Isu Tangkapan Khalwat - Dr Mujahid Yusof Rawa
ISU TANGKAPAN KHALWAT
Isu yang dibangkitkan oleh G25 baru-baru ini tentang tangkapan khalwat perlu didasari atas beberapa konsep dosa dan apa yang dikategorikan sebagai kesalahan awam.
1. Islam amat tegas dalam soal dosa atau ذنب kerana ذنب adalah perosak kepada individu dan berpotensi untuk menjerumuskan masyarakat dalam kelalaian dan kealpaan terhadap ajaran Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Janganlah memandang kecil kesalahan (dosa) tetapi pandanglah kepada siapa yang kamu durhakai” (hadith riwayat ath-Thusi)
2. Dosa dinilai kebejatannya dari sudut pelaku dan sejauhmana kesannya pada orang ramai. Pelaku dosa yang hanya merosakkan dirinya tak sama dengan pelaku dosa yang merosakkan dirinya dan orang ramai. Rasuah dan merompak harta awam dan menyembunyikan kebenaran adalah contoh kategori dosa yang melibatkan kerosakan pada manusia terbanyak. Kesan jangka panjang sesebuah perbuatan dosa juga hendaklah dipertimbangkan oleh pemimpin masyarakat dan penggubal polisi awam. Berhubung hal ini Imam Al-Shabiti menyatakan:
“Memperhatikan kesan masa depan sesebuah perbuatan adalah antara perkara yang menjadi tuntutan untuk merealisasikan objektif Syara’.”
3. Dosa atau kesalahan yang mengundang murka Allah juga dilihat dari sudut perbuatan samada dibuat secara Jahri (terang-terangan) atau Sirri (senyap dan diam-diam). Walaupun kedua-dua keadaan tetap satu dosa namun melakukannya secara terangan menambah satu lagi kesalahan iaitu 'mencabar' perintah laranganNya. Tidak solat dalam diam adalah dosa namun mengisytiharkan solat itu tak berfaedah dan mengingkarinya secara terangan bagi seorang muslim adalah satu perbuatan mencabar Allah. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Setiap umatku akan mendapat ampunan, kecuali mujahirin (orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa). Dan yang termasuk terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang berbuat (dosa) pada malam hari, kemudian pada pagi hari dia menceritakannya, padahal Allah telah menutupi perbuatannya tersebut, yang mana dia berkata, “Hai fulan, tadi malam aku telah berbuat begini dan begitu.” Sebenarnya pada malam hari Rabb-nya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi pada pagi harinya dia menyingkap perbuatannya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah tersebut.” (Muttafaq ‘Alaih)
4. Bagi Muslim piawaian dosa serta taklifnya (tanggungjawab) pula hanyalah mengikut apa yang ditetapkan oleh syara'. Kita tidak boleh paksa piawaian dosa ke atas penganut lain. Firman Allah SWT:
"Tidak ada paksaan dalam beragama." (QS. Al-Baqarah: 256)
5. Dosa boleh dianggap kesalahan umum apabila perbuatan seseorang samada Muslim atau non Muslim mencerobohi ruang awam dan membahayakan keselamatan atau merosakkan akhlaq awam dan berupaya merosakkan prinsip masyarakat yang diterima ramai.
6. Bagi ruang peribadi atau sendiri kesalahan melakukan sesuatu perbuatan dosa tanpa pelaku menceroboh ruang awam, kesalahannya diperhitung kelak oleh Allah. Jika kita mengetahuinya maka hendaklah menasihati agar ia bertaubat dan memohon istighfar. Rasulullah SAW bersabda:
“Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,"Untuk siapa, wahai Rasulullah?" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab,"Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya.”(hadith riwayat Muslim)
7. Penguatkuasaan atas jenayah dosa lebih kepada kesedaran dan pertanggungjawaban hamba dengan Allah selagi ia bukan jenayah mencabar Allah terang-terangan dan merosakkan maslahat kepentingan masyarakat sehingga lahir benci-membenci antara manusia.
8. Islam mewajibkan hamba Allah bertaubat pada kesalahannya dengan beristighfar dan membenci perlakuan dosa serta menghayati perasan kesal pada perbuatannya. Tanggungjawab para ulamak dan mereka yang mengetahui adalah senantiasa menasihati supaya senantiasa membenci perkara maksiat dan menekankan Kerahmatan Allah pada pelaku dosa. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Bahawasanya kerahmatan-Ku itu dapat mengalahkan kemurkaan-Ku,” (Muttafaq ‘Alaih)
8. Peruntukan penguatkuasa agama membasmi maksiat janganlah melampaui had menceroboh ruang peribadi kerana kesalahan menceroboh ruang peribadi seseorang juga adalah satu dosa. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?,” (QS. Surah al-Hujurat: ayat 12)
9. Penguatkuasaan atas nama agama perlu dicermati malah ada kasus yang melibatkan salahguna kuasa para penguatkuasa dan ini amatlah menjengkelkan. Sudahlah menceroboh ruang peribadi ditambah pula salahguna kuasa. Semuanya dibuat atas nama Islam.
10. Dosa tetap dosa selagi ia ditetapkan oleh Syara’. Penguatkuasaan diperlukan terhadap perbuatan yang dianggap sebagai mencabar ajaran Islam secara terangan-terangan. Walaubagaimanapun tindakan penguatkuasaan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab.
Jaga nama baik Islam
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)
Ahli Parlimen Malaysia
Bertarikh 14 Disember 2015
Sila kongsi artikel ini...