Bangunkan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik - Ir Khairil Nizam

10:42 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
12 Zulkaedah 1436 | 27 Ogos 2015

“Bangunkan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik”

Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak terkejut dengan dapatan kajian yang didedahkan oleh Khazanah Research Institute mengenai lambungan pasaran harga rumah terlalu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh majoriti rakyat di Malaysia.

Perkara tersebut pernah dibincangkan secara serius sebelum ini sehingga ramai pihak mengunjurkan akan berlaku lambakan generasi penyewa khususnya di kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Pada 23 Mac lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga telah membangkitkan isu pemilikan hartanah di kalangan anak muda kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Ahmad Phesal Haji Talib. Antara isu yang dibangkitkan adalah lebihan penawaran kediaman mewah sehingga meminggirkan permintaan sebenar rakyat.

Menurut satu kajian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REI, pemaju-pemaju di Malaysia giat membina kediaman mewah yang hanya mampu dimiliki oleh 30 peratus rakyat Malaysia. Purata hartanah mewah ditawarkan telah menjangkau sehingga 70 peratus dalam pasaran berbanding yang sewajarnya iaitu sekitar 20 peratus sahaja.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa pihak legislatif, eksekutif, pihak berkuasa tempatan dan swasta giat bersama-sama membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik khususnya di bandar-bandar utama. Ia adalah satu keperluan utama bagi menjamin kesejahteraan dan masa depan mereka.

Dalam hal ini, kami turut mengalu-alukan iltizam Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz untuk menyediakan kira-kira 50,000 rumah mampu milik di ibu kota tersebut. Ia seharusnya menjadi agenda utama di seluruh negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia turut ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk menawarkan lebih banyak perumahan mampu milik.

Pertama ialah pembangunan tanah-tanah wakaf yang boleh dimodelkan daripada projek Taman Wakaf Seetee Aisah di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Ia adalah pusat komersial dan residen pertama yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan UDA Land (North) Sdn Bhd atas tanah wakaf seluas lima hektar untuk kepentingan umat Islam.

Langkah kedua yang boleh dipertimbangkan ialah intervensi minima kerajaan terhadap nilai pasaran tanah khususnya di bandar-bandar utama. Harga rumah mampu milik sukar dibendung disebabkan spekulasi tidak terkawal nilai semasa tanah. Apakah mekanisme efektif untuk membendung spekulasi tersebut?

Sebagai contoh;
a) Purata harga sebuah unit apartmen (800 kaki persegi) di Bukit Jalil berharga RM 400,000.00
b) Purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Brickfields berharga RM 600,000.00
c) Purata harga sebuah unit apartmen (900 kaki persegi) di Ampang berharga RM 300,000.00

Perbezaan ketara antara ketiga-tiga kawasan boleh dijustifikasikan namun bagaimana kerajaan ingin memastikan nilai pasaran tersebut berada dalam lingkungan yang munasabah dengan kondisi apartmen, keperluan rakyat dan ia tidak terus dispekulasikan?

Walaupun penyewaan dan pembelian rumah kediaman dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), namun para pemaju juga ditekan dengan beberapa cukai lain seperti setem duti, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan peningkatan kos binaan yang dikenakan GST serta kenaikan kos logistik termasuk petrol.

Bebanan ini yang disalurkan kepada rakyat yang majoritinya hanya mengecapi kenaikan paras tangga gaji yang perlahan dan menanggung kos sara hidup yang tinggi. Sudah menjadi satu kebiasaan hari ini, golongan muda berulang alik setiap hari dari Senawang, Banting, Ijok dan Tanjong Malim ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

Kesukaran hidup telah mengherot graf keseimbangan hidup rakyat. Akhirnya, mereka sukar mengawal perasaan, tiada kesempatan untuk meningkatkan kefahaman agama dan membahagiakan rumah tangga. Walhal, Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nahlu, ayat ke-80 yang bermaksud, “Allah menjadikan kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan)”

Sekian, terima kasih.

IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia




Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.