Jual Beli Tanah Antara 1MDBDan Affin Bank - Percanggahan Kepentingan Yang Menyalahi Undang Undang. - Mahfuz Omar
Kenyataan Media
JUAL BELI TANAH ANTARA 1MDB DAN AFFIN BANK - PERCANGGAHAN KEPENTINGAN YANG MENYALAHI UNDANG UNDANG.
LTAT MENJADI MANGSA.
1. Pembelian tanah TRX milik 1MDB oleh AFFIN Bank sangat dipersoalkan sebelum ini, kerana ia dilihat sebagai satu tindakan penyelamatan masalah hutang 1MDB yang berada pada tahap yang kritikal. Apatah lagi AFFIN Bank dimiliki kepentingan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Ini bermakna secara tidak langsung Dana awam yang dimiliki anggota ATM untuk Simpanan Hari Tua mereka telah disalah guna untuk menyelamat Skandal 1MDB.
DIA JUAL, DIA NILAI
2. Penjualan dan pembelian tanah tersebut jelas berlaku percanggahan kepentingan di mana CH William, Talha &Wong (WTW) telah dilantik sebagai Perunding oleh 1MDB dan telah terlibat sejak awal sebagai Perunding Pembanggunan Projek 1MDB. WTW juga adalah penilai yang dilantik oleh 1MDB dan terlibat dalam penilaian tanah yang dibeli oleh AFFIN Bank. Persoalannya, bagaimana Perunding Pembanggunan Projek 1MDB dan penilai bagi pihak penjual 1MDB juga menjadi penilai bagi pihak pembeli AFFIN Bank?
MENYALAHI UNDANG-UNDANG
3. Proses jual beli tanah TRX milik 1MDB ini adalah suatu percanggahan kepentingan yang jelas dan kesalahan yang serius di bawah undang undang Akta Penilai (Akta 242). Bagaimana Affin boleh melantik WTW yang terlibat dengan 1MDB daripada peringkat awal untuk membuat penilaian? Seorang penilai atau agen hartanah yang bertindak sebagai agen hartanah kepada pihak penjual tidak boleh membuat penilaian ke atas tanah tersebut. Ini menimbulkan persoalan "independent" atau kebebasan di dalam melakukan penilaian ke atas tanah tersebut dipersoalkan.
KEPENTINGAN LTAT TIDAK DILINDUNGI
4. Mohon penjelasan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), adakah SC bersetuju dan memberi kebenaran untuk Affin bank melantik WTW menjadi penilai bagi pihak Affin bank walaupun berlaku percanggahan kepentingan? Penjelasan juga perlu diberi oleh Lembaga Penilai kenapa mereka tidak menghalang percanggahan kepentingan ini untuk menjaga nama baik Lembaga Penilai? Saya difahamkan Pengarah Urusan WTW adalah Ahli Majlis Lembaga Penilai Malaysia. Penjelasan dari SC, Presiden Lembaga Penilai dan Affin dinanti demi untuk melindungi kepentingan LTAT, pendeposit dan pelanggan Affin Bank.
"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA."
DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
15 Ogos 2015/30 Syawal 1436H
Sila kongsi artikel ini...