Rakyat Bangkit Selamatkan Malaysia - Wan Azizah
RAKYAT BANGKIT SELAMATKAN MALAYSIA
Di kala Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58 dan Hari Malaysia yang ke-52, senario politik terkini tanah air semakin membimbangkan. Kenaikan harga barang akibat GST yang membebankan, merudumnya nilai mata wang ringgit, hilangnya kepercayaan pelabur dalam dan luar negara, serta rasuah dan salahguna kuasa semakin menjadi-jadi. Pelbagai insiden juga telah berlaku termasuk rombakan, pemecatan, dan tangkapan individu-individu yang terlibat di dalam siasatan isu 1MDB dan dakwaan "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak, yang terkini didakwa telah dikeluarkan sepenuhnya.
Ada pihak yang berkata Malaysia bakal menjadi "negara gagal" ("failed state") jika tidak diselamatkan, namun pada masa yang sama ada pihak berkepentingan yang bertungkus-lumus berusaha menggagalkan proses menyelamatkan Malaysia.
Faktor terpenting dalam usaha ini ialah kemahuan dan kemarahan Rakyat. Adakah kita mahu terus hidup di dalam keadaan ekonomi dan politik yang tidak menentu? Adakah kita mahu anak cucu kita terus hidup ditindas dan dibelenggu pelbagai masalah yang kita hadapi hari ini?
Tidakkah kita impikan dan idamkan sebuah Malaysia yang lebih adil, yang lebih sejahtera, yang lebih stabil, yang lebih baik untuk kita semua?
Masanya telah tiba untuk Rakyat Malaysia menyuarakan kemarahan dan kemahuan agar Malaysia diselamatkan. Minggu hadapan, demi anak cucu kita, demi nusa dan bangsa, demi Rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama bangkit dan turut serta dalam perhimpunan aman Bersih 4 di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos.
Ayuh, Selamatkan Malaysia!
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan IsmailKetua Pembangkang
Presiden KEADILAN
Kenyataan Media
19 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...