalaman itu ada saya kongsikan dalam buku Melirik Langit Kota terbitan Jundi Resources. Saya tak akan lupa peristiwa ini sampai bila-bila.

Saya tahu ramai anak-anak muda yang mahu saat-saat berperang sebegitu berulang. Bagi saya ini biasa. Orang muda sukakan cabaran. Lagi dilarang lagi semangat. Pasca Bersih, lebih sebulan kami berkongsi pengalaman setiap kali berjumpa. Terkadang datang juga bisikan di hati, aku berdemo demi Allah atau demi haloba.

Saya yakin perasaan ini dikongsi hampir keseluruhan anak muda yang independent. Malah mereka hampa seandainya polis memberikan kebenaran untuk mengadakan himpunan. Pasti mereka tidak dapat beraksi ala-ala gangster di panggung wayang. Saya masih ingat sewaktu Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang mendapat permit untuk diadakan di stadium, ramai kawan-kawan yang bersama dalam Bersih 3.0 tidak mahu hadir. Kalau hadir pun pulang awal.

Namun kini saya berfikir sendiri, apakah betul tindakan saya itu? wajarkah keadaan demikian berulang lagi? Apakah itu akan mencapai tuntutan bantahan? Apa untungnya perkara tersebut kepada matlamat perjuangan kita? Bagaimana pula kesan selepas kejadian seperti itu?

Saya masih percaya jalanan merupakan medan yang ampuh untuk mendesak kerajaan, setelah cara damai dan sembunyi tidak berhasil. Kerajaan yang hipokrit dan pekak hanya perlu diajar dengan laungan keramat. Syarak juga membenarkan protes sebegini dengan garis syarat yang ditetapkan. Namun demonstrasi sepatutnya tidak lari dari matlamat asal, iaitu mengemukakan tuntutan kepada awam agar dunia tahu kita kesusahan.

Sekiranya berlaku sebarang perkara lain, maka ia akan mencacatkan dan memburukkan demonstran. Bukan sahaja matlamat asal digelapkan, malah kita pula dituduh menghuru-harakan negara.

Lebih malang, apabila demonstrasi hari ini menjadi senjata kuasa besar dunia dalam melemahkan kebangkitan Islam. Kebangkitan rakyat menuntut keadilan dieksploitasi dan dimanipulasi menjadi rusuhan yang akhirnya membawa kepada kekacauan tak berkesudahan. Dalam kemarahan rakyat, mereka cetuskan provokasi supaya yang marah hilang arah lalu bertindak ganas.

Kebangkitan di Mesir, Syria, Libya dan Yemen menjadi bukti eksploitasi berlaku. Demonstrasi yang asalnya menuntut keadilan bertukar jadi medan berdarah dan konflik kepentingan kumpulan. Barat pantas belajar dari kealpaan mereka menangani revolusi Iran dan Tunisia.

Mesir jadi eksperimen pertamanya melancarkan perang proksi. Syria menjadi medan utama sekarang dengan bertopengkan ISIS. Yaman pula mengekor rapat perkembangan Syria walaupun provokasi pertama menggunakan Houthi tidak berhasil. Kesemuanya berpunca dari demonstrasi yang tidak terkawal. Kalau boleh mereka mahu semua negara yang boleh mengancam kepentingan barat jadi huru hara.

Saya cukup bimbang. Dalam keadaan Malaysia yang tenat, tekanan hidup yang semakin merempatkan rakyat, barat cuba mengambil peluang dari perhimpunan ini untuk memanjangkan cerita. Ditambah sinaran cahaya Islam yang semakin terang di ufuk timur ini, pasti penguasa barat tak akan duduk diam. Sekarang pun mereka sudah masuk campur konflik politik negara. Wakil Amerika baru saja datang berjumpa setiap parti politik utama negara. Obama pula dijadualkan September ini. Sebuah badan pembiaya keganasan milik Amerika, NED turut dikaitkan dengan Bersih. MH370, MH17 semuanya adalah misteri melibatkan negara berkuasa veto PBB.

Saya kasihankan rakyat yang menderita. Saya kasihankan anak muda yang tertipu dengan propaganda maya.
Saya sedih melihat bangsa terus diguna talibarut musuh demi kuasa yang dicita.

Saya juga kasihan para anarkis sosialis diperkuda kapitalis.
Saya turut gusar apabila pihak asing cuba mencampuri kedaulatan negara.

Saya juga mahukan keadilan. Saya juga mahukan pilihanraya yang bersih. Saya juga marah dengan sikap kerajaan hari ini. Tapi tindakan kita perlu bijak dan berilmu, bukan pemarah dan melulu. Kita tak mahu Malaysia senasib Syria dan Yaman. Dalam keadaan mata musuh sedang memerhati peluang memporakperandakan umat Islam, langkah kita harus waspada.

Saya tak berani jamin himpunan ini bebas dari perkara tak diingini. Jika dulu, saya yakin peserta akan berhemah kerana Unit Amal turut serta mengawal tingkah peserta. Kepimpinan PAS juga menjadi kepala. Puluhan ribu ahli PAS diajar patuh kepada ketua. Orang ramai dipesan supaya bersahaja. Perjalanan dan tentatif himpunan juga dijelaskan awal supaya mudah peserta menghalang sebarang tindakan songsang. Walaupun polis mengancam, namun kita yakin peserta tidak boleh berlaku sebarangan. Disiplin dititikberatkan.

Himpunan kali ini, Unit Amal bukan perancang. Hanya dijemput untuk membantu. Pimpinan PAS tidak dipanggil berbincang dari awal. Keputusan penganjuran tidak melibatkan persetujuan PAS. Ditambah dengan sikap penganjur yang lebih liberal, membawa pemikiran bebas dan tidak terikat dengan apa-apa arahan, tidak mementingkan aspek patuh kepada kepimpinan, saya amat khuatir keadaan akan berlaku di luar kawalan.

Saya tidak menghalang sesiapa untuk pergi. Mereka bebas memilih. Tapi bagi saya, kemungkinan untuk berlaku perkara luar kawalan adalah lebih tinggi. Risiko ini boleh menggadai keselamatan negara. Saya tak mahu melihat Malaysia porak peranda dengan mainan licik politikus antarabangsa.

Namun saya yakin, sinar itu pasti muncul jua. Walaupun tidak dengan perhimpunan ini, pemerintah yang jahat pasti akan dihukum Allah segera. Mereka kini sudah porak peranda. Hanya perlu satu dua hembusan lagi untuk mereka tumbang tak bernyawa. Tinggalnya kita, kawal diri supaya jangan terlajak. Jangan gadaikan puluhan tahun perjuangan orang terdahulu hanya dengan sikap gopoh kita. Ambillah cara yang lebih terkawal, matang dan berkesan. Jalanraya ada manfaatnya. Tapi ia juga sangat bahaya.

Anak muda adalah masa depan negara. Perlulah tahu mainan politik dunia. Jangan sekadar jadi lembu marah yang mudah ditipu matador. Corakkan negara dengan lebih matang dan bijaksana. Kita perlu idea, bukan emosianal semata.

Sekali lagi saya nyatakan, saya bukan Zahra, tapi sayangkan Malaysia.

(Alang Ibn Shukrimun)




s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.