Nik Nazmi: Menyokong Permohonan Sarawak Untuk Lebih Kuasa Dalam Bidang Pendidikan

4:51 PM 0 Comments A+ a-



MENYOKONG PERMOHONAN SARAWAK UNTUK LEBIH KUASA DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Saya rasa tertarik dengan laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem, berhasrat untuk mengambil alih sepenuhnya perihal pendidikan negeri untuk mendapatkan lebih kuasa autonomi daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengatakan bahawa Sarawak telah terkesan oleh polisi tidak tetap Putrajaya berkenaan pendidikan.


Saya amatlah bersetuju dengan perkara ini.

Lagipun, autonomi pendidikan merupakan sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang telah dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Perisytiharan Kuching 2012 yang turut ditandatangani KEADILAN, berhasrat antara lain memartabakan semangat Perjanjian Malaysia.

KEADILAN dan rakan-rakan kami juga telah berusaha mendapatkan autonomi pendidikan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran kami. Saya sendiri telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan pengagihan kuasa pendidikan ini.

Secara dasarnya, kita boleh mencontohi amalan terbaik negara-negara lain di mana pendidikan tinggi, kurikulum kebangsaan dan piawaian tetap dikawal oleh Kerajaan Persekutuan; manakala pendidikan rendah dan menengah adalah diseliakan oleh Kerajaan Negeri, dan pentadbiran sekolah pula mempunyai penglibatan lebih pihak tempatan.

Kami percaya penyeliaan Kerajaan Negeri bukan sahaja boleh
mempertingkatkan kualiti dan tahap pendidikan pelajar-pelajar
Malaysia, tetapi juga mampu menggalakkan perpaduan dan integrasi nasional.

Kerajaan Negeri adalah lebih arif, malah berada di tempat yang lebih baik untuk menangani isu-isu tempatan.

Ia juga akan mengalakkan persaingan yang sihat di antara negeri, dan akan merangsang pihak tenaga pengajar dan pentadbir demi mencari jalan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Yang hairannya Malaysia ini, walaupun kita merupakan negara
persekutuan, setiap perihal pentadbiran di negara ini adalah berpusat padahal negara-negara lain sekarang ini lebih menjurus kepada pengagihan kuasa. Ini termasuklah negara kesatuan seperti Indonesia yang sudah mula membentuk polisi pengagihan kuasa semenjak zaman Reformasinya, dan juga Afrika Selatan yang mengekalkan kuasa pendidikan rendah dan menengah kepada kerajaan wilayah.

Saya benar-benar berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini dengan teliti, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk semua negeri-negeri yang lain juga.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI SELANGOR PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI







Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.