Mudahnya Menabur Fitnah - Dr. Fathul Bari
MUDAHNYA MENABUR FITNAH
Penyebaran FITNAH bahawa saya mengungkapkan "Wajib Taat Pada Perdana Menteri Walaupun Dia Mencuri Harta Rakyat". Berikut adalah ulasan saya:
1) FITNAH ini disebarkan dengan meletakkan TAJUK PROVOKASI (seperti di atas) pada satu kuliah Maghrib saya di sebuah masjid di Batu Caves pd 31/05/2011.
2) Video berdurasi 8 minit 19 saat itu merupakan jawapan saya kepada satu soalan tentang sejauh mana ketaatan kepada pemimpin. Adakah dengan kenaikan tarif elektrik mengharuskan kita untuk tidak mentaati pemimpin dalam hal yang makruf?
3) Terlalu banyak video-video ulasan saya tentang pemerintahan dan konsep mentaati pemimpin. Sila rujuk: http://www.drfathulbari.com/…/menjawab-fitnah-wajib-taat-pe…
Jadi, sebarang kesimpulan yang ingin dibuat tentang pendirian saya, perlu mengambil kira ulasan-ulasan saya secara kolektif dan janganlah diputarbelitkan yang kemudiannya boleh menjadi modal memfitnah.
4) Oleh kerana, pemfitnah sentiasa gagal berhujjah ilmiah, maka mereka cuba memutarbelitkan kenyataan saya dengan tujuan mengadu domba. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga pengadu domba" (Muttafaq ‘alaihi). Al-Imam al-Nawawi (w.676H) memberikan takrifan "al-Namimah" (adu domba) sebagai menukilkan kata-kata seseorang dan menyebarkannya dengan tujuan jahat. (lihat: al-Azkar, oleh Yahya bin Syarf al-Nawawi, ms 99)
5) Mentaati Pemerintah Islam yang SAH dalam hal yang ma'ruf adalah satu KEWAJIPAN selama mana tiada arahan melakukan maksiat. Asas pendirian saya berdasarkan hadis Nabi SAW:
"Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruhnya untuk melakukan kemaksiatan. Apabila pemerintah menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (HR Muslim, no: 3423. al-Tirmidzi, no: 1629)
6) Kezaliman pemerintah sudah tentu wajib diingkari dan dinasihati. Sabda Nabi SAW: “Jihad yang paling utama adalah MENGATAKAN KEBENARAN di hadapan pemerintah yang zalim.” (HR Abu Daud, no:4344, al-Tirmidzi, no:2174). Asas menasihati adalah secara berhadapan dengan pemimpin bukan di belakangnya.
7) KAEDAH "mengatakan kebenaran" @ menegur @ mengingkari @ menasihati semestinya perlu menepati METHODOLOGI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.
8) Methodologi AHLI SUNNAH dalam menasihati pemerintah:
a. Menasihati bukan provokasi.
b. Menyampaikan hujjah bukan fitnah
c. Penuh kesopanan bukan kebiadapan
d. Dengan kasih sayang bukan kebencian
e. Secara bersendirian diutamakan bukan dijalanan atau terang terangan.
f. Dengan keikhlasan bukan kepentingan
g. Penuh penghormatan bukan mengaibkan
h. Bersangka baik bukan bersangka buruk
i. Dengan kebijaksanaan bukan kejahilan (cth: BIJAK memilih tempat, masa, perkataan, menilai kemampuan diri, menilai maslahah dan mafsadahnya)
* Saya memaafkan semua pemfitnah, pemaki hamun, pengadu domba, pengumpat dan penyebar yang tidak bertabayyun. Moga Allah mengampuni kita semua. Wallaahualam.
Dr Fathul Bari bin Mat Jahya
Exco Pergerakan Pemuda UMNO
Dr. Fathul Bari
s
Sila kongsi artikel ini...