Hormat Gesaan Majlis Raja-Raja; Najib Wajib Letak Jawatan atau Hadapi Undi Tidak Percaya - Fadzil Ahamad Pemuda AMANAH
KENYATAAN MEDIA
HORMAT GESAAN MAJLIS RAJA-RAJA; NAJIB WAJIB LETAK JAWATAN ATAU HADAPI UNDI TIDAK PERCAYA
1. Pemuda AMANAH Nasional memandang serius gesaan Majis Raja-raja Melayu supaya siasatan terhadap skandal 1MDB segera diselesaikan sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad susulan mesyuarat Pra-Majlis semalam.
2. Kenyataan tersebut amat tepat pada masanya setelah sekian banyak desakan oleh pelbagai pihak sama ada dari kalangan pembangkang mahupun di pihak kerajaan sendiri yang mahukan isu ini diselesaikan secara tuntas.
3. Namun, Pemuda AMANAH Nasional berpendirian bahawa siasatan semata-mata tidak memadai selagi Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB masih berada di tampuk kuasa yang memungkinkan perjalanan siasatan terhadap badan itu sekali lagi menemui jalan buntu.
4. Sebagaimana yang diketahui umum, pasukan penyiasat khas untuk menyiasat skandal 1MDB yang melibatkan Polis, SPRM, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara, telah dibubarkan sejurus Perdana Menteri mengambil tindakan drastik menukar Peguam Negara. Selain itu, perjalanan siasatan 1MDB juga terganggu apabila Perdana Menteri menggunakan kuasa prerogatifnya merombak kabinet dengan melantik ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) ke jawatan menteri dan timbalan menteri ketika jawatankuasa tersebut masih dan sedang menjalankan siasatannya.
5. Oleh itu, Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa Perdana Menteri wajib meletakkan jawatannya serta merta susulan gesaan Majlis Raja-raja Melayu semalam bagi memastikan siasatan terhadap skandal 1MDB dapat dijalankan dengan lebih telus dan adil.
6. Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional juga menggesa supaya satu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri benar-benar dibawa dalam sidang Parlimen akan datang dan menyeru kepada seluruh ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah setia menjunjung tinggi Institusi Raja Berperlembagaan supaya menyokong usul tersebut demi menyelamatkan maruah negara yang kian tercalar akibat skandal yang dicipta Perdana Menteri sendiri.
MUHAMAD FADZIL AHAMAD
Pengarah Komunikasi
Pemuda AMANAH Nasional
7 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...