Cerita abah saya - Nasaie Ismail

11:57 AM 0 Comments A+ a-



Cerita abah saya. Malam jumaat lepas dia datang ke rumah tidur semalaman. Subuh dia ke masjid membawa motorsikal saya. Selesai solat, saya bergerak ke kedai mamak seberang jalan. Dari situ terlihat abah cuba menghidupkan motor. Beberapa kali dicuba tidak hidup. Selepas lebih 30 kali dia mencuba tidak juga hidup. Terus saya ke seberang jalan semula untuk membantu. Sekali terjah sahaja, terus engine berjaya dihidupkan. Maknanya motorsikal itu tidak rosak.

Baru terfikir. Abahku sudah tua. Sudah 70 tahun. Fizikalnya sudah lemah, tidak seperti dahulu. Enam tahun lepas saya bermusafir berdua dengan abah ke Damsyik. Dari Damsyik kami menaiki bas ke Istanbul Turki. Perjalanan kesemuanya sekitar 30 jam dengan dua malam di atas bas. Sampai di Istanbul kami berjalan kaki dari kawasan Fateh Came' hotel penginapan kami ke Masjid Biru. Sekitar 4.4 kilometer. Kemudian patah balik ke Fateh untuk berehat. Maknanya 8.8 KM. Sebelah petang kami berjalan lagi ke jambatan Emonunu sekitar 6 km untuk menaiki Feri di Selat Bosforus. Dan pulang ke hotel semula di Fateh dalam jarak yang sama. Keesokan harinya berjalan lagi menuju ke Metro untuk ke Terminal bas.

Sangat jauh perjalanan kami. Bukan tidak mahu menggunakan trem. Tetapi kali pertama sampai. Maka terpaksa teroka sendiri jalan berpandukan peta. Pokoknya abah masih kuat dan sangat kuat di waktu itu. Tetapi tidak lagi hari ini. Tengahari itu dia memeluk erat saya sebelum memulakan kembara. Cukup sayu memikirkan. Sejak kecil dibesarkan dengan tulang empat kerat abah setiap hari ke kebun getah mencari rezeki. Kebun yang semak di sempadan hutan. Biasa dengan ular sawa atau ular senduk yang menyusur. Zaman-zaman perit harga getah teramat murah beliau membesarkan kami lapan beradik. Sudah lapan tahun saya tamat universiti, hampir tidak ada jasa berbalas buat abah dan emak. Dikala usia senja mereka, entah sempat atau tidak aku membalas jasa mereka.

Tidak lupa juga emak. Dia sumber inspirasi saya. Berkali-kali dia mengulang meminta saya mengembara. Pergilah cari ilmu baru, bina diri dan keluarga. Bantulah masyarakat. Suatu kalimah yang diulang-ulang yang menyebabkan saya serba salah. "Jangan difikir kami (keluarga emak abah) di kampung. Sakit demam jangan difikir. Kami tahulah nak uruskan. Fokus kepada pengembaraan itu untuk bangunkan diri. Emak cukup kuat. Biasanya ibu di hari tua akan memujuk anak anak duduk berdekatan dengannya. Mereka kesunyian. Rindu kepada anak cucu. Sukar untuk melepaskan anak anak. Tetapi tidak bagi emak. Dia bermotivasi tinggi menggalakkan anak anak mengembara. Bukan tidak rindu. Dia sangat rindu dan mengharapkan anak anak sebolehnya dekat dengannya. Tetapi dia lebih pentingkan masa depan anak anak dan cucu cucunya. Maka di korbankan perasaan.

Allahurabbi. Kau kurniakan ibu dan bapa yang soleh. Yang tinggi pengorbanannya. Kental perasaannya. Tidak jemu mendidik dam membimbing seawal bayi, sehinggalah dizaman teramat nakal di waktu remaja. Tidak habis di situ, sehinggalah aku sudah beranak empat. Tidak putus-putus mereka berpesan, menasihati dan membimbing. Nun di tengah malam. Aku yakin mereka doakanku.

Ya Rabb. Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Ampunkan dosa ibu bapaku, berilah kesihatan dan kekuatan untuk mereka beribadah dan matikanlah mereka sebagai hambamu yang beriman.

Park Ville
8.42 am

 Nasaie Ismail


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.