IKRAM: Jangan Hangatkan Sentimen Perkauman
JANGAN HANGATKAN SENTIMEN PERKAUMAN
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengikuti peristiwa terkini berkaitan pergaduhan di Plaza Low Yatt. IKRAM sebagai sebuah badan tarbiah, dakwah dan kebajikan mengajak semua masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya bertenang dan jangan meletakkan emosi menguasai diri.
IKRAM menyeru agar semua pihak berhati-hati membuat tindakan atau komentar dan tidak harus menjadikan isu ini sebagai isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmornian dan keamanan negara ini.
IKRAM meminta semua pihak agar tidak memanjangkan lagi isu ini dalam konteks perkauman dan juga berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas isu ini.
Sebagai sebuah badan NGO yang menjunjung asas perlembagaan negara untuk memastikan keharmornian rakyat Malaysia, IKRAM mengharapkan semua pihak memainkan peranan penting agar tidak ada langsung isu perkauman ditiupkan oleh pihak tidak bertanggungjawab samada melalui media, kelakuan dan percakapan.
IKRAM percaya setiap isu atau masalah dapat diatasi melalui cara keamanan dan saluran-saluran yang sah di sisi undang-undang.
IKRAM mengharapkan pihak-pihak bertanggungjawab di dalam penguatkuasaan undang-undang dapat memberi keutamaan kepada isu ini untuk diselesaikan segera dan tidak dibiarkan menjadi isu perkauman yang boleh menggugat keamanan negara
IKRAM mengajak semua masyarakat Malaysia untuk sama-sama mengimpikan dan berusaha secara muafakat agar negara ini menjadi negara rahmah yang mana kekuatan utamanya haruslah didukungi oleh segenap lapisan masyarakat di dalam asas permuafakatan yang kukuh.
IKRAM mendoakan semoga negara Malaysia ini sentiasa mengutamakan permuafakatan oleh setiap lapisan masyarakat dan juga mengharapkan semua rakyat saling menghormati dan memelihara hak semua rakyat sama ada hak urusan berjual beli, beragama, keadilan dan lain-lain seperti yang terkandund di dalam perlembagaan negara.
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sila kongsi artikel ini...