Bapaku Bukan Muallaf - Johari Yap
AZRAN Wong sudah 30 tahun memeluk Islam. Beliau kini berumur 52 tahun dan mempunyai empat puteri yang sudah dewasa. Anak ketiga beliau, Fara Wong, sedang mengikuti pelajaran di sebuah universiti tempatan.
Muka Fara masih kecinaan, tetapi bukannya berbinti Abdullah. Dia berbintikan bapanya, Azran Wong.
Soalan yang sering dikemukakan dan sering kedengaran adalah, “Ayah awak mualaf?”. Sebagai Cina Muslim generasi kedua, Fara sentiasa berdepan dengan situasi sebegini.
Sedangkan bapa Fara bukan sahaja sudah tidak menerima zakat lagi, malah banyak mengeluarkan zakat saban tahun.
Senario seperti ini menunjukkan betapa masyarakat masih tidak faham makna mualaf atau pun saudara baru. Seolah-olah, asalkan mereka bermata sepet, nama pula ada nama keluarga seperti Wong, Lim atau Yap tetapi beragama Islam, sudah pasti mereka ini mualaf, atau “Cina mualap” walaupun mereka mungkin sudah berusia agak lewat dan sudah beranak cucu. Yang pasti, mereka ini akan digelar mualaf seumur hidup.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat 2010, perkataan mualaf ini bermaksud orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru. Bagi masyarakat umum, istilah mualaf ini bermaksud orang yang baru masuk Islam yakni memiliki pengetahuan minimum mengenai Islam.
Sebenarnya tidak salah menggunakan perkataan mualaf. Istilah ini disebut dalam al-Quran dalam Surah at-Taubah, ayat 60, dengan perkataan “Muallafat Qulubuhum”, salah satu dari lapan golongan yang layak menerima zakat.
Apakah maksud sebenar “Muallafat Qulubuhum” ini? Menurut ilmuwan tafsir, “qulub” merupakan kata majmuk bagi “qalb” yang bermaksud hati.
Maka maksud perkataan ini boleh diterjemahkan sebagai “ambil hati”. Zakat diberi untuk mengambil hati mualaf untuk menunjukkan bahawa mereka mempunyai saudara yang mengambil berat akan kebajikan mereka, agar mereka kembali atau kekal dalam Islam.
Mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau dicenderungkan hatinya untuk menerima Islam atau yang baru memeluk Islam tetapi belum kukuh Islamnya. Setelah iman mereka teguh, mereka ini tidak lagi sesuai dipanggil mualaf.
Mereka lebih sesuai dipanggil mukalaf. Persoalannya, berapa lamakah mereka ini boleh dipanggil mualaf?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-71 pada 2005 membincangkan “Had Tempoh Panggilan Mualaf”. Muzakarah ini memutuskan bahawa dalam Islam tiada sebarang nas yang mewajibkan seseorang baru memeluk Islam digelar mualaf.
Sebutan dan had tempoh panggilan mualaf ini lebih bersifat urf (adat kebiasaan) semata-mata.
Manakala negeri Selangor telah mewartakan pada 2007, had tempoh panggilan mualaf berdasarkan urf (dengan syarat mengikuti kelas-kelas agama yang dianjurkan atau diiktiraf Mais). Mais akan menanggung segala kos pembelajaran bagi mualaf-mualaf tersebut.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada 2013 memutuskan, tempoh had mualaf dikira selama tiga tahun sahaja. Sabah dan Melaka juga mengehadkan tempoh panggilan mualaf selama lima tahun dan Pahang selama tujuh tahun manakala negeri-negeri lain tiada had tempoh.
Tempoh had panggilan mualaf ini adalah untuk urusan agihan pembahagian zakat.
Penggunaan istilah mualaf ini sepatutnya bersifat sementara tetapi kebiasaannya menjadi identiti kekal kepada golongan bukan Melayu yang memeluk Islam walaupun sudah berpuluh-puluh tahun memeluk Islam. Mereka tetap dipanggil mualaf sampai bila-bila.
Istilah mualaf ini sendiri mengandungi konotasi yang kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat kita. Ia seolah-olah mereka ini adalah golongan Muslim kelas kedua. Mereka dianggap jahil dalam beragama walaupun ada yang sudah bergelar ustaz dan mempunyai PhD dalam pengajian Islam.
Jika mereka ingin menegur sesuatu, mereka akan dicemuh kerana mereka ini adalah “mualaf yang baru setahun jagung memeluk Islam”. Jakim menggunakan istilah saudara Muslim (Muslim brothers) untuk menggantikan istilah mualaf, saudara baru atau saudara kita.
Persepsi bahawa saudara Muslim ini adalah golongan bermasalah dan suka meminta-minta serta mengharapkan bantuan perlulah diubah. Ada pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu memeluk Islam.
Pun begitu, saudara Muslim ini sering dicap dan dilabel, dikatakan memeluk Islam semata-mata untuk berkahwin, mencari kesempatan, mendapatkan kemudahan, mendapatkan lesen perniagaan atau balak dan melarikan diri dari masalah.
Generalisasi sebegini tidak betul dan menjadi tanggungjawab saudara Muslim itu sendiri membetulkan tanggapan serong itu dengan menjadi Muslim yang baik dan menonjolkan akhlak yang mulia.
Bagi menghapuskan prasangka terhadap mereka, saudara Muslim perlu menunjukkan niat yang betul selepas memeluk Islam. Perlu ada keikhlasan untuk menjalani kehidupan serba baru serta mengubah tabiat lama yang bertentangan dengan Islam.
Anggota masyarakat pula perlulah memberi sokongan moral dan penghormatan kepada golongan yang baru berhijrah dari agama asal kepada Islam ini. Terimalah mereka seperti saudara sendiri.
Dan jika bertemu dengan generasi kedua saudara Muslim seperti Fara Wong, soalan yang lebih tepat untuk ditanya ialah, “Ayah awak Cina Muslim?” atau “Bila ayah awak memeluk Islam?”.
*Johari Yap, Pengerusi Macma Kelantan & AJK Perkim Kelantan
Sila kongsi artikel ini...