Surat Terbuka Buat Seluruh Ahli Parlimen Malaysia - Muhammad Najib Bin Abdurrahim
SURAT TERBUKA BUAT SELURUH AHLI PARLIMEN MALAYSIA
MANSUHKAN AUKU, SELAMATKAN UNIVERSITI!
Y.B Ahli Parlimen Malaysia
Assalamualaikum w.b.t & salam sejahtera
Sesungguhnya saya menulis surat ini buat kesemua ahli Parlimen Malaysia dengan menginsafi bahawa saya hanyalah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang pernah menerima kesan dek kewujudan undang-undang tirai besi di universiti, iaitu Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Y.B sekalian,
Sedarkah anda semua bahawa sepanjang 2014, seramai 26 (atau lebih) kes telah melibatkan pendakwaan atau tunjuk sebab ke atas mahasiswa Malaysia di bawah AUKU dan yang sebaris dengannya ( e.g Akta Institut Pengajian Tinggi)? Sedarkah tuan-tuan Yang Berhormat semua bahawa semalam (13/8/2015) dua orang lagi pemimpin mahasiswa dari UIAM (sdra Hanif Mahpa - Presiden MPP UIAM & sdri Afiqah Zulkifli - Exco MPP UIAM) telah dijatuhkan hukum penggantungan 2 semester pengajian disebabkan "kesalahan" mengadakan forum intelektual berkenaan GST?
Y.B sekalian,
Saya meyakini bahawa Y.B sekalian sedar akan perkara ini. Buktinya? Kita mampu melihat beberapa kenyataan daripada politikus-politikus yang datangnya daripada parti yang Y.B sekalian wakili (walaupun tidak semua). Saya juga meyakini bahawa Y.B sekalian tidak boleh menafikan bertapa Y.B sekalian mendapat laba politik dek isu-isu yang melanda mahasiswa walaupun sedikit. Mengapa? Kerana anda menyedari mereka juga golongan yang tertindas dek sistem negara, dan paling penting, mampu memberikan nilai publisiti buat anda!
Y.B sekalian,
Sekiranya anda semua terlupa, sukalah untuk saya mengingatkan kembali. AUKU telah digubal oleh pentadbiran kerajaan pada tahun 1971 tidak lain dan tidak bukan adalah bagi mengekang suara dan 'kuasa' mahasiswa yang begitu agresif lewat tahun 60an & awal 70an. Namun kesan AUKU bukan terhad setakat di situ sahaja, AUKU juga telah menyebabkan hilangnya roh kebebasan akademik di universiti. Lebih malang lagi, AUKU telah membuka ruang penguasaan universiti oleh pihak parti yang memerintah melalui proksi-proksi mereka di universiti. Sedarkah Y.B sekalian akan senario ini? Saya berani mengatakan dengan yakin bahawa anda semua mengetahuinya, bahkan terdapat di antara kalian yang pernah duduk, malah menjadi mangsa terdapat undang-undang regim ini!
Y.B sekalian,
Sepertimana kezaliman ISA, POTA, SOSMA, Akta Hasutan dll, haruslah Y.B sedar dan tahu bahawa AUKU (dan akta-akta & peraturan yang seumpama dengannya) berdiri sama zalim dengan akta-akta tersebut. Tetapi jarang sekali (atau tiada mungkin?) kami rakyat Malaysia (khususnya mahasiswa) mendengar para Y.B sekalian begitu serius di dalam memastikan pupusnya undang-undang ini dari senarai undang-undang Malaysia.
Sudah berpuluh tahun AUKU mencengkam & membunuh idealisme ribuan mahasiswa, maka selayaknya tempatnya pada hari ini hanyalah di dalam kaca perhiasan di Muzium Negara.
Justeru itu, saya dan rakyat Malaysia yang berkongsi aspirasi yang sama menggesa tindakan yang JUJUR dan SERIUS daripada kalian yang berada di dalam Parlimen - sama ada di kerusi kerajaan mahupun pembangkang - untuk sekurang-kurangnya memastikan peruntukan-peruntukan yang bermasalah di dalam undang-undang tersebut untuk dihapuskan.
Muhammad Najib bin Abdurrahim
Rakyat marhaen
Mantan mahasiswa 2010-2015
Mantan Pengerusi WUFI IIUM 2013-2014
Mantan Pengerusi MPN GAMIS 2014-2015
#SelamatkanMalaysia
#SelamatkanMahasiswa
#SelamatkanUniversiti
y
Sila kongsi artikel ini...