Parti Amanah Versi Iran - Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin

8:07 PM 0 Comments A+ a-

PARTI AMANAH VERSI IRAN

Tersenyum sendirian setelah saya bertanya kepada sahabat FB saya untuk memulakan cerita tentang Parti Amanah versi UK atau Iran. Lalu terpampang satu status daripada sahabat yang saya kasihi, beliau nampak agak risau dan kemungkinan beliau kepada saya mungkin akan kaitkan dengan satu fahaman. Sahabat, saya suka untuk ceritakan semasa Ayahanda Mat Sabu memurnikan kembali sejarah tentang Mat Indera. Sehinggakan beliau didakwa kerana membuat kenyataan fitnah tentang serangan komunis di balai polis Bukit Kepong pada 1950.

Situasi ini telah melahirkan satu fenomena baru iaitu fenomena Mat Sabusme (pemurnian sejarah) yang dikupas, diwacana dan didiskusikan oleh kebanyakan ahli akademik. Suasana ini saya tersangat suka sebab semua pihak akan menganalisis lembaran sejarah untuk dinilai kembali. Begitu juga dengan situasi yang berlaku sekarang, sayugia kepada saya untuk turut sama menyelongkar perbendaharaan ilmu bagi mencari maklumat-maklumat baru sebagai hidangan kepada sahabat-sahabat FB saya.

Sebelum ini saya pernah kongsikan tentang Parti Harapan Baru versi Siam. Sekarang saya bawa sahabat-sahabat semua ke Iran. Maka, dengan lafaz bismillah saya mulakan, semoga input ini boleh dijadikan sebagai nilai tambah dan terus beristiqamah kita atas jalan kebenaran.

Sebut berkenaan dengan Iran, sebuah negara yang pernah masyhur suatu ketika dahulu dengan nama Parsi. Majoriti penduduk Iran adalah syiah iaitu 89% diikuti dengan ahlu sunnah sebanyak 9% dan lain-lain iaitu Yahudi, Majusi, Kristian dan Bahá'í. Sebab itu Iran terkenal dengan nama negara Syiah kerana pemimpin dan pembesar kerajaan terdiri daripada golongan syiah.

Saya mempunyai seorang kenalan daripada Iran yang ahlu sunnah. Saat berbicara dengan beliau, beliau menceritakan hakikat ahlu sunnah di sana memang selalu ditindas, populasinya semakin mengecil, kebanyakan mereka tinggal di sempadan negara-negara yang berdekatan. Keberadaan beliau untuk menyambung pelajaran di Malaysia juga selalu diperhatikan oleh mata-mata. Beliau tidak boleh selalu keluar dan kebanyakan masa dihabiskan dalam rumah, keluar hanya menyempurnakan perkara asas dan bertemu dengan supervisor.

Ok, kita kembali semula kepada parti yang dimaksudkan oleh saya. Parti Amanah Negara (NTP) atau dalam bahasa Parsi ( حزب اعتماد ملى ). Parti ini diasaskan pada tahun 2005 oleh bekas Speaker Parlimen (1980-1989) bernama Mehdi Karroubi, penubuhan ini disebabkan oleh kekalahan kontroversi dalam pilihan raya Presiden 2005. Karroubi mendakwa bahawa kekalahan tersebut didalangi oleh pihak tentera yang banyak menolong menggerakkan kempen kepada Mahmoud Ahmadinejad. Setelah berakhir pusingan pertama pilihan raya Presiden Iran, Karroubi meletakkan semua jawatan dalam kerajaan dan merealisasikan parti baru ini.

Beliau mengganggap bahawa dirinya seorang yang reformis dan pragmatik. Selain itu, beliau telah mewujudkan akhbar partinya sendiri yang diberi nama Etemad-e Melli. Ketika pilihan raya Presiden 2009, beliau sekali lagi dilihat calon yang sesuai untuk mencabar kerusi presiden Iran. Sokongan kepada beliau bertambah apabila ramai yang menzahirkan sokongan. Antaranya bekas Datuk Bandar Tehran Gholamhossien Karbaschi, wartawan Abbas Abdi, bekas ahli parlimen Ata`ollah Mohajerani dan ramai lagi.

Namun keputusan yang keluar sebaliknya apabila, beliau hanya mendapat undi yang paling sedikit iaitu 0.68%. Keadaan ini menyebabkan berlakunya demonstrasi seluruh dunia. Malaysia juga turut terlibat iaitu pada 15 Jun 2009, seramai 700 pelajar Iran yang berada di Malaysia telah mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) sehingga memaksa PDRM melepaskan bom pemedih mata dan bom asap serta mengancam akan menarik balik visa kepada pelajar Iran.

Pertembungan golongan konservatif dan reformis Iran cukup ketara dengan pembawakan tersendiri. Setelah berakhir pilihan raya 2009, beliau meneruskan aktiviti hak asasi manusia. Kerap menulis surat menuntut sebilangan kes salah laku yang berlaku dalam negara Iran. Serangan demi serangan tetap dilakukan bagi melumpuhkan parti ini.

Sebenarnya, setelah berlakunya revolusi Tunisia pada tahun 2011. Iran juga bangkit melalui gerakan-gerakan reformis yang diketuai oleh Mehdi Karroubi dan Hossien Mousavi, namun segera disekat oleh pasukan keselamatan Iran. Sebab itu nampak macam diam membisu sahaja negara teluk ini. Sehingga sekarang, Karroubi masih lagi memimpin Parti Amanah Negara. Peluang beliau untuk berada di posisi paling atas (presiden) juga semakin pudar.

Gerakan mereka akan selalu diikuti dan diperhatikan oleh pihak Kerajaan Iran. Memang menarik apabila kita meneliti kronologi sejarah politik Iran, golongan konservatif bertapak kuat dan tidak bisa untuk diganggu gugat oleh reformis. Saya pun tidak tahu hala tuju parti ini seterusnya untuk kelangsungan mereka dalam politik negara Iran.

Sahabat, sebab itu matlamat perlu jelas. Kalau tak, tidak akan kekal lama. Terus istiqamah hingga kemenangan.

Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin

r


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.