Melayu bachul dan perlukan keberanian – Feriz Omar PROWARIS

1:34 PM 0 Comments A+ a-


Melayu bachul dan perlukan keberanian – Feriz Omar
August 13th, 2015

1. Melayu 'bachul' kerana tak tahu undang-undang atau mungkin disihir ?
Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) banyak melalui isu kepimpinan negara dan lama perhatikan karakter Melayu. Melayu sebenarnya bachul dan perlukan keberanian ! Ini mungkin kerana secara rata-rata, Melayu tak tahu hak bersuara di bawah ruang lingkup undang-undang atau mungkin Melayu dipukau kuasa sihir yang besar lagi jahat yang mahukan Melayu terus redho dengan keadaan ekonomi-politik semasa.

2. Rakyat langsung tak pandang dan tak faham laporan fitch, moodys dan S&P !
Kepimpinan tertinggi Kerajaan seolah buta lagi tuli Melayu sebenarnya tak peduli laporan fitch, moody's dan S&P kerana 'real experience' yakni suasana sebenar di akar umbi adalah sangat bercanggah.

3. Persepsi negatif terhadap Malaysia ...
Petanda jelas seperti kejatuhan ringgit, yakni USD1.00 = RM4.00 dan kejatuhan komposit indeks hampir mencecah paras 1600, kejatuhan sebanyak 100 mata dalam tempoh seminggu adalah bukti jelas Rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap Malaysia atas faktor tidak yakin dengan kepimpinan negara.

4. Beban GST, kenaikan harga minyak dan kadar tol melampau !
Mana taknya? Kenaikan harga barangan ekoran pelaksanaan GST, turun-naik harga minyak yang tidak menentu serta harga tol yang semakin meningkat sekalipun cukai jalan masih wajib dibayar adalah antara penyumbang kepada bahang ekonomi semasa.

5. Akar umbi Melayu yang kini rata-rata dipimpin Golongan Profesional Melayu sudah bijak dan ternyata bingung kerana mereka tahu GST sebenarnya boleh dilaksanakan pada kadar rendah dan dinaikkan berperingkat-peringkat mengikut keadaan semasa seperti di Singapura. Harga minyak pula boleh ditetapkan melalui pembelian pukal dan 'hedging' terutamanya dalam senario harga minyak dunia yang kini rendah. Harga tol boleh dielakkan dengan memanjangkan tempoh konsesi lebuhraya.

6. Namun, Kerajaan tetap dengan pelaksanaan yang bercanggah dengan kehendak Rakyat sekalipun kepimpinan tertinggi kini amat memerlukan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan yang tidak menentu.

7. Krisis matawang indonesia selesai selepas pemimpin utamanya letak jawatan...
Saya terhimbau kembali pada pengalaman saya sebagai ahli perbankan pelaburan dan penganalisis ekonomi di Indonesia sewaktu serangan penyangak matawang Soros menyerang Asia Tenggara antara 1997-1999, kejatuhan nilai rupiah USD1.00 = Rp16,000 (kejatuhan sebanyak 640%). Sekalipun terdapat spekulasi matawang, ternyata pertahanan ekonomi sebenarnya bergantung kepada 'Feel Good Factor' yakni Faktor Keselesaan Rakyat yang lenyap selepas Suharto diisytihar 'Diktator' segenap lapisan masyarakat di Indonesia. Akhirnya, suasana 'Feel Good Factor' itu tercapai selepas perletakan jawatan Presiden Suharto dan diganti BJ Habibie dan nilai matawang Rupiah pulih serta merta.

8. Ingat generasi muda penentu sama ada melayu akan terus berkuasa !
Hakikatnya, jatuh-bangun Kerajaan hari ini bergantung pada peratusan terbesar undi generasi muda yang kerap bertukar 'smartphone' dan menghisap vaper, sekalipun ia adalah sama haram dengan 'shisha'. Tidak mustahil golongan penentu ini akan bangkit menentang Kerajaan semata-mata kerana barangan dan aksesori yang menjadi kegilaan mereka ini walaupun sesetengahnya dari China, ia dibeli dengan USD dalam keadaan RM berada di tahap paling rendah dalam tempoh 17 tahun. Ingatlah juga generasi 'smartphone' ini yang sebenarnya menguasi berita info terkini, bukan Kumpulan Media Prima.

