Mahfuz Omar : Majlis Raja-Raja Melayu Perlu Berusaha Untuk Pecat Najib dan Peguam Negara
Kenyataan Media.
MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU PERLU BERUSAHA UNTUK PECAT NAJIB DAN PECAT PEGUAM NEGARA.
1. Saranan dan gesaan Majlis Raja-Raja Melayu untuk disegera dan dipercepatkan siasatan dan penyelesaian ke atas kes Skandal 1MDB memperlihatkan betapa keperihatinan Majlis Raja-Raja Melayu terhadap kesan skandal tersebut terhadap beban kehidupan rakyat Malaysia.
2. Saya berpendapat Saranan dan gesaan Majlis Raja-Raja seharusnya lebih keras dan tegas setelah melihat kepada pelbagai massalah timbul dalam pengendalian penyiasatan yang berjalan setakat ini sehingga membawa kepada pemecatan Tan Seri Muhiyudin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ekoran daripada perbalahan beliau dengan PM dalam isu 1MDB. Begitu juga pemecatan Tan Seri Gani Patail sebagai Peguam Negara pada saat kerancakan Peguam Negara pada waktu itu sedang meneliti kertas siasatan yang dibuat oleh Pasukan Khas 1MDB pelbagai agensi siasatan.
3. Keperihatinan Majlis Raja-Raja sangat saya sanjungi tetapi seharusnya memperlihatkan tindakan yang lebih drastik melindungi negara dan rakyat dimana Raja-Raja sebagai payungnya. Majlis Raja-Raja tidak boleh membiarkan institusi awam dan pegawainya bersendirian apa bila berlaku ugutan kepada pegawai pegawai agensi penyiasatan seperti SPRM , PDRM dan Bank Negara yang mengalami tekanan dan ugutan seperti yang didedahkan oleh Dato' Hamid Bahador, bekas Timbalan Ketua Polis Cawangan Khas.
4. Ke bawah DYMM Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institusi Raja-Raja tercalar oleh institusi awam yang berdiri atas nama DiRaja bertindak berasaskan campurtangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang. DYMM Raja-Raja harus sedar pentadbiran negara sekarang tak ubah seperti mana perjalanan pentadbiran sebuah kumpulan mafia. Dalam kumpulan mafia siapa lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya.
5. Saya menyarankan Majlis Raja-Raja perlu memberi tekanan yang lebih tegas dan keras dan berusaha untuk membawa kepada pemecatan Peguam Negara yang hingga kini telah lebih sebulan kertas laporan siasatan Bank Negara berkaitan 1MDB dengan cadangan tindakan telah diserahkan pada Peguam Negara tanpa sebarang tindakan diambil. Majlis Raja-Raja juga hendaklah berusaha untuk memastikan Dato'Seri Najib dipecat sebagai PM dan membentuk satu Kerajaan Peralihan daripada semua pihak bagi melakukan reformasi pentadbiran negara khususnya pada institusi-institusi awam yang sering diganggu gugat oleh campurtangan politik pemerentah.
6. Ke bawah DYMM Tuanku Raja-Raja, patik berdoa agar Allah berikan taufik dan hidayah serta kekuatan untuk DYMM Tuanku Raja-Raja bertindak melindungi negara dan rakyat. Patik mohon agar DYMM Tuanku Semua bersama rakyat bertindak "Berani Kerana Benar".
DAULAT TUANKU,
DAULAT TUANKU,
DAULAT TUANKU.
SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.
DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
7 Okt 2015/23 Zulhijjah 1436H
Sila kongsi artikel ini...