Harapan Baru , Masalah lama - S. Arutchelvan
Harapan Baru
masalah lama
oleh S. Arutchelvan
Selepas kemangkatan Pakatan Rakyat (PR), satu parti baru dengan nama Gerakan Harapan Baru (GHB) telah muncul sebagai ubat kepada segala permasalahan yang wujud hari ini. GHB, jika mengikut skrip DAP, akan bergabung bersama DAP dan PKR untuk membentuk Pakatan 2.0 atau Pakatan Baru. Pakatan Baru ini pula mendapat suntikan tenaga apabila Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh melalui peguamnya memberikan isyarat lampu hijau. Situasi ini menyebabkan PAS semakin dipinggirkan, walaupun sebagai parti yang begitu besar dan berusia lama, yang sudah tentunya pengaruh parti tersebut tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja. Perkembangan ini memberikan gambaran bahawa satu gabungan baru mengantikan Pakatan Rakyat (PR) hampir pasti.
Sekali pandang, muka-muka yang bersama GHB, sememangnya mereka adalah komrad seperjuangan dalam banyak isu yang melibatkan permasalahan rakyat. Puak GHB nampaknya lebih selesa dan mesra dengan imej negara kita sebagai sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian etnik.
Namun saya ingin mempertengahkan beberapa persoalan dan kritikan. Adalah diharap kritikan saya tidak disalahtafsir sebagai penulisan “penulis upahan UMNO”, iaitu satu “tagline” selesa yang sering digunakan oleh beberapa orang di pihak pembangkang setiap kali mereka dikritik. Isu yang ingin saya pertengahkan adalah sejauhmana apa yang disebut sebagai Harapan Baru ini bersedia menangani masalah lama.
Dalam keadaan politik negara kita dan pentadbiran di bawah Najib Razak sekarang ini, nampaknya puak yang memerintah mengalami tentangan yang paling hebat dari dalam, sehinggalah Perdana Menteri harus menyingkirkan Timbalannya dan beberapa orang Menteri untuk membuat satu rampasan kuasa lembut bagi memastikan semua institusi penting seperti Peguam Negara, polis dan institusi kewangan negara berada di bawah kawalan sepenuhnya dan menari mengikut rentak yang sama.
Pada masa yang sama, nampaknya pihak pembangkang begitu lemah sekali dan Mahathir dalam usia 90 tahun seolah-olah dilihat oleh segelintir orang sebagai hero untuk menyelamatkan negara. Pada masa yang sama, satu kumpulan yang membicarakan harapan baru telah muncul. Masanya tepat sekali, tetapi banyak soalan masih perlu dijelaskan. Tidak memadai hanya sekadar mengambil posisi ABU (Asalkan Bukan UMNO) untuk kita menentang UMNO-BN. Rakyat harus mendapat penjelasan sepenuhnya apa itu GHB atau apa bezanya PR 2.0 dan kita juga tidak perlu telan apa-apa sahaja yang dihidangkan kepada kita.
Untuk menyelesaikan masalah politik negara, kita memerlukan satu pertukaran pemimpin. Untuk menyelesaikan masalah salahtadbir negara, kita memerlukan satu parti baru tetapi untuk menyelesaikan kesengsaraan rakyat, kita memerlukan satu sistem baru.
Selesaikan isu-isu pokok
Maka, ada dua isu yang harus diselesaikan oleh GHB, iaitu bagaimana menyelesaikan kesengaraan rakyat, dan juga “persoalan nasional” yang begitu penting di negara kita, iaitu isu-isu yang melibatkan persoalan bahasa, budaya dan agama.
Namun, isu pertama iaitu untuk menyelesaikan kesengaran rakyat berkait langsung dengan sistem ekonomi acuan neo-liberal kapitalisme yang dianuti di negara kita dan dipegang kuat sama ada oleh BN ataupun PR. Sistem ini mementingkan kepentingan pelabur, mengagung-agungkan penswastaan, mempromosi percukaian regresif seperti GST, meminggirkan isu alam sekitar dan sering setuju dengan perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA.
Perjuangan rakyat melawan sistem ini dilemahkan pula oleh perpaduan rapuh kerana kita sering bertelingkah dalam isu-isu perkauman seperti isu Hudud, Negara Islam, bahasa ibunda, isu penukaran agama dan sebagainya.
