Saya diwawancara oleh sebuah akhbar tadi mengenai BERSIH 4.0 - Maszlee Malik
Saya diwawancara oleh sebuah akhbar tadi mengenai BERSIH 4.0. Saya yakin ia tidak akan disiarkan, atauun jika disiarkan, ia akan dikhatankan terlebih dahulu. Maka, saya siarkan di sini untuk manfaat bersama:
1) Islam benarkan demonstrasi untuk luahkan perasaan secara aman...bagaimana cara yang sepatutnya....
Jawapan: Meluahkan perasaan secara kolektif merupakan fitrah manusia, terutamanya manusia bertamadun. Meluahkan perasaan termasuk juga menyokong, menzahirkan dokongan, menyambut kepulangan orang yang disayang, pemimpin, ataupun orang-orang yang mempunyai tempat di dalam hati kumpulan atau masyarakat, ataupun melahirkan bantahan ataupun pendapat yang berlainan. Isunya bukan boleh atau tidak berdemonstrasi, kerana di dalam Islam, sebarang perbuatan selain amal ibadat khusus adalah harus dan tidak memerlukan dalil untuk menunjukkan kebenarannya, selagimana tiada dalil yang mengharamkannya. Para ulama Usul al-Fiqh mengatakan: "Hukum asal bagi sesuatu perkara (yang tidak disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah) adalah harus selagimana tidak menhalalkan yang jelas-jelas haram, ataupun mengharamkan yang jelas-jelas halal."
Malah masyarakat berkumpul untuk menzahirkan perasaan acapkali berlaku di zaman Nabi SAW. Sebagai contoh, sambutan penduduk Madinah menyambut kedatangan Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah dari Mekah. Perarakan penduduk Madinah ketika menyambut kelahiran Abdullah bin Zubair, ataupun penzahiran kekuatan kaum Muslimin dengan bertawaf sekeliling kaabah di Makkah sewaktu Saidina Omar memeluk Islam. Kesimpulannya, perbuatan seperti demonstrasi tidak diharamkan samada di dalam al-Quran mahupun Sunnah.
2) Bagaimana cara nak imbang antara mudarat di sebalik demonstrasi seperti gangguan kepada peniaga di sekitar tempat demokrasi?
Jawapan: Demonstrasi sering membawa keuntungan bagi para peniaga. Logiknya apabila ramai orang berhimpun, semakin ramai pelanggan yang akan datang membeli barang berbanding hari-hari biasa. Pokoknya, janganlah pihak berkuasa memomokkan demonstrasi dengan menyamakannya seperti pemberontakan ataupun rusuhan. Itu isu lain. Perhimpunan aman adalah satu peluang untuk para peniaga mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding hari-hari lain.
Pihak berkuasa juga janganlah memprovokasi para demonstran ataupun menangkap mereka sesuka hati. Kita perlu belajar cara para anggota keselamatan di negara-negara maju seperti Amerika, UK, negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan dan lain-lain lagi di dalam membantu para demonstran agar demonstrasi berjalan lancar dan tidak menganggu trafik. Kekecohan demonstrasi hanya berlaku apabila ada pihak yang membuat provokasi. Dalam kes ini rakyat Malaysia, samada para demonstran mahupun pihak anggota keselamatan perlu saling hormat menghormati, tolong menolong dan berusaha memastikan keamanan terjaga.
3) Kerajaan tidak boleh halang hak rakyat utk melepaskan perasaan...pada pandangan doktor apa tindakan yang boleh dilakukan kerajaan dalam menangani isu ini..seperti membenarkan demontrasi dilakukan dalam tempat tertutup seperti stadium..
Jawapan: Kerajaan perlu mengambil sikap seperti kerajaan negara-negara maju. Bersikap gentleman. Bersedia mendengar suara rakyat. Sikap gentleman ini akan membuatkan rakyat lebih menghormati kerajaan dan menyayangi mereka walaupun ada isu yang mereka tidak bersetuju.
Kerajaan tidak perlu bimbang, Rakyat Malaysia tidak akan memberontak ataupun melancarkan revolusi seperti di negara-negara Arab dan Afrika. Rakyat kita mempunyai kerjaya dan urusan rumah masing-masing. Mereka akan balik ke rumah setelah penat, dan panas. Rakyat Malaysia juga cukup makan dan tidak kelaparan seperti rakyat dunia ketiga yang menjadikan demonstrasi sebagai wahana pemberontakan. Memberontak bukan budaya rakyat Malaysia.
Adapun stadium, biarlah ia hanya untuk sukan dan konsert...ataupun ceramah agama mega.
4) Bersih dilakukan sebab protes kepada kerajaan...adakah kerajaan perlu menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat dalam masa terdekat?
Jawapan: Protes menunjukkan rakyat semakin matang dan cerdik. Jika kerajaan menghalang, akan nampak kerajaan pula yang tidak matang dan tidak cerdik. Sebaliknya pula, jika kerajaan membenarkan dan tidak menganggu, kerajaan akan dilihat sebagai berani, tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, malah orang yang berdemonstrasi pun akan respek kepada kerajaan.
Tambahan pula, rakyat akan lebih kagum lagi jika PM sendiri turun melihat dan memberikan ucapan bahawa dia mendengar segala keluhan rakyat dan akan cuba memperbaiki keadaan, tetapi rakyat hendaklah bersama beliau dan membantu...saya yakin jika PM buat seperti ini, populariti beliau akan melonjak dan peserta Bersih akan kagum terhadap beliau!
Tiada PM di Malaysia yang berani seumpama itu sebelum ini, berbanding dengan pemimpin negara-negara maju...mereka lebih gentleman dan berani.
Sila kongsi artikel ini...