Kenaikan Kadar Tol : Malaysia Darul Jibayah - Syarhan Humaizi Halim
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Selangor
Kenaikan Kadar Tol :
Malaysia Darul Jibayah
1. Apa malang nasib rakyat Malaysia berada dibawah kerajaan UMNO yang zalim. Di saat semua masyarakat merasa terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini 15 Oktober 2015.
2. Lebuhraya yang terlibat adalah lebuhraya utama yang menjadi kegunaan harian masyarakat di Lembah Klang. Kenaikan kadar tol antara 20 sen dan RM3 melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
3. Disamping kenaikan kadar tol yang terkini, rakyat Malaysia silih berganti terbeban dengan kenaikan cukai-cukai yang melampau seakan Malaysia tiada sumber pendapatan melainkan cukai. Sedangkan Negara kita memiliki hasil bumi yang banyak sepatutnya menjadi pendapatan yang mampu menampung segala kos tersebut. Amaran Allah di dalam Al-Quran sepatutnya menjadi kegerunan pada pihak kerajaan.
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya bagi orang yang melanggari perintahnya".
4. Darul Jibayah adalah jawapan yang tepat kepada tindakan serta keputusan kerajaan Malaysia berhubung kenaikan kadar tol tersebut. Darul Jibayah atau Negara "pemeras cukai" adalah nama dan slogan yang paling tepat bagi menggantikan segala slogan yang dibawa oleh pihak kerajaan ketika ini. Kenaikan kadar tol disaat ini adalah bentuk "pemeras cukai" yang amat zalim. Walaupun sepatutnya semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah mengenakan kadar tol bagi menampung pembinaan lebuhraya supaya rakyat tidak terus menjadi mangsa.
5. Dewan Pemuda PAS Selangor melihat keadaan ini sebagai satu musibah besar melanda rakyat Malaysia. Rakyat perlu bangkit bersama memberi desakan kepada kerajaan supaya tidak sewenang-wenangnya menzalimi rakyat dengan kenaikan semua yang melibatkan keperluan harian rakyat. Pemuda PAS Selangor akan menggerakkan rakyat agar berhimpun serta membantah keputusan kenaikan kadar tol ini agar kerajaan membatalkan keputusan tersebut.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
12 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...