Jadi, tiada gunanya untuk kita mengatakan bahawa kita adalah harapan baru jika isu-isu asas dan fundamental ini tidak ditangani. Contohnya, isu Hudud dan pilihanraya tempatan . Alasan mengapa tidak ada persefahaman dalam Pakatan Rakyat dalam isu-isu ini adalah kerana ia berakarumbikan isu perkauman. Maka GHB mahupun Pakatan 2.0 harus mempunyai posisi tentang isu-isu ini dan mereka tidak boleh mengambil langkah pintas dengan berkata, “kami setuju untuk tidak setuju.” (We agree to disagree)
Dalam banyak isu pokok, memang PR mempunyai kontradiksi yang serius. Contohnya. dalam isu TPPA, posisi PR adalah lebih kepada mahu transparensi tetapi tidak ambil posisi membantah sepenuhnya TPPA, kerana mereka masih mahu berjinak dengan kapitalis Amerika Syarikat dan antarabangsa. Dalam isu gaji minimum, Lim Guan Eng meminta supaya pekerja asing dikecualikan daripada diberi gaji minimum dan posisi ini bercanggah pula dengan PKR. Begitu juga ada kerajaan negeri PR yang mempromosikan “pelancongan kesihatan” walaupun langkah tersebut akan melemahkan hospital awam. Bagaimana pula dengan polisi alam sekitar? Apakah posisi GHB atau parti-parti lain dalam PR 2.0 mengenai isu nuklear umpamanya? Ini adalah beberapa isu yang perlu mereka memberi jawapan, kerana kita tidak mahu PR 2.0 masih diselubungi kontradiksi dan kelemahan yang wujud dalam PR 1.0.
Politik Penggabungan
Isu kedua yang ingin saya lemparkan adalah, mana-mana parti jikalau ingin memerintah, hanya boleh berbuat demikian melalui politik penggabungan. Dalam kata lain, mustahil untuk mana-mana parti sama ada DAP, PAS, PKR mahupun GHB untuk membentuk kerajaan secara solo atau persendirian. Ini memang difahami oleh mereka semua dan memang politik peggabungan menjadi sebahagian daripada resepi politik negara kita.
Jika kita melihat gabungan-gabungan politik pembangkang sebelum ini. Kita boleh rumuskan seperti dalam jadual 1.
Jika kita meneliti semua gabungan ini, baik gabungan berhaluan kiri seperti PUTERA-AMCJA dan Barisan Sosialis mahupun gabungan pembangkang berhaluan kanan seperti Gagasan Rakyat & APU, Barisan Alternatif dan sehinggalah Pakatan Rakyat, maka satu perkara yang cukup nyata dan ketara adalah mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu menjurus kepada persoalan nasional dan perkauman. Mungkin parti-parti ini sendiri selesa memainkan agenda perkauman untuk mendapatkan sokongan di kawasan pengaruh masing-masing.
Sejarah mengajar kita bahawa pakatan pembangkang berpecah kerana isu bahasa, isu sekolah vernakular , isu Hudud dan isu Negara Islam. Jika Pakatan 2.0 tidak menangani isu ini, maka sudah pastinya, ia juga akan mengalami nasib yang sama.
Misalya, kalau kita mengambil Barisan Sosialis Rakyat Malaya atau Malayan People Socialist Front sebagai satu contoh. Pada awalnya, ia merupakan satu gabungan yang cukup kuat dengan kombinasi Parti Buruh dan Parti Rakyat. Mereka juga mempunyai satu program yang cukup hebat. Antara dasar perjuangan mereka yang penting adalah “Semua perbezaan mengikut perkauman adalah salah. Rakyat hanya harus dipisahkan antara penindas dan mereka yang ditindas”. Mereka juga mengusulkan satu bahasa untuk menyatukan kaum pekerja dan membina satu Bangsa Malaya melalui budaya, seni dan kesusasteraan yang mempunyai kaitan langsung dengan massa dan rakyat.
Namun demikian, Barisan Sosialis mengalami pelbagai masalah dalam persoalan bahasa dan budaya. Pada tahun 1965, wujud perpecahan antara Parti Rakyat dan Parti Buruh atas isu budaya dan bahasa. 4 isu yang menjadi konflik antara dua parti ini adalah :-
i) Isu bahasa dan budaya - bahasa kebangsaaan vs bahasa ibunda, di mana Parti Rakyat setuju dengan Laporan Rahman Talib manakala Parti Buruh membantahnya;
ii) Isu kesamarataan dan hak etnik
iii) Isu hak keistmewaan orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
iv) Hak ekuiti ekonomi negara.