9. Hartanah melayu hampir pupus ?
Paling menakutkan adalah statistik Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menunjukkan hanya tinggal 12% tanah rezab Bangsa Melayu. Satu kadar amat memeranjatkan berbanding dengan amanah asal Raja-Raja Melayu agar 50% tanah Tanah Melayu dipelihara dan terus kekal milik rezab Melayu selamanya. Jika ini benar, kepimpinan Melayu sekarang ini gagal dalam memastikan kelangsungan agenda perjuangan bangsa.

10. TPPA, meranapkan DEB !
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) masih dalam perundingan dan desakan pelobi utama, Amerika Syarikat untuk Malaysia menandatanganinya semakin memuncak. Kehadiran Presiden Obama yang kemungkinan datang buat kali kedua ke Malaysia dalam tempoh jangkamasa singkat sejak kunjungan pertama juga timbul tanda tanya. Golongan Profesional Melayu Muda amat risau jika perundingan ini berjaya kerana ia bakal melenyapkan agenda Bumiputera di bawah DEB sekali gus membenarkan syarikat-syarikat antarabangsa bermaharajalela di Malaysia.

11. Pentadbiran penuh musykil, badan penyiasatan antarabangsa diperlukan
Kes 1MDB perlu melibatkan penyiasatan badan berkuasa antarabangsa seperti INTERPOL kerana ditakuti ia mempunyai unsur-unsur 'pencucian wang haram' melalui transaksinya di luar negara. Jika transaksinya disahkan 'FRAUD' maka sumbernya adalah 'HARAM' dan tidak kira 1001 lapisan transaksi selepas itu juga dikira 'WANG HARAM' sekalipun ia adalah sumbangan / derma kepada parti politik yang memimpin Kerajaan Malaysia.

Kalau nak diharapkan agensi di Malaysia, pentadbiran kerajaan kini penuh tanda tanya. Sedangkan Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan penyelesaian isu 1MDB juga dilucutkan jawatan, Peguam Negara diberhentikan kerja semasa penyiasatan, para pegawai dari badan penyiasatan tersuci SPRM ditahan dan Pengerusi PAC pula terpaksa menamatkan perkhidmatan kerana menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Menteri. Walau 1001 alasan diberikan, ia adalah pelik lagi musykil.

11. Bahang bakal mendidih
Rakyat terutamanya Melayu akar umbi semakin terasa bahang. Panas bahang ini bakal mendidih jika ia berterusan. Buktinya, suara lantang Ahli Profesional Melayu Saudari Anina Saaduddin bertajuk, "Najib Kaki Kencing" semasa Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO di Langkawi selepas luahan Perwakilan Pemuda Kuala Kedah dan serahan memorandum Perwakilan Bahagian Pasir Gudang perlu diteruskan. UMNO sebagai organisasi yang membawa wadah perjuangan Melayu adalah platform sebenar untuk segala isu berkenaan Melayu dan patut dibincang secara terbuka. Jika dihalang, maka parti yang dianggap 'keramat' Bangsa Melayu itu akan hilang 'keramat' nya, pupus malah akan dihina anak bangsa sendiri.

Ibu saya selalu mengingatkan, "Islam yang suci itu difitnah kerana umatnya, UMNO yang suci itu kini difitnah kerana beberapa orang pemimpinnya".

12. Jangan takut ! professional melayu dan gabungan NGO melayu perlu bangkit sekarang !
ProWaris menyeru agar ahli-ahli Profesional dan Graduan Melayu terus-terusan bangkit melalui pertubuhan masing-masing, terutamanya UMNO. NGO Melayu perlu bergabung secara besar-besaran kerana Penyatuan Melayu adalah amat kritikal di saat ini. Kepimpinan, Keselamatan dan Penyatuan perlu menjadi agenda utama. Golongan Profesional Melayu yang memimpin Bangsa Melayu peringkat akar umbi perlu lantang dan berani bersuara serta tidak perlu takut selagi platform yang digunakan adalah rasmi dan mengikut peraturan. Renung-renungkanlah apakah ini mungkin perjuangan episod terakhir kita.

Demi Islam. Demi Melayu. Demi Malaysia. – 13 Ogos, 2015.

* Feriz Omar merupakan Presiden, Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.