Cadangan Kg. Seberang Takir dan Kg Pulau Duyong sebagai Kawasan Industri Petroleum; Tahniah YAB MB Terengganu !!! - Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Cadangan Kg. Seberang Takir dan Kg Pulau Duyong sebagai Kawasan Industri Petroleum; Tahniah YAB MB Terengganu !!!
Saya sangat yakin seluruh rakyat di Dun Seberang Takir dan Dun Bukit Tunggal tentu terkejut dengan pengumuman hasrat kerajaan Terengganu untuk menjadikan Kg. Pulau Duyong dan Kg. Seberang Takir sebagai kawasan industri berasaskan petroleum dan gas.
Saya sangat mengalu-alukan cadangan tersebut untuk dilaksanakan sesegeranya kerana ia akan menyegerakan kejatuhan Dun Seberang Takir ke tangan PAS. Sekian lama UMNO mewakili DUN Seberang Takir termasuklah ketika tsunami politik 1999 apabila PAS memerintah Terengganu, namun UMNO kekal kebal di Dun Seberang Takir.
Antara puncanya ialah undi pos di Kem Tentera dan Kem Pasukan Gerak Am. Undi rakyat kampung sebahagian besarnya sudah hampir bersama PAS. Termasuklah juga pada PRU ke 13. Insyallah dengan cadangan "bijaksana" YAB MB Terengganu yang merupakan Adun Seberang Takir dan anak jati Kg. Seberang Takir, PAS insyallah bakal memecahkan tradisi untuk memenangi DUN Seberang Takir pada pilihanraya akan datang.
Apakah tujuan sesebuah pembangunan dilakukan di sesebuah kawasan? Tentulah untuk kebaikan rakyat yang mendiami kawasan tersebut. Namun, apabila projek industri petroleum dilaksanakan tentulah pengambilan tanah rakyat orang kampung yang beratus ekar akan diambil secara paksa menggunakan Akta Tanah Negara.
Kg. Seberang Takir yang tidaklah seluas mana bermula dari tanjung dan muara Sg Terengganu di seberang bandar Kuala Terengganu sehingga ke Kem Tentera dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan kehilangan sebahagian besar penduduknya. Penduduk Kg Seberang Takir termasuklah tanah kelahiran dan tempat membesar MB Terengganu Dato' Seri Ahmad Razif akan dihijrahkan. Kg. Seberang Takir akan menjadi sejarah seperti mana Kg. Pantai Kundur dan Tanah Merah di Melaka.
Begitu juga Kg. Pulau Duyong yang mempunyai sejarah tersendiri melibatkan tokoh ulamak bersejarah Tok Syeikh Pulau Duyong yang juga merupakan kampung asal keluarga YAB Dato' Seri Ahmad Razif turut akan terus menjadi tinggalan sejarah sekiranya projek industri tersebut dilaksanakan.
Adakah Dato' Seri Ahmad Razif dengan idea "bijaksana" ini cuba menyaingi sejarah jasa bekas MB Terengganu yang juga dari Seberang Takir iaitu Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri bin Mohammad (TSIF) yang menjadi MB selama 9 tahun dari 1961 hingga 1970? TSIF telah membangunkan Seberang Takir dengan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri pada 1965 dan membuka penempatan baru di Seberang Takir. Manakala jasa YAB Dato' Seri Ahmad Razif yang merupakan anak jati kelahiran Kg. Baru, Seberang Takir sebagai MB ialah menghapuskan kewujudan penduduk Kg. Seberang Takir. Tahniah Dato' Seri!!!.
Adakah Terengganu kekurangan hasil dan pembangunan sehingga projek ini perlu dilontarkan sebagai idea? Tidak cukupkah hasil royalti yang dijenamakan sebagai Wang Ehsan dan kemudiannya Dana Khas yang bernilai lebih dan kurang 2 ribu juta (2 bilion) setiap tahun untuk tujuan pembangunan rakyat Terengganu yang tidak sampai pun 2 juta orang?
Adakah pemimpin Terengganu kekeringan idea untuk mewujudkan industri yang boleh memberi pekerjaan kepada rakyat tanpa perlu melibatkan pengambilan tanah orang kampung dan juga pencemaran alam???
Maaf YAB Dato' Seri. Sebagai anak jati Kg. Seberang Takir sebagaimana Dato' Seri, saya terpaksa menegur dan membantah cadangan ini.
YAB masih berpeluang membuat jasa kepada orang kampung dengan memperluaskan lagi industri perikanan seperti keropok, ikan kering dan belacan di samping usaha meningkatkan lagi hasil tangkapan nelayan yang menjadi sebahagian pekerjaan tradisi orang kampung Seberang Takir.
Pantai Seberang Takir yang indah masih terbuka untuk dibangunkan menjadi aset pelancongan yang memberi peluang pekerjaan kepada orang kampung. Peluang perniagaan makanan tradisi sepanjang pantai seperti ikan, udang dan sotong dicelop tepung serta keropok goreng boleh dikembangkan.
Tanjung yang luas oleh tambakan laut boleh dibangunkan dengan perbandaran baru yang boleh memberi peluang keusahawanan kepada anak-anak muda.
Jeti nelayan beserta bot penambang boleh dijadikan aset pelancongan yang menguntungkan rakyat. Sg Terengganu yang luas dan panjang boleh dimanfaatkan untuk pelabuhan kapal-kapal besar seperti di Athen, Greece. Atau dimanfaatkan dengan feri pelancongan sebagaimana kelihatan di bandar-bandar besar dunia seperti London, Paris, Amsterdam, Istanbul, Guang Zhou dan Sdyney.
YAB buatlah sesuatu yang membanggakan orang kampung Seberang Takir apabila bermenteri besarkan seorang anak jati kampung! Saya akan menyokong setiap yang baik tetapi tidak untuk yang sebaliknya.
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Sabtu 15hb Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...