Disebabkan gagal mengatasi masalah ini, Barisan Sosialis berpecah pada tahun 1966.
Namun, selepas Peristiwa Mei 13 dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), parti-parti baru yang wujud terus membentuk gabungan tetapi kesemua gabungan ini berpecah kerana isu agama dan bahasa. Malah gabungan parti selepas DEB pula tidak berlandaskan perjuangan kelas seperti dalam era sebelum kemerdekaan atau pada tahun 1960-an.
Konflik yang tidak dapat diselesaikan oleh Gagasan Rakyat & APU, kemudiannya Barisan Alternatif, dan sekarang Pakatan Rakyat adalah isu berkaitan dengan Negara Islam dan Hudud. Maka, Harapan Baru atau Pakatan 2.0 tidak harus menyapu semua ketidaksamaan ini di bawah tikar dan hanya cuba menang dengan sentimen popular seperti mempergunakan isu 1MDB dan cincin Rosmah.
Keistimewaan PUTERA-AMCJA
Namun dalam situasi hari ini, Anwar Ibrahim dan GHB sering mengatakan bahawa gabungan baru ini adalah gabungan parti politik dan NGO. Beberapa nama NGO juga dilontarkan seperti BERSIH, IKRAM, ABIM dan lain-lain lagi. Namun demikian, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau dokumen yang dibincangkan. Semuanya samar-samar sahaja.
Maka adalah penting untuk kita cuba belajar daripada gerakan PUTERA-AMCJA sebagai satu gabungan, kerana ia juga adalah kombinasi parti politik dan NGO. Bezanya adalah mereka mengambil masa yang begitu lama, mengadakan diskusi di pelbagai peringkat, di kawasan kampung dan bandar untuk mengeluarkan satu dokumen yang dipanggil Perlembagaan Rakyat. Selain itu, mereka juga berjaya menganjurkan Hartal Se-Malaya pada 20 Oktober 1947. Tindakan dan kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh mereka ini masih tiada lagi bandingannya sehingga kini. BERSIH walaupun dapat turunkan ribuan rakyat, tetapi ia lebih fokus kepada Lembah Klang dan bandar-bandar utama sahaja.
PUTERA-AMCJA berjaya mengabungkan pelbagai gerakan yang radikal, nasionalis dan Islam dalam satu program yang dapat menangani isu perkauman dan agama. Mereka mendapat sokongan kuat dari bandar dan luar Bandar. Antara organisasi di bawah AMCJA adalah Kesatuan Kekeranian, Dewan Perniagaan India, Kesatuan Sekerja Nasional PMFTU yang mengorganisasi dua pertiga daripada keseluruhan kaum pekerja (berbanding dengan MTUC yang hanya mempunyai sokongan 6% kaum pekerja hari ini); manakala PUTERA pula diwakili oleh API, AWAS, BATAS (Barisan tani) , Hizbul Muslimin dan GERAM (Gerakan Angkatan Muda).
Antara pencapaian mereka ialah persetujuan 10 prinsip rakyat yang diterbitkan oleh mereka. Yang lebih aneh adalah Gabungan AMCJA yang majoritinya bukan Melayu telah mengusulkan
antaranya cadangan mengenai agama Islam dan adat perlu dibawa orang Melayu sendiri dan mereka juga mengusulkan perhatian khas harus diberi kepada kemajuan orang Melayu; dan jika dilihat usul yang dibawa oleh PUTERA yang boleh diterima oleh AMCJA adalah Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Kerakyatan Malaya harus dinamakan “Melayu”.
Jika PUTERA-AMCJA tidak dihancurkan oleh British melalui Darurat 1948 untuk membolehkan UMNO memerintah, maka kita akan berdiri di bawah Perlembagaan Rakyat di mana kita tidak lagi dipanggil Melayu, Cina, India dan lain-lain kerana kita semua akan mempunyai satu identiti.
Jadi, apa yang kita perlukan hari ini adalah perbincangan serius tentang isu-isu pokok utama supaya masalah yang melanda kita tidak berulang dan berulang dan berulang… Ini adalah cabaran untuk Harapan Baru dan Pakatan rakyat 2.0. Harapan baru harus berani menghadapi masalah lama dan cuba mengatasinya
m
Sila kongsi artikel ini...